Khamis, 30 April 2015

TUNTUT PERAKUAN TAHAP KESELAMATAN STADIUM SULTAN MIZAN

KENYATAAN MEDIA GANTI
27hb. April 2015


GANTI beroleh maklumat Stadium Sultan akan digunakan untuk perlawanan pada 16hb. Mei 2015. Untuk itu satu majlis solat hajat akan dibuat di stadium pada 30hb April ini.

Dalam pada mengalu alukan kesediaan Kerajaan Terengganu membuka kembali Stadium Sultan Mizan yang sudah begitu lama menjadi sia sia kerana tak dapat digunakan ekoran kegagalan projek ini yang ditimpa malapetaka runtuh sebanyak dua kali, kerajaan kena memastikan stadium berkenaan sudah benar benar sedia untuk menerima peminat peminat bolasepak yg besar bilangannya. Ini khususnya dari aspek keselamatan fizikal bangunan stadium itu sendiri sama ada kerja kerja pemulihan dan pembaikan telahpun diperakui menyelesaikan isu isu kecacatan struktur yg telah terjadi ekoran dua kali kejadian runtuhan yang lalu.

Ahad, 26 April 2015

KONSEP KT WALK DI BANDAR KUALA TERENGGANU

KENYATAAN MEDIA

Berhubung dengan pengenalan KT Walk di tengah bandar Kuala Terengganu yang diadakan setiap hari Jumaat bermula jam 3 petang, saya menerimanya secara positif walau ada juga kedengaran rungutan yang mana saya harap dikumpulkan untuk penelitian dan penambahbaikan.

Isu institusi pasar malam adalah isu yang selalu saya tulis dan ucapkan dalam ceramah ceramah terutamanya dalam program program pidato rakyat di pasar pasar malam yang pernah saya hadiri.

Kami punya hubungan yg baik dengan persatuan pasar malam dan selalu mencatat masalah dan cadangan. Pasar malam tempat orang melayu berniaga. Selalunya dilayan bagai warga kelas ketiga, sesuka hati diarah pindah lokasi bagai kaum nomad.

Di negara maju, malah di Kuala Lumpur, Chow Kit dan Petaling Street sejak dulu hingga kini jadi tarikan pelancong.

Malah banyak lokasi di Kuala Lumpur dibuat acara mingguan pasar malam dgn menutup jalan pada tempoh tertentu untuk penjaja berniaga mencari rezeki. Misalnya jalan sekitar Hotel Vistana di Kuala Lumpur.

Di Kuala Terengganu kita pernah bersuara masalah tekanan dihadapi oleh golongan penjaja dari segi lokasi dan syarat perlesenan yang mungkin perlu dimudahkan lagi. Penguatkuasaan yang dilaporkan ada kes kurang bertimbangrasa.

Cadangan supaya kerajaan menggazetkan lokasi dan masa untuk pasar-pasar malam supaya kekal dalam kalendar rakyat selalu kami sebut dengan pelbagai manfaat yang boleh diraih.

Kerajaan boleh merancang kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air, tandas awam yang mencukupi dan berkualiti, surau awam yang bagus, kemudahan pembuangan sampah dan lain lain lagi.

Kerajaan mungkin boleh tambahkan pencahayaan agar lebih terang. Tumpuan perlu dibuat agar masalah parking dapat diatasi. Ini mungkin lebih selesa bila kompleks parking yang baru dibina siap dan begitu juga KT Mall yg dijanjikan boleh dibuka tak lama lagi.

Laluan jalan perlu direka supaya kenderaan boleh bergerak lancar. Jika perlu polis trafik mungkin boleh diminta membantu.

Dilaporkan ada kegiatan karaoke. Di Kuala Lumpur pun mereka tak buat. Tak usahlah kita di Terengganu jadi tukang cambah dan suburkan budaya lalai begini.

Saya cadangkan supaya Kerajaan kempen solat berjemaah bila tiba waktu solat. Atau tetapkan 15-30 minit setelah Azan supaya tempoh bertenang untuk peniaga solat ditempat pilihan masing jika surau tiada.

Biarlah di negeri kita yang 90% rakyatnya beragama Islam dan melayu kita bina budaya pasar yg punya karakter budaya Islam dan melayu yang indah dan tersendiri.

Sebenarnya tak perlu binaan kekal untuk surau KT Walk. Naikkan kanopi. Buat dinding kanvas. Kipas angin atau portable aircond. Sebagai surau sementara.

KT Walk adalah medan untuk orang melayu berniaga di tengah-tengah pusat bandar. Walau saya jangkakan lokasi yg berbeza, tapi kesediaan MBKT memperuntukkan lokasi dan masa ditapak tumpuan (prime area) adalah peluang besar untuk showcase yg berupaya menonjolkan peniaga peniaga melayu.

Bank-bank yg berdekatan memudahkan akses kpd mesin ATM untuk pengeluaran tunai.

Saya harap kerajaan bersedia melakukan lebih banyak penambahbaikan.

HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Presiden GANTI
25hb April 2015

Sabtu, 25 April 2015

SANGKAAN

يا أيها الذين أمنوا اجتنبوا كثيرا من الظن ان بعض الظن اثم و لا تجسسوا و لا يغتب بعضكم بعض أيحب أحدكم أن يأكل لحم أخيه ميتا فكرهتموه و اتقو ا الله ان الله تواب رحيم

12. Wahai orang-orang Yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan Yang dilarang) kerana Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya Yang lain.Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya Yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadaNya. (oleh itu, patuhilah larangan-larangan Yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.

TAKRIF SANGKAAN

Sangkaan ialah Persepsi atau tanggapan. Ia terbahagi kepada sangkaan baik dan sangkaan buruk. Sangkaan buruk(prasangka) akan menjadi topik perbincangan dalam artikel ini.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, prasangka ialah sangka (anggapan) buruk terhadap sesuatu (seseorang) sebelum mengetahui (menyelidiki yang sebenarnya). Sedangkan berprasangka ialah menaruh prasangka. Adapun keprasangkaan pula ialah sifat (rasa) prasangka.

ASBABUL NUZUL

Setengah ulama’ mengatakan ayat ini diturunkan kepada dua orang sahabat nabi s.a.w. Sudah menjadi kebiasaan, apabila bermusafir, Rasulullah akan mencampurkan sahabatnya yang susah dengan sahabat yang senang. Ini bertujuan untuk menanamkan sifat ukhuwwah di antara satu sama lain. Orang yang senang akan menolong saudaranya yang susah. Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. telah meletakkan Salman al farisi dengan dua orang lelaki dari kalangan sahabat yang dianggap lebih berada daripada Salman al farisi ketika itu.

Di sepanjang perjalanan dalam musafir itu berlaku suatu peristiwa di antara Salman dengan dua sahabat tadi di mana mereka terlewat bangun tidur, sedangkan Salman ditugaskan untuk menyediakan makanan buat mereka. Kedua-dua sahabat tadi menyuruh Salman bertemu Rasulullah untuk mengambil makanan. Apabila sampai, Rasulullah memberitahu Salman bahawa makanan telah habis, lalu menyuruhnya berjumpa dengan Usamah bin Zaid (ditugaskan menjaga perbekalan).

Salman pun pergi berjumpa dengan Usamah sebagaimana diarahkan nabi, tetapi malangnya Usamah juga menyatakan makanan sudah habis. Lalu Salman balik dalam keadaan tiada makanan bersamanya. Dua sahabat tadi menuduh Usamah bakhil kerana sengaja tidak mahu memberi mereka makanan. Akhirnya Salman dihantarkan pula kepada sahabat-sahabat lain untuk memperolehi makanan. Dalam keadaan ketiadaan Salman, dua sahabat tadi bercakap-cakap pula mengenai Salman dengan tidak mengharapkannya lagi.

Rasulullah s.a.w. telah melihat telatah kedua orang sahabat itu, lalu Rasulullah s.a.w. bersabda kepada kedua orang sahabatnya:

ما لي أري خضرة اللحم في أفواهكما

Maksudnya:

”Aku melihat kamu berdua sedang memakan daging.”

Lalu sahabatnya berkata:

يا نبي الله و الله ما أكلنا فى يومنا هذا لحما و لا غيره

Maksudnya:

“Wahai nabi Allah, kami tidak makan apa-apa lagi pada hari ini sama ada dagingatau makanan yang lain.”

Rasulullah menjawab:

ولكنكما ظلمتما تأكلان لحم سلمان و أسامة

Maksudnya:

“Tetapi kamu berdua berlaku zalim dan kamu telah memakan daging saudara kamu iaitu Salman al Farisi.”

Lalu Allah turunkan ayat 12 surah al Hujurat sebagaimana di atas. Ia menunjukkan kepada kita betapa besarnya dosa mengumpat sehingga digambarkan seolah-olah kita memakan daging saudara kita sendiri.

TAFSIR AYAT

As Sobuni menyebutkan : Jauhilah kamu dari tohmahan, khianat dan buruk sangka terhadap keluarga dan manusia. Diibaratkan dengan banyak (كثيرا ) di sini untuk mengambil langkah berhati-hati kepada setiap zhan atau sangkaan dan jangan terlalu gopoh membuat kesimpulan sehinggalah disiasat dan dipastikan kebenaran sangkaan itu. Ini kerana sebahagian zhan merupakan dosa yang mengakibatkan tuannya dengan hukuman Allah s.w.t. sama ada di dunia dan di akhirat.

Ia ada kaitan dengan konsep tabayyun(tindakan menentukan sama ada khabar berita benar atau salah) dalam ayat keenam surah yang sama.

Sebagaimana yang disebutkan dalam ayat di atas, sebahagian sangkaan adalah dosa. Bermakna ada sangkaan yang membawa dosa dan ada sangkaan membawa pahala. Yang membawa dosa sudah tentulah sangkaan yang buruk atau disebut prasangka. Manakala yang membawa pahala dipanggil sangkaan baik. Dalam istilah arab, sangka buruk ialah su’uzzhan((سوء الظن, manakala sangka baik ialah husnuzzhan( حسن الظن).

Contoh prasangka : Seseorang yang berjanji untuk datang mesyuarat pada jam 3 petang. Tiba-tiba dia datang lewat. Ahli mesyuarat yang menunggu berprasangka kepada beliau dengan mengatakan beliau seorang yang tidak menjaga waktu dan tidak menghormati ahli mesyuarat sedangkan kemungkinan-kemungkinan yang lain masih ada. Mungkin beliau kesesakan lalulintas dan sebagainya.

Allah jalla wa ’ala memerintahkan orang yang beriman menjauhi sangkaan kerana kebanyakan sangkaan merupakan DOSA! Daripada sangkaan tadi, timbul pula keinginan untuk mengintip-intip dan mencari-cari keburukan orang. Lalu apabila terbongkar, terus disebarkan kepada umum menyebabkan aib kepada si mangsa intipan. Inilah yang dilarang keras dalam agama. Ia termasuk dalam dosa ghibah atau mengumpat kalau yang dibongkar itu benar. Kalau berita itu palsu, maka ia termasuk dalam namimah atau fitnah. Allah subhanahu wa ta’ala menyamakan orang yang mengumpat dengan perbuatan memakan daging saudaranya! Di akhir ayat, Allah menyeru agar orang beriman bertaqwalah kepadaNya. Sesungguhnya Allah maha menerima taubat dan maha mengasihani.

DUNIA PERSEPSI

Kini, istilah persepsi sangat popular dalam masyarakat. Sebenarnya konsep ini sudah lama berlegar dalam sistem sosial kita. Bahkan ia wujud dalam mana-mana masyarakat dalam dunia sekalipun. Persepsi atau tanggapan atau sangkaan merupakan istilah-istilah yang membawa erti yang sama. Ia boeh jadi baik dan boleh jadi juga buruk. Kalau buruk persepsi, maka natijahnya buruk. Begitulah sebaliknya. Pandangan masyarakat umum terhadap sesuatu isu atau individu, kelompok masyarakat bergantung kepada persepsi yang menguasai minda mereka. Persepsi boleh diterjemahkan sebagai ’bagaimana kita melihat sesuatu’. Perkara yang sama boleh melahirkan persepsi yang berbeza bergantung kepada cara pemikiran seseorang. Ia mungkin positif, dan mungkin juga negatif! Yang negatif inilah dipanggil sangka buruk atau suu’uzzhan.

Mungkin masyarakat tidak merasakan dosa berprasangka buruk merupakan dosa yang besar kerana ia sudah menjadi darah daging mereka, sedangkan Rasulullah pernah bersabda,  ”اياكم و الظن فان الظن أكذب الحديث”. Maksudnya: ”Awasilah kamu daripada berprasangka, kerana prasangka adalah sebohong-bohong ucapan.”(Muttafaqun alaihi).

Bahkan Allah jalla wa ’ala berfirman dalam ayat 116 surah al An’am,

و ان تطع أكثر من في الأرض يضلوك عن سبيل الله ان يتبعوك الا الظن و ان هم الا يخرصون

116. Dan jika Engkau menurut kebanyakan orang Yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah Yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta.

Al Sobuni menjelaskan bahawa jika kita taati golongan kafir yang jumah mereka ramai di muka bumi nescaya mereka menyesatkan orang beriman dari petunjuk Allah.

Masyarakat Islam kini banyak dipengaruhi oleh cara berfikir yang diwarisi dari barat. Pendidikan sains sosial rata-ratanya diambil dari idea-idea cendekiawan barat yang mewarnai silibus pembelajaran ilmu psikologi di institusi pengajian tinggi. Lalu lahirlah ramai doktor-doktor dan profesor-profesor Islam tetapi celupannya barat, mempromosikan ilmu dan cara berfikir ala kebaratan. Sehingga timbul ungkapan, ”Sesiapa yang tidak percayakan persepsi, maka ia adalah primitif.” Ini sangat bertentangan dengan apa yang diajar oleh Allah melalui ayat-ayat dalam surah al hujurat ini. Bagaimana mungkin kita mahu berkiblatkan orang barat dan pemikiran mereka sedangkan mereka sekali-kali tidak mengikut kaedah Islam dalam isu zhan ini melainkan hanyalah sangkaan dan waham yang mereka warisi dari nenek moyang mereka sehingga mereka merasakan berada atas jalan kebenaran. Padahal merekalah orang-orang yang berdusta atas nama ilmu sains sosial.

Adakah boleh kita katakan sesuatu itu adalah benar hanya kerana majoriti masyarakat mengatakan benar? Contohnya seorang muslim yang tinggal di negara yang majoritinya kristian, adakah wajib dia mengikut persepsi masyarakat negara itu yang memandang semua orang Islam adalah ganas? Sudah tentu tidak.

PERSEPSI BERUBAH MENJADI INFORMASI

Sebuah hadis qudsi menyebut, ” ان ظن خيرا فله و ان ظن شرا فله- رواه أحمد  “انا عند ظن عبدي بي yang maksudnya, ”Aku di sisi(sebagaimana) sangkaan hambaKu denganKu, sekiranya dia(hambaKu) bersangka baik, maka baginya(natijah baik), dan sekiranya dia bersangka buruk, maka baginya juga(natijah buruk)”. Hadis Qudsi ini mengajar kita agar berfikiran positif kerana Allah redha dengan sangkaan baik dan murka dengan sangkaan buruk. Sekiranya kita berfikiran negatif, maka ia membentuk informasi yang salah dalam masyarakat. Menurut kajian barat, proses persepsi boleh ’mengubah’ apa yang manusia lihat. Apabila kita melihat sesuatu dengan konsep yang telah diprasangkakan, kita akan anggap prasangka itu sebagai maklumat atau fakta. Keadaan ini berlaku oleh kerana manusia mampu untuk memahami informasi baru tanpa ‘the inherent bias of their previous knowledge’ (pengetahuan lampau tentang sesuatu yang diwarisi secara berpihak).

Ada orang yang berhujjahkan hadis ini untuk menjustifikasikan bahawa benarnya konsep persepsi berubah menjadi informasi atau fakta. Kalaulah begitu, biarlah kita menjadi warga yang sentiasa berpersepsi baik agar natijahnya baik. Melainkan kita memang berniat untuk membentuk persepsi buruk terhadap individu atau organisasi tertentu.

Peranan media sangat penting dalam membentuk persepsi yang baik dalam masyarakat. Apa yang sering media paparkan, itulah yang akan menguasai minda masyarakat umum. Kesimpulannya, apa yang bermain di minda masyarakat, kemudian menjadi informasi dan fakta bagi mereka, tidak semestinya benar dan baik di sisi Islam.

Ini merupakan suatu cabaran yang sangat besar dan getir bagi umat Islam khususnya pendokong perjuangan Islam untuk membentuk persepsi yang baik di kalangan masyarakat terhadap apa yang mereka bawa selama ini agar diterima ramai dengan baik.

Ibnu Abbas an Najjar
Unit Tarbiyyah GANTI
7 Rejab 1436

Rabu, 22 April 2015

JAMAAH ISLAM PERLUKAN MURABITUN

Murabitun merujuk kepada anggota jamaah yang bekerja sepenuh masa untuk Islam, tidak kira sama ada dibayar elaun bulanan atau dengan biayaan sendiri. Murabitun dalam negara Islam merujuk kepada tentera-tentera Islam yang bertugas menjaga sempadan tanah air negara Islam. Mereka berkorban jiwa raga untuk jaga kedaulatan tanah air Islam. kedua-dua jenis murabitun ini jika mati,  mereka mati syahid di jalan Allah sama ada dapat syahid akhirat (diuruskan jenazah mereka seperti biasa-mandi,  kafan,  solat, kebumi)  atau dunia akhirat.

Kedudukan murabitun dalam jamaah Islam sangat mulia kerana kehidupan mereka diinfaqkan untuk jalan Allah tidak kira di arena dakwah,  tarbiyyah dan siasah. Fikiran mereka 100% untuk jamaah. Mereka tidak dapat meluangkan masa dengan anak isteri seperti orang lain. Malam mereka penuh dengan aktiviti jamaah seperti mesyuarat,  usrah,  ceramah,  dan seumpamanya. Siang mereka juga untuk jamaah, mungkin melaksanakan tugas-tugas kepejabatan, menguruskan borang-borang keahlian jamaah dan seumpamanya. Mungkin sebahagiannya menjaga institusi-institusi pendidikan milik jamaah. Mungkin juga sebahagiannya menjalankan aktiviti ekonomi jamaah di siang hari. Di saat orang biasa bercuti di hujung minggu,  hidup mereka dikelilingi aktiviti jamaah yang padat. Di saat orang biasa bekerja makan gaji di pejabat-pejabat kerajaan dan swasta,  mereka ditugaskan sepenuh masa di markaz-markaz pilihanraya apabila muncul pilihanraya kecil dan umum.

Justeru,  orang ramai di kalangan amilin(petugas-petugas),  ahli jamaah,  penyokong-penyokong seharusnya menghargai mereka dengan memberi sokongan kewangan atau sekurang-kurangnya sokongan moral. Bukan menuding jari atau mencari kesilapan dan kesalahan apabila natijah pilihanraya tidak sebagaimana yang dikehendaki.

Mudah-mudahan kita tergolong di kalangan orang-orang yang benar-benar menginfaqkan diri untuk jalan Allah dan mati dalam keadaan dikurniakan syahid insyaAllah, sebagaimana sabda Nabi saw,

من سأل الشهادة بصدق بلغه الله منازل الشهادة و إن مات على فراشه
Maksudnya,

"Barangsiapa yang meminta syahid dengan benar,  Allah sampaikan dia ke maqam syahadah walaupun ia mati atas katilnya. "

Ibnu Abbas An Najjar
Unit Tarbiyyah GANTI
23 April 2015
4 Rejab 1436

TINTA TARBAWI

إن في خلق السماوات و الأرض و اختلاف الليل و النهار لآيات لأولى الألباب. الذين يذكرون الله قياما و قعودا و على جنوبهم و يتفكرون في خلق السماوات و الأرض.

"Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, dan silih berganti malam dan siang,  ada tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang berfikir. Iaitu mereka yang mengingati Allah ketika berdiri,  duduk dan berbaring (di atas lambung mereka) , dan mereka berfikir pada penciptaan langit dan bumi."

Ada dua tafsiran di sisi mufassirun pada ayat "mereka mengingati Allah ketika berdiri,  duduk dan berbaring".

Pertama, 'mengingati Allah dalam ayat tersebut merujuk kepada mendirikan solat,  sebagaimana sabit dalam hadis Nabi saw yang berbunyi,  "صل قائما فإن لم تستطع فقاعدا و إن لم تستطع فعلى جنب" yang maksudnya,  "Solatlah dalam keadaan berdiri,  sekiranya tidak mampu,  dalam keadaan duduk,  sekiranya tidak mampu juga hendaklah dalam keadaan berbaring."

Kedua,  ia membawa makna zahir ayat iaitu Ulul Albab ialah orang-orang yang sentiasa mengingati Allah di setiap masa. Aisyah pernah menyebut,  "كان النبي صلى الله عليه و سلم يذكر الله في كل أحيانه" yang bermaksud, "Adalah Nabi saw sentiasa mengingati Allah."

TAKRIF ZIKRULLAH

Ada dua kalimah di sini:Zikir dan Allah. Secara bahasa,  zikir asal dari ذكر يذكر ذكرا yang maknanya SEBUT atau INGAT. Maka Zikrullah bererti MENGINGATI ALLAH. Adapun secara istilahi,  zikrullah merujuk kepada lafaz-lafaz khusus yang diajar Nabi saw sebagai salah satu usaha tazkiyatunnafsi(penyucian jiwa), seterusnya mendekatkan diri dengan Allah azza wa jalla.

Lafaz khusus ini ada yang diajar Nabi saw untuk dibaca selepas solat lima waktu. Contohnya bacaan Tasbih,  Tahmid dan Takbir yang diperintahkan baca 33 kali. Ada juga dalil umum yang mengajak orang beriman agar perbanyakkan zikrullah tanpa hadkan bilangan.

KESAN ZIKRULLAH

Ada dua ayat menyentuh tentang kesan zikrullah. Pertama, ia menenangkan hati. Firman Allah, 

ألا بذكر الله تطمئن القلوب
yang maksudnya,  "Ketahuilah bahawa dengan zikrullah , ia menenangkan hati-hati."

Kedua,  menggetarkan hati-hati(kerana takutkan Allah) sebagaimana firman Allah,

إنما المؤمنون الذين أذا ذكر الله وجلت قلوبهم......
yang maksudnya,  "Hanyasanya orang-orang beriman itu ialah apabila disebut Allah,  bergetar hati-hati mereka."

HUBUNGAN SYARIAT DAN HAKIKAT ZIKRULLAH

Syariat Islam mengajar kita zikir-zikir berlafaz di lidah bertujuan melatih diri agar senantiasa mengingati Allah di setiap masa. Syarat zikrullah berlafaz diterima Allah ialah sebutan kita betul,  tidak lari maknanya. Kedua,  kita fahami makna lafaz itu. Bayangkan jika kita benar-benar jadikan amalan zikrullah setiap kali selepas solat lima waktu setiap hari,  sudah tentu kebarangkalian mengingati Allah di luar solat dan di luar sejadah lebih besar berbanding orang-orang yang tidak basahkan lidah dengan zikrullah.

PENUTUP

Kata Ibnu Atoillah as Sakandari, 

“لا تترك الذكر لعدم حضورك مع الله فيه ,لأن غفلتك عن وجود ذكره أشد من غفلتك فى وجود ذكره.فعسى أن يرفعك من ذكر مع وجود غفلة ..إلى ذكر مع وجود يقظة, و من ذكر مع وجود يقظة إلى ذكر مع وجود حضور ,و من ذكر مع وجود حضور إلى ذكر مع غيبة عما سوى المذكور ..و ما ذلك على الله بعزيز”

” Jangan kamu meninggalkan zikir, ( menyebut @ mengingat Allah ) disebabkan tidak hadir hatimu terhadap Allah dalam zikir itu, ini kerana kelalaian kamu terhadap Allah ketika tidak berzikir itu lebih berat @ bahaya daripada kelalaianmu terhadap Allah ketika kamu berzikir. Mudah-mudahan Allah S.W.T. akan mengangkat darjatmu daripada zikir yang ada kelalaian, kepada zikir yang hatimu sentiasa sedar. Dan seterusnya kepada zikir yang beserta kehadiran Allah dalam hati, dan akhirnya kepada zikir yang lenyap segala yang lain selain Allah. Dan itu semua tidaklah sukar bagi Allah. “

Berzikirlah walaupun hati masih lalai. Teruskan istiqamah berzikrullah hingga ke akhir hayat dengan cara yang diajar oleh Nabi saw, ditunjuk kepada kita oleh alim ulama' sepanjang zaman. Jauhilah cara-cara yang syaz(ganjil) kerana dibimbangi terjerumus ke lembah kesesatan.

Wallahu a'lamu bissowab.

Ibnu Abbas an Najjar
Unit Tarbiyyah GANTI
22 April 2015
3 Rejab 1436

Selasa, 21 April 2015

DIALOG TERBUKA MERUNGKAI ISU KAMPUNG BANGGOL DONAS: MENCARI TITIK PENYELESAIAN

KENYATAAN MEDIA GANTI

Susulan dari kesanggupan pihak Jawatankuasa Bertindak Kampung Banggol Donas (JBBD) yang di ketuai oleh Tuan Hj. Salleh Embong untuk menjawab semua kekeliruan dan fitnah yang dilontarkan kepada perjuangan JBBD, GANTI telah mengambil inisiatif untuk cuba mempertemukan Tn Hj Salleh dengan YAB Dato' Menteri Besar dalam satu dialog terbuka yg diharap memberi ruang kpd JBBD dan pihak Kerajaan Negeri Terengganu mencari jalan penyelesaian kpd isu yg terlalu lama berlarutan.

Hari ini saya sendiri telah ke Pejabat Menteri Besar untuk menyerahkan surat jemputan bagi menjayakan dialog berkenaan.

Sebelum itu saya dikejutkan dengan berita tindakan provokatif yg kebudak budakan yg menggesa penduduk Kampung Banggol Donas menandatangani kanvas besar yg bertulis gesaan untuk kerajaan bertindak terhadap pemilik pemilik tanah. Ini betul betul berhampiran rumah mangsa terlibat. Malah ada berita MB pun turut hadir tandatangan.

Sayang sekali mangsa sudah berkali2 berharap dapat berjumpa MB untuk selesaikan masalah, namun begitu walau MB sudah sampai begitu hampir dgn rumah mangsa, YAB Dato memilih untuk hadir tandatangan kanvas berkenaan sahaja dan bukannya menziarah mangsa dan bertanya khabar.

GANTI berharap YAB Dato Razif dapat memberikan maklumbalas terhadap jemputan berkenaan.

Hj Ahmad Amzad Hashim
Presiden GANTI
21hb April 2015

Kandungan Surat.

Kepada

YAB DATO’ HJ. AHMAD RAZIF BIN ABDUL RAHMAN
Menteri Besar Terengganu
Wisma Darul Iman
Kuala Terengganu

21hb. April 2015

Assalamua’laikum Wrt. Wb.

Yang Amat Berhormat Dato’,

Per : Jemputan Dialog Terbuka Merungkai Isu Kampung Banggol Donas: Mencari Titik Penyelesaian

Merujuk kepada perkara atas, sukacita dimaklumkan Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI) adalah sebuah organisasi tidak berasaskan keuntungan yang bergerak cergas di negeri Terengganu membantu masyarakat membuat perubahan dalam permasalahan kehidupan masyarakat khususnya bersabit isu-isu rakyat.

2.Berhubung dengan isu di atas GANTI berpandangan isu ini sudah berlarutan terlalu lama sehingga merugikan rakyat, kerajaan dan juga penduduk kampung yang terlibat dalam pertikaian. Berbagai maklumat yang tidak benar serta mengelirukan orang ramai tersebar yang perlukan penjelasan.

3.    GANTI telah mengambil inisiatif berbincang dengan Jawatankuasa Bertindak Isu Banggol Donas (JBBD) yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Salleh bin Embong yang kami dapati sebenarnya mahu menyelesaikan dan memberi penjelasan berhubung isu ini serta merungkai segala permasalahan. Kami dapati JBBD tidak berpendirian menentang projek pembangunan yang mendatangkan manfaat kepada rakyat.

4.  Sehubungan dengan itu GANTI dengan persetujuan Tuan Haji Salleh Embong yang mewakili JBBD dengan sepenuh harapan menjemput YAB Dato’ untuk hadir atau menghantar wakil bagi sebuah program  “Dialog Terbuka Merungkai Isu Kampung Banggol Donas: Mencari Titik Penyelesaian”.

5.   Tarikh serta tempat bagi Dialog ini kami pohon YAB Dato’ yang tentukan mengikut kesesuaian masa YAB dengan maklum balas YAB Dato’ semoga dapat kami terima dalam tempoh 7 hari dari tarikh surat ini.

6.    Sekali lagi kami ingin menyatakan harapan kami agar Isu Banggol Donas ini dapat diselesaikan dengan cara yang merungkai segala kekilanan di semua pihak. Sementelah lagi isu ini melibatkan masyarakat kampung, tanah pemilikan melayu, sesama umat Islam dan bangsa melayu yang mana YAB Dato’ selaku Menteri Besar  Terengganu mempunyai kuasa untuk menamatkan isu ini secara baik dan harmoni.

7. Untuk sebarang pertanyaan, pihak YAB Dato’ bolehlah berhubung terus dengan saya, Haji Ahmad Amzad bin Hashim ( Presiden GANTI) di nombor telefon 019-985 4013.

Kerjasama dan jasa baik dari pihak YAB Dato’ saya dahului dengan ucapan ribuan terima kasih. Sekian, dengan hormatnya dan terima kasih.

Wassalamua’laikum Wrt. Wb.

Yang benar

Haji Ahmad Amzad Hashim
Presiden GANTI

Salinan:
1)Jawatankuasa Bertindak Banggol Donas (u.p: Tn. Hj. Salleh Embong)

DIALOG TERBUKA MERUNGKAI ISU KAMPUNG BANGGOL DONAS: MENCARI TITIK PENYELESAIAN

KENYATAAN MEDIA GANTI

Susulan dari kesanggupan pihak Jawatankuasa Bertindak Kampung Banggol Donas (JBBD) yang di ketuai oleh Tuan Hj. Salleh Embong untuk menjawab semua kekeliruan dan fitnah yang dilontarkan kepada perjuangan JBBD, GANTI telah mengambil inisiatif untuk cuba mempertemukan Tn Hj Salleh dengan YAB Dato' Menteri Besar dalam satu dialog terbuka yg diharap memberi ruang kpd JBBD dan pihak Kerajaan Negeri Terengganu mencari jalan penyelesaian kpd isu yg terlalu lama berlarutan.

Hari ini saya sendiri telah ke Pejabat Menteri Besar untuk menyerahkan surat jemputan bagi menjayakan dialog berkenaan.

Sebelum itu saya dikejutkan dengan berita tindakan provokatif yg kebudak budakan yg menggesa penduduk Kampung Banggol Donas menandatangani kanvas besar yg bertulis gesaan untuk kerajaan bertindak terhadap pemilik pemilik tanah. Ini betul betul berhampiran rumah mangsa terlibat. Malah ada berita MB pun turut hadir tandatangan.

Sayang sekali mangsa sudah berkali2 berharap dapat berjumpa MB untuk selesaikan masalah, namun begitu walau MB sudah sampai begitu hampir dgn rumah mangsa, YAB Dato memilih untuk hadir tandatangan kanvas berkenaan sahaja dan bukannya menziarah mangsa dan bertanya khabar.

GANTI berharap YAB Dato Razif dapat memberikan maklumbalas terhadap jemputan berkenaan.

Hj Ahmad Amzad Hashim
Presiden GANTI
21hb April 2015

Kandungan Surat.

Kepada

YAB DATO’ HJ. AHMAD RAZIF BIN ABDUL RAHMAN
Menteri Besar Terengganu
Wisma Darul Iman
Kuala Terengganu

21hb. April 2015

Assalamua’laikum Wrt. Wb.

Yang Amat Berhormat Dato’,

Per : Jemputan Dialog Terbuka Merungkai Isu Kampung Banggol Donas: Mencari Titik Penyelesaian

Merujuk kepada perkara atas, sukacita dimaklumkan Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI) adalah sebuah organisasi tidak berasaskan keuntungan yang bergerak cergas di negeri Terengganu membantu masyarakat membuat perubahan dalam permasalahan kehidupan masyarakat khususnya bersabit isu-isu rakyat.

2.Berhubung dengan isu di atas GANTI berpandangan isu ini sudah berlarutan terlalu lama sehingga merugikan rakyat, kerajaan dan juga penduduk kampung yang terlibat dalam pertikaian. Berbagai maklumat yang tidak benar serta mengelirukan orang ramai tersebar yang perlukan penjelasan.

3.    GANTI telah mengambil inisiatif berbincang dengan Jawatankuasa Bertindak Isu Banggol Donas (JBBD) yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Salleh bin Embong yang kami dapati sebenarnya mahu menyelesaikan dan memberi penjelasan berhubung isu ini serta merungkai segala permasalahan. Kami dapati JBBD tidak berpendirian menentang projek pembangunan yang mendatangkan manfaat kepada rakyat.

4.  Sehubungan dengan itu GANTI dengan persetujuan Tuan Haji Salleh Embong yang mewakili JBBD dengan sepenuh harapan menjemput YAB Dato’ untuk hadir atau menghantar wakil bagi sebuah program  “Dialog Terbuka Merungkai Isu Kampung Banggol Donas: Mencari Titik Penyelesaian”.

5.   Tarikh serta tempat bagi Dialog ini kami pohon YAB Dato’ yang tentukan mengikut kesesuaian masa YAB dengan maklum balas YAB Dato’ semoga dapat kami terima dalam tempoh 7 hari dari tarikh surat ini.

6.    Sekali lagi kami ingin menyatakan harapan kami agar Isu Banggol Donas ini dapat diselesaikan dengan cara yang merungkai segala kekilanan di semua pihak. Sementelah lagi isu ini melibatkan masyarakat kampung, tanah pemilikan melayu, sesama umat Islam dan bangsa melayu yang mana YAB Dato’ selaku Menteri Besar  Terengganu mempunyai kuasa untuk menamatkan isu ini secara baik dan harmoni.

7. Untuk sebarang pertanyaan, pihak YAB Dato’ bolehlah berhubung terus dengan saya, Haji Ahmad Amzad bin Hashim ( Presiden GANTI) di nombor telefon 019-985 4013.

Kerjasama dan jasa baik dari pihak YAB Dato’ saya dahului dengan ucapan ribuan terima kasih. Sekian, dengan hormatnya dan terima kasih.

Wassalamua’laikum Wrt. Wb.

Yang benar

Haji Ahmad Amzad Hashim
Presiden GANTI

Salinan:
1)Jawatankuasa Bertindak Banggol Donas (u.p: Tn. Hj. Salleh Embong)

Isnin, 20 April 2015

PEKEBUN KECIL DAN GST

Di antara bulan mac hingga mei dan antara bulan april hingga jun bagi sesetengah tempat akan mengalami musim daun luruh bagi pokok getah. Ia merupakan suatu musim yang normal setiap tahun di mana daun pokok getah akan gugur dan akan kembali tumbuh pucuk-pucuk baru.

Apa yang dapat di kongsikan di sini adalah sepanjang tempoh daun luruh ini, pokok getah tidak akan mengeluarkan susu getah (lateks) mengikut waktu kebiasaannya kerana zat lateks dan lain lain yang ada pada pokok getah di perlukan untuk proses tumbesaran tunas pucuk muda dan seterusnya menggalakkan proses fotosistensis berlaku.

Apabila berlaku proses torehan dalam tempoh musim daun luruh ini, lateks yang di keluar akan berkurangan dan agak cair dari kebiasaanya. Ini kerana kandungan getah kering (KGK) yang terdapat dalam lateks adalah kurang berbanding kebiasaannya.

Di sini dapat kita fahami, bagaimana nasib pekebun kecil hari ini yang menyara diri dan keluarga melalui pendapatan daripada hasil menoreh getah. Dalam urusan penjualan dan pembelian getah pula adalah berdasarkan kepada peratusan (%) KGK berdasarkan kepada harga pasaran getah semasa yang di keluarkan oleh pihak Lembaga Getah Malaysia (LGM). Selain daripada faktor % KGK, terdapat dua faktor lagi mempengaruhi harga iaitu kos operasi kilang (diskaun) dan juga cess.

Purata diskaun ketika ini adalah antara 100-110 sen/kg dan cess pula adalah sebanyak 14 sen/kg.

Katakan sebagai contoh, harga rasmi pembukaan SMR 20 pada hari akhir pasaran minggu lalu adalah 503.00 sen/kg dan di lihat turun kepada 497.50 sen/kg di waktu penutup pada sesi petang (Jam 5.00 petang).

Daripada harga yang di keluarkan ini dapat di ketahui harga kebun (Farmgate) bagi setiap kilogram getah. Kebiasaan harga farmgate ini, KGK adalah separuh atau 50% daripada harga rasmi yang di keluarkan. Ini kerana harga rasmi SMR adalah merujuk kepada 100% KGK yang telah siap di proses. Jika di ambil dari harga penutup pasaran pada jumaat iaitu 497.50 sen/kg dan di tolak dengan diskaun (110.00 sen/kg) dan cess (14 sen/kg), kita akan mendapat 373.50 sen/kg. Dari harga ini kita darabkan dengan 50% KGK dan kita akan mendapat harga farmgate 186.75 atau 187.00 sen/kg (RM1.87 sekilogram).

Bayangkan dengan purata harga getah sekarang ini antara RM1.60-1.90 sekilogram, agak-agak berapakah pendapatan pekebun kecil getah setiap hari di tambah dengan desakan hidup di sebabkan segala kos pembelanjaan meningkat setiap hari.

Pekebun kecil getah hari ini menghadapi masalah bertimpa-timpa, dengan keadaan musim daun luruh, hasil torehan mereka tidak seberapa dan di tambah dengan faktor ekonomi dan pasaran harga getah semakin lesu. Di mana peranan kerajaan melalui kementerian terbabit dalam menangani isu harga getah ini? Hilang, lenyap dan membisu seribu bahasa. Dahulu mereka lah yang gah dengan slogan Industri Getah bukan lagi 'SUNSET Industry' dan apabila berlaku sebaliknya, mereka pula tidak bertanggungjawab dengan slogan yang di bawanya dan rakyat seolah mengiyakan, memang betul getah ni adalah Sunset industry.

Apa yang di harapkan rakyat di kalangan pekebun kecil ini agar pihak berwajib turun membantu, rupa-rupanya tidak malah kerajaan hari ini dengan terus rakus mengutip hasil titik peluh rakyat dengan cukai GST pula.

Di sini kita dapat lihat dan saksikan, program bantah GST yang di anjurkan oleh Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) diadakan pada petang jumaat lalu di pantai batu buruk, kuala terengganu di hadiri oleh ribuan rakyat terengganu malah ada di antara mereka yang datang dari kawasan luar bandar yang bersama-sama bersolidariti membantah GST.

Unit Hubungan Masyarakat GANTI
21 April 2015
1.10 a.m

Sabtu, 18 April 2015

RAKYAT TERENGGANU BERHIMPUN BANTAH GST


Pantai Batu Burok mencipta sejarah baru yang tersendiri apabila ribuan rakyat hadir dalam program bantah GST anjuran Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT). Program tersebut telah diadakan semalam selama 2 jam bermula jam 5 petang.

Berbagai pengisian yang diadakan, antaranya pidato, persembahan buskers, falshmob dan agihan flyer berkenaan GST. Rata-rata pengunjung pantai peranginan Batu Burok turut memberikan sokongan terhadap bantahan yang dibuat.

Antara pemidato yang dijemput adalah wakil GAMIS, presiden GANTI, Pengerusi DEMI, wakil kaum hawa, ketua DPPNT dan juga pimpinan BPPNT. Pidato diselang seli dengan laungan bantah GST dan oleh peserta yang kebanyakannya hadir bersama keluarga. Mereka turut dihiburkan dengan beberapa buah lagu berunsur luahan rakyat dendangan sebuah kumpulan buskers tempatan.

Menurut Pengerusi majlis, Ustaz Wan Sukairi Wan Ahmad, rata-rata peserta yang hadir adalah mewakili semua lapisan masyarakat. Bukan sahaja pemuda, malahan wanita, warga emas, profesional, aktivis NGO, ahli akademik dan ahli agama turut berhimpun pada petang itu. Mereka datang dari semua daerah termasuk Kemaman, Besut dan Hulu Terengganu.

Sambutan hebat sebegini memberi signal kepada kerajaan bahawa perlaksanaan GST ini telah menyusahkan semua golongan masyarakat. Rakyat Terengganu mungkin antara yang paling ramai terkesan kerana jumlah penduduk di bawah paras kemiskinan yang masih tinggi.

Ini juga adalah amaran buat kerajaan yang ada sekarang. Sekiranya tiada apa-apa tindakan dilakukan untuk menangani kemarahan rakyat sekarang, tidak mustahil UMNO BN akan tumbang dalam pilihanraya akan datang. GST telah menyebabkan bukan sahaja penyokong parti pembangkang yang marah, tetapi penyokong dan ahli BN turut memprotes tindakan kerajaan tersebut.

Bantahan GST akan terus dilakukan dari semasa ke semasa. BPPNT melalui DEMI akan bertindak sebagai badan memobilisasikan ketidakpuashatian rakyat dari seluruh pelusuk negeri supaya kerajaan sedar dan bertindak sewajarnya. Beberapa program dalam jangkamasa terdekat telahpun diatur melibatkan ceramah, wacana, demonstrasi, himpunan dan seumpamanya.

* Untuk lebih berita, artikel dan gambar berkenaan perjuangan NGO-NGO Terengganu, layari:
www.demiterengganu.blogspot.com

Jumaat, 17 April 2015

NOTA UNTUK DIRI 2.0

Daripada 6 bilion manusia atas mukabumi,  Allah taqdirkan lebih 1.3 bilion umat Islam. Daripada 1.3 bilion itu,  Allah taqdirkan hanya Ahlu sunnah wal jamaah jalan yang selamat. Daripada penganut aqidah Ahlu sunnah wal jamaah,  ditaqdirkan kita berada dalam jamaah Islam. Daripada ramai-ramai yang berada dalam jamaah Islam,  ada yang diberi jawatan dan ada yang hanya ahli biasa.

Justeru,  hargailah keberadaan kita dalam jamaah ini. Hargailah peranan kita dalam organisasi. Mana mungkin kehidupan kita sama dengan ahli pertubuhan lain. Mana mungkin kehidupan kita sama dengan yang di atas pagar. Mana mungkin kehidupan kita sama dengan penyokong. Mana mungkin kehidupan seharian kita sama dengan ahli biasa.

Bangun setiap pagi,  pastikan sudah ada jadual jihad untuk hari berkenaan.

Unit Tarbiyyah GANTI
Ibnu Abbas an Najjar
18 April 2015
28 Jamadil Akhir 1436

Rabu, 15 April 2015

BATASAN ISLAM

islam mengajar kita batasan(hudud) . Dalam percakapan ada batasan, dalam pakaian ada batasan,  dalam makan minum ada batasan,  dalam bersangka ada batasan,  dalam berhukum ada batasan, dalam ibadah ada batasan,   dalam siasah ada batasan, dalam berjihad ada batasan.

Kita dilarang bertindak di luar batasan.

Betulkan yang biasa,  biasakan yang betul.

Ibnu Abbas an Najjar
15 April 2015
25 Jamadil Akhir 1436
8:13 pagi

Ahad, 12 April 2015

JIHAD



Syeikh Said Hawwa menggariskan ada 5 bentuk jihad dalam kitabnya Jundullah-Jihad Pada Jalan Allah:

1.Lisan
2.Ta'lim(Pendidikan) 
3.Tangan dan diri
4.Politik
5.Harta


Jihad merupakan rukun bai'ah keempat selepas al fahmu,  al Ikhlas,  dan Al Amal. Ia adalah kemuncak amalan dalam Islam. Nabi saw bersabda, 

ألا أدلك على رأس الأمر و عموده و ذروة سنامه؟ رأس الأمر الإسلام و عموده الصلاة و ذروة سنامه الجهاد

yang maksudnya, "Mahukah kamu aku tunjukkan kepala amalan,  tiangnya dan kemuncaknya? Kepala amalan adalah Islam,  tiangnya adalah solat dan kemuncaknya adalah jihad."

Kemuncak amalan merupakan suatu yang menjadi tanda izzah Islam. Islam nampak hebat dengannya. Musuh Islam gerun dengan izzah ini. Bahkan mereka cuba sedaya upaya secara halus untuk pupuskan konsep jihad dalam hati umat Islam agar mereka terus berkuasa atas mukabumi. Jika kita sinonimkan Terengganu dengan 'trademark' Bukit Besar yang tertulis 'ALLAH SELAMATKANLAH TERENGGANU', maka begitulah orang kenal kehebatan Islam dengan adanya jihad.

Justeru,  jangan biar jihad hilang dari hati sanubari kita. Walau apapun kerjaya kita,  jawatan kita,  latarbelakang ekonomi kita,  bangsa kita,  jangan sekali-kali cabut makna jihad itu dari jiwa kita. Biarkan ia terus jadi darah daging kita.
[15/04 15:35] Ust Wan Faiz0l: TAAT(RUKUN BAI'AH KELIMA)


يا أيها الذين آمنوا أطيعوا الله و أطيعوا الرسول و أولى الأمر منكم فإن تنازعتم في شيء فردواه إلى الله و رسوله

Allah berfirman yang maksudnya

"Wahai orang-orang yang beriman,  taatlah Allah dan taatlah Rasul dan pemimpin-pemimpin di kalangan kamu(umara'dan ulama'). Maka jika kamu bertelingkah dalam sesuatu urusan,  maka kembalilah kepada Allah dan RasulNya."

Taat kepada Allah dan Rasulullah merupakan ketaatan tidak berbelah bahagi dan bersifat mutlaq. Tiada tolak ansur dan tawar menawar lagi. Adapun taat kepada pemimpin bergantung kepada suruhan pemimpin itu adakah ia maksiat atau sebaliknya. Nabi saw pernah berpesan,

"لا طاعة لمخلوق في معصية الخالق"
yang maksudnya,  "Tiada ketaatan kepada makhluk pada mengingkari Pencipta".


Konsep ketaatan dalam Islam sebenarnya sangat luas sehingga ia meliputi semua organisasi yang mempunyai pemimpin dan pengikut, Imam dan Ma'mum,  pemerintah dan rakyat,  guru dan murid,  ketua keluarga dan anak isteri,  dan seumpamanya. Ia menjadi ujian kepada orang bawahan untuk melaksanakan tuntutan dengar dan taat pada perkara yang tidak maksiat.

Ada perkara yang orang bawahan merasa tidak puashati dengan keputusan pihak atasan. Di saat itu,  Allah menguji orang bawahan dengan konsep dengar dan taat. Jika mereka mengingkari suruhan, bermakna mereka gagal menghayati tuntutan agama yang sangat besar. Hayati kisah-kisah dalam Al Qur'an bagaimana Allah menguji ketaatan orang bawahan terhadap pihak pimpinan. Antaranya kisah Talut dan tenteranya. Bagaimana mungkin masuk Aqal disuruh minum air sungai hanya seteguk dalam keadaan tentera yang amat dahaga ? Tetapi itulah nilai taat. Lihat juga kisah perjanjian Hudaibiyah yang dikatakan oleh Umar al Khattab sebagai berat sebelah.

Banyak lagi kisah-kisah teladan yang boleh diambil iktibar untuk kita hayati konsep taat ini. Cukuplah setakat huraian ringkas ini. Anggota jamaah wajib menghadam tajuk sebesar ini dalam sesi usrah bagi mendapat kefahaman yang lebih baik.

Wallahu a'lam.

Unit Tarbiyyah GANTI
12 April 2015/ 22 Jamadil Akhir 1436
9:30pagi

Sabtu, 11 April 2015

TRANSFORMASI TERENGGANU BARU YAB MB TERENGGANU DIHODOHKAN EPISOD KEZALIMAN TERHADAP PENDUDUK BANGGOL DONAS

KENYATAAN MEDIA GANTI
12HB APRIL 2O15

Saya merujuk kepada surat arahan baru bertarikh 8hb April 2015 kepada pelbagai agensi yg bertujuan melaksanakan penguatkuasaan / perobohan rumah kediaman / pengusiran keluar dari tanah beberapa penduduk yg terlibat dalam pertikaian undang2 berkaitan pengambilalihan tanah yg didakwa tidak mengikut peraturan dan luar biasa.

Perobohan ini dijadualkan besok pagi, Isnin 13hb April 2015.

Sehingga tarikh ini kes ini sedang dalam proses ke Mahkamah Persekutuan dan belum dimuktamadkan sepenuhnya.

Arahan seperti ini hanya menghancurkan imej baik hati yg cuba dipropagandakan oleh YAB Menteri Besar.

Sementelah lagi Banggol Donas berada di kawasannya UMNO Bahagian Kuala Nerus yang beliau adalah merupakan Ketua Bahagian.

Saya minta YAB Menteri Besar agar dapat mengambil langkah meredakan ketegangan yg dijangka timbul dari isu ini.

Sudah tentu ini akan jadi tarikan media diperingkat nasional yg akan cuma merosakkan konsep TTB yg dipelopori YAB MB.

Langkah terbaik adalah jika YAB MB turun padang berjumpa sendiri dgn mangsa pertikaian dan berunding.

Kita sesama Islam dan sesama melayu pula. Bukan setakat satu negeri, sekampung pula.

Jika perlu dan YAB cukup berjiwa besar, saya sedia aturkan.

Ataupun saya tidak berhalangan aturkan 'cakap anak beranak' hati ke hati dengan YAB di pejabat YAB.

Sebagai permulaan, GANTI pohon dan tuntut ditangguhkan dahulu sebarang operasi penguatkuasaan ke atas tanah berkenaan yg dijadualkan besok.

Sekali lagi, rakyat tidak akan berdiam diri dengan situasi begini.

HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Presiden
Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI)

Jelajah HINDAR ke seluruh negara.

1. Jabatan Pilihanraya dan Lajnah Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat mengambil kesempatan untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan Himpunan Derita Rakyat (HINDAR) pada hari ini, khasnya YAB Timbalan Mursyid Am PAS dan Yb Datuk Seri Tuan Guru Presiden PAS yang hadhir menambah erti dan nilai pada himpunan rakyat membantah GST.

2. Kehadiran orang ramai yang melepasi jangkaan sekitar 4 ke 5 ribu orang menjelang solat Maghrib, memenuhi separuh Padang Merbok telah menepati objektif yang ingin dicapai oleh penganjur bagi menjelaskan kenapa GST dibantah oleh rakyat. Ia juga menjadi signal kepada kerajaan UMNO dan BN bahawa langkah mereka mengenakan cukai GST adalah langkah sumbang yang mengundang derita rakyat.

3. Ustaz Dr Datuk Nik Zawawi Salleh Setiausaha Majlis Syura Ulamak, Tuan Hj Mohamad Sabu Timbalan Presiden PAS, Ustaz Dr Dato' Mahfuz Mohamad Pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ust Syarhan Abdul Halim Ketua Dewan Pemuda. PAS Negeri Selangor, Bob Lokman, Wakil Ngo GANTI Saudara Amzad, Mejar (B) Zaidi, Wakil OKU, Wakil Pemandu Teksi dan Presiden GAMIS Saudara Imran antara yang memanaskan pentas pidato HINDAR. Hadir sama ialah Ustaz Dr Khairudin Aman Razali at Takiri, Ustaz Mokhtar Senik Ketua DUPN Pahang yang mengimamkan solat hajat, Yb Ustaz Abdullah Husin Ketua DUPN Johor, Ustaz Dr Abu Bakar Abdullah Pengerusi Lajnah Kebajikan DUPP dan Ustaz Asri Daud ad Diwanie Bendahari DUPP.

4. HINDAR turut diserikan dengan persembahan Pentomen yang sangat menyentuh perasaan hadirin oleh kumpulan Langat Warrior dan Nasyid Infiru oleh Kumpulan ByHaq. Bob Lokman dan Yb Ustaz Nasrudin Hassan Tantawi tampil menyampaikan sajak bertemakan Derita Rakyat. Keseluruhan majlis berjalan lancar dengan pengerusi umumnya Ustaz Norazli Musa berjaya mengendali HINDAR dengan baik dan tertib.

5. Kami sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu jayakan  HINDAR termasuk pihak PDRM serta DBKL dan pastinya setinggi - tinggi penghargaan kepada Jabatan AMAL dengan kekuatan 250 orang petugasnya sungguh dedikasi menjayakan HINDAR. Tidak ketinggalan Alternatif Riding Club (ARC) dengan 200 buah motor menderu di Padang Merbok. Insyaallah HINDAR akan jelajah ke seluruh negara bagi meneruskan usaha menyedarkan masyarakat untuk bangkit membantah serta mendesak kerajaan memansuhkan GST.

Ustaz Najhan Abdul Halim
Setiausaha HINDAR

Jumaat, 10 April 2015

NOTA UNTUK DIRI

Jika kita mahu orang lain amalkan TABAYYUN,  kita dululah yang wajib TABAYYUN. Jika kita nasihatkan orang supaya jangan suu'uzzhon,  kita dululah yang wajib husnuzzon. Jika kita marah orang buat tuduhan tanpa bukti,  kita dululah yang wajib elakkan menuduh tanpa bukti.


Selamat menunaikan solat Jumaat.

Ibnu Abbas an Najjar
Unit Tarbiyyah GANTI
10 April 2015

Selasa, 7 April 2015

AMAL JAMAIE 2


Jamaah Islam umpama sebuah bangunan yang dibangunkan atas bahan binaan yang melengkapi antara satu sama lain. Anggotanya wajib menguatkan antara satu sama lain. Ini bertepatan sebagaimana sabds Nabi saw,

المسلم للمسلم كالبنيان يشد بعضه بعضا
maknanya , "Seorang muslim kepada muslim yang lain umpama sebuah binaan,  ia mengukuhkan antara satu sama lain."


Oleh kerana tanggungjawab yang ada pada sesetengah anggota (khususnya pimpinan)  terlalu banyak, sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Hasan Al Banna,  الواجبات أكثر من الأوقات yang bermakna "Tanggungjawab adalah lebih banyak daripada masa yang ada", maka adalah sangat penting setiap anggota disusun gerakerjanya sebaik mungkin untuk melunaskan taklifan yang diberikan.

Namun, sudah tentu berlaku realitinya ada terkadang anggota tidak mampu untuk memenuhi semua taklifan yang diberikan. Ada di antara kita yang punya berbelas jawatan dalam jamaah jika dicampurkan bermula dari cawangan sehinggalah peringkat pusat. Ini terjadi selalunya bukan kerana tamakkan jawatan,  akan tetapi tidak ramai yang sanggup memikul amanah jawatan-jawatan dalam jamaah lantaran sibuk dengan pekerjaan tetapnya atau urusan perniagaannya,  ditambah pula tiada elaun diperuntukkan untuk satu-satu jawatan itu. Justeru,  sepatutnyalah semua anggota faham konsep tolong menolong,  bantu membantu antara satu sama lain setakat kudrat yang dikurniakan kepada kita.

Akhir kata,  ingatlah pesan Nabi saw, 

و الله في عون العبد ما كان العبد في عون أخيه

hang maksudnya,  "...dan Allah sentiasa membantu hambaNya selama mana hambaNya itu membantu saudaranya."

Ibnu Abbas An Najjar
7 April 2015
2:13petang.

Ahad, 5 April 2015

PADU ADAKAN ROADSHOW GST SELURUH TERENGGANU

Sebagai menifestasi bantahan, Persatuan Pengguna Dungun (PADU) dengan kerjasama DEMI akan menjelajahi ke semua 32 DUN seluruh Terengganu, bagi menerangkan kepada rakyat tentang sengsara perlaksanaan GST sekarang selain mendengar keluhan rakyat pelbagai peringkat tentang perkara tersebut. Ianya adalah hasil keputusan mesyuarat beberapa buah NGO Terengganu minggu lepas di Kuala Terengganu.

YAKIN DENGAN ISLAM YANG DIBAWA


Kata Al Marhum Tuan Guru Ustaz Fadzil Mohd Noor,

"PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang awal menyampaikan Islam secara terbuka kepada masyarakat Islam. Islam yang diperjuangkan oleh PAS adalah Islam yang diturunkan oleh Allah yang terkandung di dalam al Qur'an al Karim dan Sunnah Rasul alaihimussolatu wassalam,  merangkumi semua aspek kehidupan manusia yang tidak mengenali pemisahan antara kehidupan yang dianggap sebagai 'ibadat dengan bidang yang dianggap sebagai muamalat,  yang tidak mengenali pemisahan antara apa yang disebut 'Aqidah dan apa yang disebut Syari'at. inilah Islam yang kita yakini. Islam yang kita perjuangkan ialah Islam yang merangkumi al Daulah di satu pihak dan al Jihad di satu pihak. Islam yang tidak  memisahkan di antara din dan daulah iaitu antara agama dan negara. Islam yang tidak memisahkan di antara kekuatan dan keadilan. Islam yang tidak memisahkan antara ketinggian akhlaq dan keadilan undang-undang."

Ibnu Abbas an Najjjar
Unit Tarbiyyah GANTI

Sabtu, 4 April 2015

SYURA

Kata Syeikh Said Hawwa dalam kitabnya Durus Amal Islami, Pelajaran ke 10, "Harakah Islamiyah di setiap negeri mesti mempunyai majlis syura dan dianggotai oleh individu-individu yang berilmu,  beramal,  bertaqwa dan wara'.  Selain itu,  majlis syura yang berada di sesebuah negeri mesti dijadikan sebagai rujukan dalam mengambil setiap keputusan..."

PAS sebagai sebuah harakah islamiyah sudah pasti tidak boleh lari dari panduan ini. Semua abna'ul harakah wajib berpegang dengan panduan ini. Apabila Majlis Syura Ulama' menetapkan suatu keputusan terhadap dasar dan prinsip, atau isu-isu besar dalam jamaah, maka tiada pilihan untuk kita berkata 'tidak' atas alasan apa sekalipun kecuali yang dibenarkan syara'.


Ibnu Abbas an Najjjar
Unit Tarbiyyah GANTI
4 April 2015
1:30pagi

Rabu, 1 April 2015

GELISAH SEDETIK & TIKA(GST)

Pagi kedua dibulan April redup!
Alam ini sedang ratapi kerakusan sang pemerintah kejam dan maha zalim
Sebelum ini ada insan yang tidak bongah, hari ini sudah berani menyangah
Benci bukan sedikit, marah bukan gurauan

Tiada lagi berlari anak keriangan
Tiada lagi berbalas salam dan senyuman
Kedutan di hamparan dahi makin berlipat
Titis peluh mencurah walau dikedinginan malam

Ulas bibir kian kejap mengukir dendam
Alur kemanisan wajah kian hilang
Dulu lengoh sendi saban hari, kini acap kali terhayun sendiri
Salam kecelakaan menyapa lagi

Kalut di semua sudut
Kecoh di semua ceruk
Ombak dada makin pantas
Angkara sang penguasa yang tidak berperi

Melayu mudah lupa bergema , berpekik
Cina sayu menegok bungkusan air mata khudrat tua menitis
Iban terkaku direnung Phutusamy
Duhai bangsa Malaysia yang direntap kejatian.......

Gasak Sembilu Terkena lagi..
Gugup Sekali  Terpaku terduduk
Gelisah Semalam Terus bertamu
Gemilang Semakin Tandus dari alur kecerianmu...

Nukilan:
Naraza Muda
Pengerusi
Anak Peneroka Felda (ANAK)
Cawangan Terengganu

GAMIS, PADU, GANTI, ARC meriahkan flashmob bantah GST

Sempena perlaksanaan GST hari ini, flashmob serentak telah diadakan di beberapa buah tempat sekitar Terengganu. Flashmob yang diadakan bermula jam 5 petang semalam berlangsung di Dungun, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Kemaman dan Besut.

Turut terlibat menjayakan program ini adalah rakan-rakan NGO seperti Persatuan Pengguna Dungun (PADU), Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI), Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (GAMIS), dan Kelab Penunggang Alternatif (ARC). Hampir kesemuanya terlibat di tempat yang berasingan.

Sambutan yang diterima di setiap amat menggalakkan. Orang ramai terutama muda mudi memenuhi ruang perhimpunan mengangkat sepanduk dan poster di sepanjang jalan. Kenderaan yang melintasi tempat berkumpul membunyikan hon tanda sokongan.