Rabu, 10 Jun 2015
ISU BANGGOL DONAS: RUMAH PENDUDUK DI ROBOH SEMPENA KEDATANGAN RAMADHAN?
PAS Kuala Terengganu mengambil berat berita operasi meroboh rumah penduduk yang terlibat dalam pengambilan tanah untuk tujuan pembinaan jalan Jeram - Banggol Tuan Muda yang kemungkinan besar berlaku pagi hari ini 23 Syaaban 1436H, cuma seminggu lagi menyambut bulan Ramadhan yg barokah.
Ini kerana kes ini masih belum dimuktamadkan penyelesaian undang undangnya dan sedang dalam proses mahkamah.
Penduduk yang terlibat masih belum menerima sebarang pampasan atas pengambilan tanah mereka.
Berapa nilainya belum diputuskan mahkamah. Mahkamah telah memberi tarikh bicara bagi pampasan ini pada 25hb Jun 2015.
Jika baru mahu dibicarakan maka jelas sekali isu pampasan belum diselesaikan.
Tanpa pampasan, penduduk yg terlibat tidak punya sumber kewangan untuk mengatur rumah yg baru sebagai ganti.
Saya pernah berhubung langsung dengan Dato' Seri Ahmad Razif bagi mewakili penduduk meminta supaya isu ini diselesaikan secara berhemah kerana penduduk telahpun menyatakan pendirian bukan berhasrat menghalang projek berkenaan.
Khamis, 30 April 2015
TUNTUT PERAKUAN TAHAP KESELAMATAN STADIUM SULTAN MIZAN
27hb. April 2015
Ahad, 26 April 2015
KONSEP KT WALK DI BANDAR KUALA TERENGGANU
KENYATAAN MEDIA
Berhubung dengan pengenalan KT Walk di tengah bandar Kuala Terengganu yang diadakan setiap hari Jumaat bermula jam 3 petang, saya menerimanya secara positif walau ada juga kedengaran rungutan yang mana saya harap dikumpulkan untuk penelitian dan penambahbaikan.
Isu institusi pasar malam adalah isu yang selalu saya tulis dan ucapkan dalam ceramah ceramah terutamanya dalam program program pidato rakyat di pasar pasar malam yang pernah saya hadiri.
Kami punya hubungan yg baik dengan persatuan pasar malam dan selalu mencatat masalah dan cadangan. Pasar malam tempat orang melayu berniaga. Selalunya dilayan bagai warga kelas ketiga, sesuka hati diarah pindah lokasi bagai kaum nomad.
Di negara maju, malah di Kuala Lumpur, Chow Kit dan Petaling Street sejak dulu hingga kini jadi tarikan pelancong.
Malah banyak lokasi di Kuala Lumpur dibuat acara mingguan pasar malam dgn menutup jalan pada tempoh tertentu untuk penjaja berniaga mencari rezeki. Misalnya jalan sekitar Hotel Vistana di Kuala Lumpur.
Di Kuala Terengganu kita pernah bersuara masalah tekanan dihadapi oleh golongan penjaja dari segi lokasi dan syarat perlesenan yang mungkin perlu dimudahkan lagi. Penguatkuasaan yang dilaporkan ada kes kurang bertimbangrasa.
Cadangan supaya kerajaan menggazetkan lokasi dan masa untuk pasar-pasar malam supaya kekal dalam kalendar rakyat selalu kami sebut dengan pelbagai manfaat yang boleh diraih.
Kerajaan boleh merancang kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air, tandas awam yang mencukupi dan berkualiti, surau awam yang bagus, kemudahan pembuangan sampah dan lain lain lagi.
Kerajaan mungkin boleh tambahkan pencahayaan agar lebih terang. Tumpuan perlu dibuat agar masalah parking dapat diatasi. Ini mungkin lebih selesa bila kompleks parking yang baru dibina siap dan begitu juga KT Mall yg dijanjikan boleh dibuka tak lama lagi.
Laluan jalan perlu direka supaya kenderaan boleh bergerak lancar. Jika perlu polis trafik mungkin boleh diminta membantu.
Dilaporkan ada kegiatan karaoke. Di Kuala Lumpur pun mereka tak buat. Tak usahlah kita di Terengganu jadi tukang cambah dan suburkan budaya lalai begini.
Saya cadangkan supaya Kerajaan kempen solat berjemaah bila tiba waktu solat. Atau tetapkan 15-30 minit setelah Azan supaya tempoh bertenang untuk peniaga solat ditempat pilihan masing jika surau tiada.
Biarlah di negeri kita yang 90% rakyatnya beragama Islam dan melayu kita bina budaya pasar yg punya karakter budaya Islam dan melayu yang indah dan tersendiri.
Sebenarnya tak perlu binaan kekal untuk surau KT Walk. Naikkan kanopi. Buat dinding kanvas. Kipas angin atau portable aircond. Sebagai surau sementara.
KT Walk adalah medan untuk orang melayu berniaga di tengah-tengah pusat bandar. Walau saya jangkakan lokasi yg berbeza, tapi kesediaan MBKT memperuntukkan lokasi dan masa ditapak tumpuan (prime area) adalah peluang besar untuk showcase yg berupaya menonjolkan peniaga peniaga melayu.
Bank-bank yg berdekatan memudahkan akses kpd mesin ATM untuk pengeluaran tunai.
Saya harap kerajaan bersedia melakukan lebih banyak penambahbaikan.
HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Presiden GANTI
25hb April 2015
Sabtu, 25 April 2015
SANGKAAN
يا أيها الذين أمنوا اجتنبوا كثيرا من الظن ان بعض الظن اثم و لا تجسسوا و لا يغتب بعضكم بعض أيحب أحدكم أن يأكل لحم أخيه ميتا فكرهتموه و اتقو ا الله ان الله تواب رحيم
12. Wahai orang-orang Yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan Yang dilarang) kerana Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya Yang lain.Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya Yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadaNya. (oleh itu, patuhilah larangan-larangan Yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.
TAKRIF SANGKAAN
Sangkaan ialah Persepsi atau tanggapan. Ia terbahagi kepada sangkaan baik dan sangkaan buruk. Sangkaan buruk(prasangka) akan menjadi topik perbincangan dalam artikel ini.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, prasangka ialah sangka (anggapan) buruk terhadap sesuatu (seseorang) sebelum mengetahui (menyelidiki yang sebenarnya). Sedangkan berprasangka ialah menaruh prasangka. Adapun keprasangkaan pula ialah sifat (rasa) prasangka.
ASBABUL NUZUL
Setengah ulama’ mengatakan ayat ini diturunkan kepada dua orang sahabat nabi s.a.w. Sudah menjadi kebiasaan, apabila bermusafir, Rasulullah akan mencampurkan sahabatnya yang susah dengan sahabat yang senang. Ini bertujuan untuk menanamkan sifat ukhuwwah di antara satu sama lain. Orang yang senang akan menolong saudaranya yang susah. Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. telah meletakkan Salman al farisi dengan dua orang lelaki dari kalangan sahabat yang dianggap lebih berada daripada Salman al farisi ketika itu.
Di sepanjang perjalanan dalam musafir itu berlaku suatu peristiwa di antara Salman dengan dua sahabat tadi di mana mereka terlewat bangun tidur, sedangkan Salman ditugaskan untuk menyediakan makanan buat mereka. Kedua-dua sahabat tadi menyuruh Salman bertemu Rasulullah untuk mengambil makanan. Apabila sampai, Rasulullah memberitahu Salman bahawa makanan telah habis, lalu menyuruhnya berjumpa dengan Usamah bin Zaid (ditugaskan menjaga perbekalan).
Salman pun pergi berjumpa dengan Usamah sebagaimana diarahkan nabi, tetapi malangnya Usamah juga menyatakan makanan sudah habis. Lalu Salman balik dalam keadaan tiada makanan bersamanya. Dua sahabat tadi menuduh Usamah bakhil kerana sengaja tidak mahu memberi mereka makanan. Akhirnya Salman dihantarkan pula kepada sahabat-sahabat lain untuk memperolehi makanan. Dalam keadaan ketiadaan Salman, dua sahabat tadi bercakap-cakap pula mengenai Salman dengan tidak mengharapkannya lagi.
Rasulullah s.a.w. telah melihat telatah kedua orang sahabat itu, lalu Rasulullah s.a.w. bersabda kepada kedua orang sahabatnya:
ما لي أري خضرة اللحم في أفواهكما
Maksudnya:
”Aku melihat kamu berdua sedang memakan daging.”
Lalu sahabatnya berkata:
يا نبي الله و الله ما أكلنا فى يومنا هذا لحما و لا غيره
Maksudnya:
“Wahai nabi Allah, kami tidak makan apa-apa lagi pada hari ini sama ada dagingatau makanan yang lain.”
Rasulullah menjawab:
ولكنكما ظلمتما تأكلان لحم سلمان و أسامة
Maksudnya:
“Tetapi kamu berdua berlaku zalim dan kamu telah memakan daging saudara kamu iaitu Salman al Farisi.”
Lalu Allah turunkan ayat 12 surah al Hujurat sebagaimana di atas. Ia menunjukkan kepada kita betapa besarnya dosa mengumpat sehingga digambarkan seolah-olah kita memakan daging saudara kita sendiri.
TAFSIR AYAT
As Sobuni menyebutkan : Jauhilah kamu dari tohmahan, khianat dan buruk sangka terhadap keluarga dan manusia. Diibaratkan dengan banyak (كثيرا ) di sini untuk mengambil langkah berhati-hati kepada setiap zhan atau sangkaan dan jangan terlalu gopoh membuat kesimpulan sehinggalah disiasat dan dipastikan kebenaran sangkaan itu. Ini kerana sebahagian zhan merupakan dosa yang mengakibatkan tuannya dengan hukuman Allah s.w.t. sama ada di dunia dan di akhirat.
Ia ada kaitan dengan konsep tabayyun(tindakan menentukan sama ada khabar berita benar atau salah) dalam ayat keenam surah yang sama.
Sebagaimana yang disebutkan dalam ayat di atas, sebahagian sangkaan adalah dosa. Bermakna ada sangkaan yang membawa dosa dan ada sangkaan membawa pahala. Yang membawa dosa sudah tentulah sangkaan yang buruk atau disebut prasangka. Manakala yang membawa pahala dipanggil sangkaan baik. Dalam istilah arab, sangka buruk ialah su’uzzhan((سوء الظن, manakala sangka baik ialah husnuzzhan( حسن الظن).
Contoh prasangka : Seseorang yang berjanji untuk datang mesyuarat pada jam 3 petang. Tiba-tiba dia datang lewat. Ahli mesyuarat yang menunggu berprasangka kepada beliau dengan mengatakan beliau seorang yang tidak menjaga waktu dan tidak menghormati ahli mesyuarat sedangkan kemungkinan-kemungkinan yang lain masih ada. Mungkin beliau kesesakan lalulintas dan sebagainya.
Allah jalla wa ’ala memerintahkan orang yang beriman menjauhi sangkaan kerana kebanyakan sangkaan merupakan DOSA! Daripada sangkaan tadi, timbul pula keinginan untuk mengintip-intip dan mencari-cari keburukan orang. Lalu apabila terbongkar, terus disebarkan kepada umum menyebabkan aib kepada si mangsa intipan. Inilah yang dilarang keras dalam agama. Ia termasuk dalam dosa ghibah atau mengumpat kalau yang dibongkar itu benar. Kalau berita itu palsu, maka ia termasuk dalam namimah atau fitnah. Allah subhanahu wa ta’ala menyamakan orang yang mengumpat dengan perbuatan memakan daging saudaranya! Di akhir ayat, Allah menyeru agar orang beriman bertaqwalah kepadaNya. Sesungguhnya Allah maha menerima taubat dan maha mengasihani.
DUNIA PERSEPSI
Kini, istilah persepsi sangat popular dalam masyarakat. Sebenarnya konsep ini sudah lama berlegar dalam sistem sosial kita. Bahkan ia wujud dalam mana-mana masyarakat dalam dunia sekalipun. Persepsi atau tanggapan atau sangkaan merupakan istilah-istilah yang membawa erti yang sama. Ia boeh jadi baik dan boleh jadi juga buruk. Kalau buruk persepsi, maka natijahnya buruk. Begitulah sebaliknya. Pandangan masyarakat umum terhadap sesuatu isu atau individu, kelompok masyarakat bergantung kepada persepsi yang menguasai minda mereka. Persepsi boleh diterjemahkan sebagai ’bagaimana kita melihat sesuatu’. Perkara yang sama boleh melahirkan persepsi yang berbeza bergantung kepada cara pemikiran seseorang. Ia mungkin positif, dan mungkin juga negatif! Yang negatif inilah dipanggil sangka buruk atau suu’uzzhan.
Mungkin masyarakat tidak merasakan dosa berprasangka buruk merupakan dosa yang besar kerana ia sudah menjadi darah daging mereka, sedangkan Rasulullah pernah bersabda, ”اياكم و الظن فان الظن أكذب الحديث”. Maksudnya: ”Awasilah kamu daripada berprasangka, kerana prasangka adalah sebohong-bohong ucapan.”(Muttafaqun alaihi).
Bahkan Allah jalla wa ’ala berfirman dalam ayat 116 surah al An’am,
و ان تطع أكثر من في الأرض يضلوك عن سبيل الله ان يتبعوك الا الظن و ان هم الا يخرصون
116. Dan jika Engkau menurut kebanyakan orang Yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah Yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta.
Al Sobuni menjelaskan bahawa jika kita taati golongan kafir yang jumah mereka ramai di muka bumi nescaya mereka menyesatkan orang beriman dari petunjuk Allah.
Masyarakat Islam kini banyak dipengaruhi oleh cara berfikir yang diwarisi dari barat. Pendidikan sains sosial rata-ratanya diambil dari idea-idea cendekiawan barat yang mewarnai silibus pembelajaran ilmu psikologi di institusi pengajian tinggi. Lalu lahirlah ramai doktor-doktor dan profesor-profesor Islam tetapi celupannya barat, mempromosikan ilmu dan cara berfikir ala kebaratan. Sehingga timbul ungkapan, ”Sesiapa yang tidak percayakan persepsi, maka ia adalah primitif.” Ini sangat bertentangan dengan apa yang diajar oleh Allah melalui ayat-ayat dalam surah al hujurat ini. Bagaimana mungkin kita mahu berkiblatkan orang barat dan pemikiran mereka sedangkan mereka sekali-kali tidak mengikut kaedah Islam dalam isu zhan ini melainkan hanyalah sangkaan dan waham yang mereka warisi dari nenek moyang mereka sehingga mereka merasakan berada atas jalan kebenaran. Padahal merekalah orang-orang yang berdusta atas nama ilmu sains sosial.
Adakah boleh kita katakan sesuatu itu adalah benar hanya kerana majoriti masyarakat mengatakan benar? Contohnya seorang muslim yang tinggal di negara yang majoritinya kristian, adakah wajib dia mengikut persepsi masyarakat negara itu yang memandang semua orang Islam adalah ganas? Sudah tentu tidak.
PERSEPSI BERUBAH MENJADI INFORMASI
Sebuah hadis qudsi menyebut, ” ان ظن خيرا فله و ان ظن شرا فله- رواه أحمد “انا عند ظن عبدي بي yang maksudnya, ”Aku di sisi(sebagaimana) sangkaan hambaKu denganKu, sekiranya dia(hambaKu) bersangka baik, maka baginya(natijah baik), dan sekiranya dia bersangka buruk, maka baginya juga(natijah buruk)”. Hadis Qudsi ini mengajar kita agar berfikiran positif kerana Allah redha dengan sangkaan baik dan murka dengan sangkaan buruk. Sekiranya kita berfikiran negatif, maka ia membentuk informasi yang salah dalam masyarakat. Menurut kajian barat, proses persepsi boleh ’mengubah’ apa yang manusia lihat. Apabila kita melihat sesuatu dengan konsep yang telah diprasangkakan, kita akan anggap prasangka itu sebagai maklumat atau fakta. Keadaan ini berlaku oleh kerana manusia mampu untuk memahami informasi baru tanpa ‘the inherent bias of their previous knowledge’ (pengetahuan lampau tentang sesuatu yang diwarisi secara berpihak).
Ada orang yang berhujjahkan hadis ini untuk menjustifikasikan bahawa benarnya konsep persepsi berubah menjadi informasi atau fakta. Kalaulah begitu, biarlah kita menjadi warga yang sentiasa berpersepsi baik agar natijahnya baik. Melainkan kita memang berniat untuk membentuk persepsi buruk terhadap individu atau organisasi tertentu.
Peranan media sangat penting dalam membentuk persepsi yang baik dalam masyarakat. Apa yang sering media paparkan, itulah yang akan menguasai minda masyarakat umum. Kesimpulannya, apa yang bermain di minda masyarakat, kemudian menjadi informasi dan fakta bagi mereka, tidak semestinya benar dan baik di sisi Islam.
Ini merupakan suatu cabaran yang sangat besar dan getir bagi umat Islam khususnya pendokong perjuangan Islam untuk membentuk persepsi yang baik di kalangan masyarakat terhadap apa yang mereka bawa selama ini agar diterima ramai dengan baik.
Ibnu Abbas an Najjar
Unit Tarbiyyah GANTI
7 Rejab 1436
Rabu, 22 April 2015
JAMAAH ISLAM PERLUKAN MURABITUN
Murabitun merujuk kepada anggota jamaah yang bekerja sepenuh masa untuk Islam, tidak kira sama ada dibayar elaun bulanan atau dengan biayaan sendiri. Murabitun dalam negara Islam merujuk kepada tentera-tentera Islam yang bertugas menjaga sempadan tanah air negara Islam. Mereka berkorban jiwa raga untuk jaga kedaulatan tanah air Islam. kedua-dua jenis murabitun ini jika mati, mereka mati syahid di jalan Allah sama ada dapat syahid akhirat (diuruskan jenazah mereka seperti biasa-mandi, kafan, solat, kebumi) atau dunia akhirat.
Kedudukan murabitun dalam jamaah Islam sangat mulia kerana kehidupan mereka diinfaqkan untuk jalan Allah tidak kira di arena dakwah, tarbiyyah dan siasah. Fikiran mereka 100% untuk jamaah. Mereka tidak dapat meluangkan masa dengan anak isteri seperti orang lain. Malam mereka penuh dengan aktiviti jamaah seperti mesyuarat, usrah, ceramah, dan seumpamanya. Siang mereka juga untuk jamaah, mungkin melaksanakan tugas-tugas kepejabatan, menguruskan borang-borang keahlian jamaah dan seumpamanya. Mungkin sebahagiannya menjaga institusi-institusi pendidikan milik jamaah. Mungkin juga sebahagiannya menjalankan aktiviti ekonomi jamaah di siang hari. Di saat orang biasa bercuti di hujung minggu, hidup mereka dikelilingi aktiviti jamaah yang padat. Di saat orang biasa bekerja makan gaji di pejabat-pejabat kerajaan dan swasta, mereka ditugaskan sepenuh masa di markaz-markaz pilihanraya apabila muncul pilihanraya kecil dan umum.
Justeru, orang ramai di kalangan amilin(petugas-petugas), ahli jamaah, penyokong-penyokong seharusnya menghargai mereka dengan memberi sokongan kewangan atau sekurang-kurangnya sokongan moral. Bukan menuding jari atau mencari kesilapan dan kesalahan apabila natijah pilihanraya tidak sebagaimana yang dikehendaki.
Mudah-mudahan kita tergolong di kalangan orang-orang yang benar-benar menginfaqkan diri untuk jalan Allah dan mati dalam keadaan dikurniakan syahid insyaAllah, sebagaimana sabda Nabi saw,
من سأل الشهادة بصدق بلغه الله منازل الشهادة و إن مات على فراشه
Maksudnya,
"Barangsiapa yang meminta syahid dengan benar, Allah sampaikan dia ke maqam syahadah walaupun ia mati atas katilnya. "
Ibnu Abbas An Najjar
Unit Tarbiyyah GANTI
23 April 2015
4 Rejab 1436
TINTA TARBAWI
إن في خلق السماوات و الأرض و اختلاف الليل و النهار لآيات لأولى الألباب. الذين يذكرون الله قياما و قعودا و على جنوبهم و يتفكرون في خلق السماوات و الأرض.
"Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, dan silih berganti malam dan siang, ada tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang berfikir. Iaitu mereka yang mengingati Allah ketika berdiri, duduk dan berbaring (di atas lambung mereka) , dan mereka berfikir pada penciptaan langit dan bumi."
Ada dua tafsiran di sisi mufassirun pada ayat "mereka mengingati Allah ketika berdiri, duduk dan berbaring".
Pertama, 'mengingati Allah dalam ayat tersebut merujuk kepada mendirikan solat, sebagaimana sabit dalam hadis Nabi saw yang berbunyi, "صل قائما فإن لم تستطع فقاعدا و إن لم تستطع فعلى جنب" yang maksudnya, "Solatlah dalam keadaan berdiri, sekiranya tidak mampu, dalam keadaan duduk, sekiranya tidak mampu juga hendaklah dalam keadaan berbaring."
Kedua, ia membawa makna zahir ayat iaitu Ulul Albab ialah orang-orang yang sentiasa mengingati Allah di setiap masa. Aisyah pernah menyebut, "كان النبي صلى الله عليه و سلم يذكر الله في كل أحيانه" yang bermaksud, "Adalah Nabi saw sentiasa mengingati Allah."
TAKRIF ZIKRULLAH
Ada dua kalimah di sini:Zikir dan Allah. Secara bahasa, zikir asal dari ذكر يذكر ذكرا yang maknanya SEBUT atau INGAT. Maka Zikrullah bererti MENGINGATI ALLAH. Adapun secara istilahi, zikrullah merujuk kepada lafaz-lafaz khusus yang diajar Nabi saw sebagai salah satu usaha tazkiyatunnafsi(penyucian jiwa), seterusnya mendekatkan diri dengan Allah azza wa jalla.
Lafaz khusus ini ada yang diajar Nabi saw untuk dibaca selepas solat lima waktu. Contohnya bacaan Tasbih, Tahmid dan Takbir yang diperintahkan baca 33 kali. Ada juga dalil umum yang mengajak orang beriman agar perbanyakkan zikrullah tanpa hadkan bilangan.
KESAN ZIKRULLAH
Ada dua ayat menyentuh tentang kesan zikrullah. Pertama, ia menenangkan hati. Firman Allah,
ألا بذكر الله تطمئن القلوب
yang maksudnya, "Ketahuilah bahawa dengan zikrullah , ia menenangkan hati-hati."
Kedua, menggetarkan hati-hati(kerana takutkan Allah) sebagaimana firman Allah,
إنما المؤمنون الذين أذا ذكر الله وجلت قلوبهم......
yang maksudnya, "Hanyasanya orang-orang beriman itu ialah apabila disebut Allah, bergetar hati-hati mereka."
HUBUNGAN SYARIAT DAN HAKIKAT ZIKRULLAH
Syariat Islam mengajar kita zikir-zikir berlafaz di lidah bertujuan melatih diri agar senantiasa mengingati Allah di setiap masa. Syarat zikrullah berlafaz diterima Allah ialah sebutan kita betul, tidak lari maknanya. Kedua, kita fahami makna lafaz itu. Bayangkan jika kita benar-benar jadikan amalan zikrullah setiap kali selepas solat lima waktu setiap hari, sudah tentu kebarangkalian mengingati Allah di luar solat dan di luar sejadah lebih besar berbanding orang-orang yang tidak basahkan lidah dengan zikrullah.
PENUTUP
Kata Ibnu Atoillah as Sakandari,
“لا تترك الذكر لعدم حضورك مع الله فيه ,لأن غفلتك عن وجود ذكره أشد من غفلتك فى وجود ذكره.فعسى أن يرفعك من ذكر مع وجود غفلة ..إلى ذكر مع وجود يقظة, و من ذكر مع وجود يقظة إلى ذكر مع وجود حضور ,و من ذكر مع وجود حضور إلى ذكر مع غيبة عما سوى المذكور ..و ما ذلك على الله بعزيز”
” Jangan kamu meninggalkan zikir, ( menyebut @ mengingat Allah ) disebabkan tidak hadir hatimu terhadap Allah dalam zikir itu, ini kerana kelalaian kamu terhadap Allah ketika tidak berzikir itu lebih berat @ bahaya daripada kelalaianmu terhadap Allah ketika kamu berzikir. Mudah-mudahan Allah S.W.T. akan mengangkat darjatmu daripada zikir yang ada kelalaian, kepada zikir yang hatimu sentiasa sedar. Dan seterusnya kepada zikir yang beserta kehadiran Allah dalam hati, dan akhirnya kepada zikir yang lenyap segala yang lain selain Allah. Dan itu semua tidaklah sukar bagi Allah. “
Berzikirlah walaupun hati masih lalai. Teruskan istiqamah berzikrullah hingga ke akhir hayat dengan cara yang diajar oleh Nabi saw, ditunjuk kepada kita oleh alim ulama' sepanjang zaman. Jauhilah cara-cara yang syaz(ganjil) kerana dibimbangi terjerumus ke lembah kesesatan.
Wallahu a'lamu bissowab.
Ibnu Abbas an Najjar
Unit Tarbiyyah GANTI
22 April 2015
3 Rejab 1436
Isnin, 20 April 2015
PEKEBUN KECIL DAN GST
Di antara bulan mac hingga mei dan antara bulan april hingga jun bagi sesetengah tempat akan mengalami musim daun luruh bagi pokok getah. Ia merupakan suatu musim yang normal setiap tahun di mana daun pokok getah akan gugur dan akan kembali tumbuh pucuk-pucuk baru.
Apa yang dapat di kongsikan di sini adalah sepanjang tempoh daun luruh ini, pokok getah tidak akan mengeluarkan susu getah (lateks) mengikut waktu kebiasaannya kerana zat lateks dan lain lain yang ada pada pokok getah di perlukan untuk proses tumbesaran tunas pucuk muda dan seterusnya menggalakkan proses fotosistensis berlaku.
Apabila berlaku proses torehan dalam tempoh musim daun luruh ini, lateks yang di keluar akan berkurangan dan agak cair dari kebiasaanya. Ini kerana kandungan getah kering (KGK) yang terdapat dalam lateks adalah kurang berbanding kebiasaannya.
Di sini dapat kita fahami, bagaimana nasib pekebun kecil hari ini yang menyara diri dan keluarga melalui pendapatan daripada hasil menoreh getah. Dalam urusan penjualan dan pembelian getah pula adalah berdasarkan kepada peratusan (%) KGK berdasarkan kepada harga pasaran getah semasa yang di keluarkan oleh pihak Lembaga Getah Malaysia (LGM). Selain daripada faktor % KGK, terdapat dua faktor lagi mempengaruhi harga iaitu kos operasi kilang (diskaun) dan juga cess.
Purata diskaun ketika ini adalah antara 100-110 sen/kg dan cess pula adalah sebanyak 14 sen/kg.
Katakan sebagai contoh, harga rasmi pembukaan SMR 20 pada hari akhir pasaran minggu lalu adalah 503.00 sen/kg dan di lihat turun kepada 497.50 sen/kg di waktu penutup pada sesi petang (Jam 5.00 petang).
Daripada harga yang di keluarkan ini dapat di ketahui harga kebun (Farmgate) bagi setiap kilogram getah. Kebiasaan harga farmgate ini, KGK adalah separuh atau 50% daripada harga rasmi yang di keluarkan. Ini kerana harga rasmi SMR adalah merujuk kepada 100% KGK yang telah siap di proses. Jika di ambil dari harga penutup pasaran pada jumaat iaitu 497.50 sen/kg dan di tolak dengan diskaun (110.00 sen/kg) dan cess (14 sen/kg), kita akan mendapat 373.50 sen/kg. Dari harga ini kita darabkan dengan 50% KGK dan kita akan mendapat harga farmgate 186.75 atau 187.00 sen/kg (RM1.87 sekilogram).
Bayangkan dengan purata harga getah sekarang ini antara RM1.60-1.90 sekilogram, agak-agak berapakah pendapatan pekebun kecil getah setiap hari di tambah dengan desakan hidup di sebabkan segala kos pembelanjaan meningkat setiap hari.
Pekebun kecil getah hari ini menghadapi masalah bertimpa-timpa, dengan keadaan musim daun luruh, hasil torehan mereka tidak seberapa dan di tambah dengan faktor ekonomi dan pasaran harga getah semakin lesu. Di mana peranan kerajaan melalui kementerian terbabit dalam menangani isu harga getah ini? Hilang, lenyap dan membisu seribu bahasa. Dahulu mereka lah yang gah dengan slogan Industri Getah bukan lagi 'SUNSET Industry' dan apabila berlaku sebaliknya, mereka pula tidak bertanggungjawab dengan slogan yang di bawanya dan rakyat seolah mengiyakan, memang betul getah ni adalah Sunset industry.
Apa yang di harapkan rakyat di kalangan pekebun kecil ini agar pihak berwajib turun membantu, rupa-rupanya tidak malah kerajaan hari ini dengan terus rakus mengutip hasil titik peluh rakyat dengan cukai GST pula.
Di sini kita dapat lihat dan saksikan, program bantah GST yang di anjurkan oleh Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (BPPNT) diadakan pada petang jumaat lalu di pantai batu buruk, kuala terengganu di hadiri oleh ribuan rakyat terengganu malah ada di antara mereka yang datang dari kawasan luar bandar yang bersama-sama bersolidariti membantah GST.
Unit Hubungan Masyarakat GANTI
21 April 2015
1.10 a.m
Jumaat, 17 April 2015
NOTA UNTUK DIRI 2.0
Daripada 6 bilion manusia atas mukabumi, Allah taqdirkan lebih 1.3 bilion umat Islam. Daripada 1.3 bilion itu, Allah taqdirkan hanya Ahlu sunnah wal jamaah jalan yang selamat. Daripada penganut aqidah Ahlu sunnah wal jamaah, ditaqdirkan kita berada dalam jamaah Islam. Daripada ramai-ramai yang berada dalam jamaah Islam, ada yang diberi jawatan dan ada yang hanya ahli biasa.
Justeru, hargailah keberadaan kita dalam jamaah ini. Hargailah peranan kita dalam organisasi. Mana mungkin kehidupan kita sama dengan ahli pertubuhan lain. Mana mungkin kehidupan kita sama dengan yang di atas pagar. Mana mungkin kehidupan kita sama dengan penyokong. Mana mungkin kehidupan seharian kita sama dengan ahli biasa.
Bangun setiap pagi, pastikan sudah ada jadual jihad untuk hari berkenaan.
Unit Tarbiyyah GANTI
Ibnu Abbas an Najjar
18 April 2015
28 Jamadil Akhir 1436
Rabu, 15 April 2015
BATASAN ISLAM
15 April 2015
25 Jamadil Akhir 1436
8:13 pagi
Ahad, 12 April 2015
JIHAD
2.Ta'lim(Pendidikan)
3.Tangan dan diri
4.Politik
5.Harta
[15/04 15:35] Ust Wan Faiz0l: TAAT(RUKUN BAI'AH KELIMA)
yang maksudnya, "Tiada ketaatan kepada makhluk pada mengingkari Pencipta".
12 April 2015/ 22 Jamadil Akhir 1436
9:30pagi
Sabtu, 11 April 2015
TRANSFORMASI TERENGGANU BARU YAB MB TERENGGANU DIHODOHKAN EPISOD KEZALIMAN TERHADAP PENDUDUK BANGGOL DONAS
KENYATAAN MEDIA GANTI
12HB APRIL 2O15
Saya merujuk kepada surat arahan baru bertarikh 8hb April 2015 kepada pelbagai agensi yg bertujuan melaksanakan penguatkuasaan / perobohan rumah kediaman / pengusiran keluar dari tanah beberapa penduduk yg terlibat dalam pertikaian undang2 berkaitan pengambilalihan tanah yg didakwa tidak mengikut peraturan dan luar biasa.
Perobohan ini dijadualkan besok pagi, Isnin 13hb April 2015.
Sehingga tarikh ini kes ini sedang dalam proses ke Mahkamah Persekutuan dan belum dimuktamadkan sepenuhnya.
Arahan seperti ini hanya menghancurkan imej baik hati yg cuba dipropagandakan oleh YAB Menteri Besar.
Sementelah lagi Banggol Donas berada di kawasannya UMNO Bahagian Kuala Nerus yang beliau adalah merupakan Ketua Bahagian.
Saya minta YAB Menteri Besar agar dapat mengambil langkah meredakan ketegangan yg dijangka timbul dari isu ini.
Sudah tentu ini akan jadi tarikan media diperingkat nasional yg akan cuma merosakkan konsep TTB yg dipelopori YAB MB.
Langkah terbaik adalah jika YAB MB turun padang berjumpa sendiri dgn mangsa pertikaian dan berunding.
Kita sesama Islam dan sesama melayu pula. Bukan setakat satu negeri, sekampung pula.
Jika perlu dan YAB cukup berjiwa besar, saya sedia aturkan.
Ataupun saya tidak berhalangan aturkan 'cakap anak beranak' hati ke hati dengan YAB di pejabat YAB.
Sebagai permulaan, GANTI pohon dan tuntut ditangguhkan dahulu sebarang operasi penguatkuasaan ke atas tanah berkenaan yg dijadualkan besok.
Sekali lagi, rakyat tidak akan berdiam diri dengan situasi begini.
HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Presiden
Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI)
Jumaat, 10 April 2015
NOTA UNTUK DIRI
Unit Tarbiyyah GANTI
10 April 2015
Selasa, 7 April 2015
AMAL JAMAIE 2
Jamaah Islam umpama sebuah bangunan yang dibangunkan atas bahan binaan yang melengkapi antara satu sama lain. Anggotanya wajib menguatkan antara satu sama lain. Ini bertepatan sebagaimana sabds Nabi saw,
maknanya , "Seorang muslim kepada muslim yang lain umpama sebuah binaan, ia mengukuhkan antara satu sama lain."
7 April 2015
2:13petang.
Ahad, 5 April 2015
YAKIN DENGAN ISLAM YANG DIBAWA
Kata Al Marhum Tuan Guru Ustaz Fadzil Mohd Noor,
Ibnu Abbas an Najjjar
Unit Tarbiyyah GANTI
Sabtu, 4 April 2015
SYURA
Unit Tarbiyyah GANTI
4 April 2015
1:30pagi
Selasa, 31 Mac 2015
UMAT ISLAM WAJIB BETULKAN TARAF KEHAKIMAN SYARIAH DARI TERUS DIRENDAH-RENDAHKAN
Sebagai orang Islam, mengapa tidak berkongsi cita cita untuk sekurang-kurangnya tingkatkan martabat Sistem Kehakiman Syariah yg telah ada?
Tahukah kita seperti juga Mahkamah biasa yang ada Mahkamah Rendah, Mahkamah Sesyen, Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, Sistem Kehakiman Syariah juga telah mempunyai mahkamah mahkamah rendah dan tinggi nya.
Orang-orang Islam sejak tahun 80an lagi telah lama tak berpuas hati dgn martabat kehakiman syariah yg terlalu rendah berbanding kehakiman tinggalan penjajah british yg berasaskan undang-undang komanwel. Acuan yang British tinggalkan melalui Lord Reid menjadi anutan tegar begitu ramai rakyat termasuk sebahagian wakil rakyat UMNO yg konon lantang mahu menjaga kesucian Islam.
Akta Kehakiman Syariah sedia ada memberikan peruntukan terlalu kecil kepada mahkamah syariah iaitulah tak boleh lebih dari 3 tahun penjara, denda RM5,000 dan sebatan 6 kali. Maksimum yg boleh diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Syariah cuma setakat itu. Begitu rendah martabat Kehakiman Syariah sehingga bidang kuasanya paling tinggi di bawah hakim syariah paling kanan atau ketua hakim syariahpun, masih lebih rendah dari dari Mahkamah Rendah yang biasa. Mahkamah Rendah yang biasa walau diadili oleh seorang Majistret atau Pendaftar Mahkamah pun punya kuasa lagi tinggi dari Ketua Hakim Syariah di Mahkamah Tinggi Syariah.
Ini adalah sangat bertentangan dengan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan yang ditetapkan dalam perkara 3 Perlembagaan Malaysia, Sultan-sultan sebagai ketua agama di negeri-negeri dan Yang Di Pertuan Agong sebagai Ketua Agama di peringkat persekutuan.
Sekiranya orang-orang melayu dan Islam boleh bersetuju dengan hak kebebasan penganut agama-agama lain untuk mengamalkan dengan bebas kepercayaan agama mereka, mengapa pula ada segelintir pelampau bukan Islam yg tidak rasional terpekik terlolong macam orang gila mahu sedaya upaya menghalang apa yg menjadi hak mutlak orang-orang Islam yang sedikitpun tidak menyentuh mereka?
Sedikit cadangan Pindaan yang tertentu kepada Akta Kehakiman Syariah yg dibentangkan oleh Presiden PAS, Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang adalah langkah bersejarah yg sangat penting disokong oleh semua umat Islam khususnya wakil2 rakyat yg beragama Islam.
Ini Mesti diperbetulkan. Mana boleh kuasa Mahkamah Syariah lebih rendah dari mahkamah paling rendah dalam kehakiman Lord Reid?
Umat Islam sudah terlalu lama merungut soal ini. Mengapa mahkamah syariah terlalu rendah tarafnya di dalam sebuah negara Islam bagai berada di bawah tapak kaki mahkamah British. Brunei yang lebih lewat merdeka pun lebih berjaya martabatkan kehakiman syariah mereka.
Mufti Perak, Dato' Harussani telah menegaskan orang orang Islam wajib sokong usaha tegakkan syariah.
Jika masih menentang, tidak suka, tidak yakin, bukan nak bantu tapi memperlekeh, sudahkah kita pasti status agama pada kad pengenalan kita digambarkan pada sikap dan tingkah laku kita?
"Oo tidak, saya ingatkan tak apa sebab ini politik saja. Saya jahil agama"
Kalau jahil pergi belajarlah. Jangan kejahilan kita mengheret satu negara untuk terus redha kehakiman syariah terus diinjak-injak martabatnya.
Yang seharusnya semua bersatu hati untuk sama sama memperkasa.
HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Presiden
Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI)
1hb. April 2015
Selasa, 24 Mac 2015
KENYATAAN DAP TERHADAP PRESIDEN PAS ADALAH BIADAP DAN TERKUTUK
Jumaat, 27 Februari 2015
SAMPAI MASANYA TERENGGANU LAKSANAKAN HUDUD
Kenyataan Media
Bismillah
Saya melihat keputusan kerajaan BN Terengganu baru-baru ini yang telah meneruskan perlaksanaan dan penguatkuasaan beberapa bahagian daripada Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang diluluskan oleh Kerajaan PAS dibawah pimpinan Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan telah mendapat perkenan Tuanku Sultan Terengganu pada penggal 1999-2004 yang lalu, sebagai satu pengiktirafan kerajaan sekarang terhadap kesungguhan perlaksanaan syariat Islam dizaman pemerintahan kerajaan PAS di Terengganu dahulu.
Alhamdulillah PAS yang telah berusaha sekian lama bagi memartabatkan undang-undang al-Quran ini yang gagal dilaksanakan oleh BN yang setelah 58 tahun memerintah negara ini, telah berjaya meletakkan asas undang-undang ini kembali ke dalam tampuk pentadbiran kerajaan Terengganu ketika zaman pemerintahannya setelah ianya dibuang selepas tahun 1940-an oleh British. Sebelum itu undang-undang Islam telahpun dilaksanakan oleh Sultan Zainal Abidin III bersama penasihatnya yang juga seorang ulamak tersohor, Tok Ku Paloh, dengan undang-undang yang diberi nama Itqan al-Muluk bi Ta’Dil as-Suluk kira-kira 100 tahun yang lalu. Nyata di sini, peranan dan kesungguhan ulamak seperti Tok Ku Paloh dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi, membantu sultan dalam pentadbiran mendekati kepada keredhaan Allah.
Dengan perlaksanaan sebahagian enakmen ini, saya yakin dan percaya sudah sampai waktunya dan mendesak agar kerajaan pimpinan YAB Dato’ Ahmad Rafiz Abdul Rahman meneruskan kepada undang-undang hudud pula. Sebab dengan tertegaknya hudud, tumpuan tidak hanya kepada kesalahan-kesalahan kecil seperti kes pakaian yang mencolok mata dan seumpamanya sahaja, tetapi jauh daripada itu, ianya mencangkupi kesalahan-kesalahan besar seperti pecah amanah, penyelewengan, pembaziran seperti kes stadium runtuh, selain daripada kes-kes hudud yang sudah dikenali seperti mencuri dan berzina serta qisas (hukum balas) seperti yang telah dijelaskan dalam al-Quran. Jika tidak, maka hukuman dari enakmen ini hanyalah terpilih dan tidak menyeluruh kerana sang penyeleweng tidak diberikan pendidikan dan hukuman, tetapi hanya kepada rakyat biasa yang berpakaian tidak senonoh.
Bagi memperkukuhkan lagi cadangan perlaksanaan hudud ini, saya juga mendesak agar kerajaan sedia ada memperkuatkan lagi fungsi mahkamah syariah, hakim-hakimnya, pendakwaraya-pendakwaraya syarienya serta penguatkuasaannya, supaya kekuatan enakmen ini dapat dilihat dengan jelas kewujudan ruh Islam didalamnya. Perlu diingat, hukuman Allah adalah untuk mendidik bukan menghukum, maka tindakan memperkasakan fungsi mahkamah syariah ini adalah bayangan kepada mendidik masyarakat tentang betapa seriusnya kerajaan dalam melaksanakan enakmen ini. Dengan dilaksanakan segala ini, maka jelaslah kepada kita bahawa undang-undang ini bukanlah hanya wayang untuk diperlakonkan kepada masyarakat, tetapi ianya adalah hukum tetap yang wajib yang telah diperintahkan oleh Allah kepada manusia untuk dilaksanakan tidak kira siapapun kita.
Akhirnya saya menyeru kepada rakyat Terengganu agar melihat ini adalah satu pengiktirafan oleh kerajaan BN kepada usaha serta pengorbanan kerajaan PAS dahulu dan saya juga menyeru agar rakyat kembali meletakkan kerajaan PAS mentadbir semula negeri Terengganu ini setelah terbukti undang-undang Islam yang telahpun tertegak di negeri Terengganu sejak lama dahulu, mendahului kerajaan Islam Melaka. Jelas, undang-undang Islam yang berjaya diwujudkan dalam sistem pemerintahan kerajaan Islam Terengganu pada awal dan akhir abad lalu, adalah kerana kesungguhan tokoh-tokoh ulamak seperti Tok Ku Paloh dan Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.
YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Terengganu
9 Jamadil Awwal 1436 bersamaan 28 Februari 2015
Rabu, 25 Februari 2015
JANGAN GUNA IMEJ AGAMA UNTUK SOROK PEMBAZIRAN
KENYATAAN MEDIA GANTI
26HB FEBRUARI 2015
GANTI menyokong segala usaha pentadbiran kerajaan negeri Terengganu di bawah YAB MB Terengganu menguatkuasakan undang undang kawalan pakaian mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah ( Takzir) 2001 bagi membendung gejala tidak sopan dan masalah sosial.
Undang undang yg diusahakan oleh PAS itu sudah terlalu lama wujud tanpa dikuatkuasakan. Sekarang dengan kesedaran serta kecenderungan rakyat, semakin ramai yg menginsafi hanya dengan kembali menghayati syariat agama lah adalah diharap dapat membendung merebaknya permasalahan sosial.
Dalam pada kecenderungan kembali ke landasan agama cuba dizahirkan, GANTI ingin menegur ketirisan perbelanjaan wang rakyat yang berterusan, diskriminasi agihan bantuan bermotifkan politik hingga menjadikan mereka yg lemah sebagai mangsa, pengurusan agihan kutipan wang zakat kpd asnaf yg masih lemah dan menyusahkan, penerusan projek projek ratusan juta yang membazir, kenaikan dalam bayaran bayaran seperti lesen perniagaan yang melambung berlipat kali ganda.
Dalam keadaan negara dikatakan kekurangan wang, Majlis Bandaraya dan lain lain PBT dikatakan tidak cukup wang, sudah kedengaran pelbagai projek baru yg membazir sedang dirancang.
Antara lain adalah cadangan merobohkan mercutanda di Bukit Besar Kuala Terengganu iaitulah binaan struktur lampu ALLAH PELIHARAKAN TERENGGANU untuk memberi laluan pembinaan yg baru mengikut cita rasa YAB Menteri Besar sekarang pula. Binaan ini dijangka bernilai jutaan ringgit.
Saya difahamkan pagi ini 26hb Februari 2015 lawatan tapak bagi projek ini akan dibuat. Bermaksud jika betul, projek membazir ini dalam peringkat tertentu serta akan dilaksanakan.
Dulu rakyat terkejut dgn pokok pokok lampu yg dibeli kerajaan dengan berpuluh2 bilangannya dengan nilai sehingga ada yg puluhan ribu ringgit setiap sebatang pokok.
Sekarang sudah ada berita YAB Menteri Besar mahu memasang lampu di sepanjang tebing Sungai Terengganu.
Ini belum lagi apa yg sedang diperkatakan di kalangan kontraktor tempatan tentang projek mega di Kuala Nerus yg akan menelan belanja ratusan juta ringgit lagi yg dikatakan mengambil inspirasi dari pembangunan Pulau Sentosa di Singapura.
Perlu diingat ratusan juta yg dibelanjakan di Pulau Bayas Kenyir yg belum mendapat status bebas cukai, kompleks tekstile Kijal yg bagai terbiar, Kompleks Usahawan Banggol Tuan Muda, Dataran Ilmu Besut, Stadium Sultan Mizan dan banyak lagi. Semua masih tak mencapai matlamat seperti sepatutnya tujuan perbelanjaan besar wang rakyat itu dibuat.
Rakyat yang masih susah hanya mengalir air mata diberitahu peruntukan pelbagai bantuan sudah habis atau tidak cukup, tetapi boleh ada wang pula untuk dibazirkan semahunya
Kecenderungan kembali ke jalan agama janganlah dijadikan kaedah mengalih tumpuan rakyat dari isu urustadbir negeri dan sumber wang rakyat.
HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Presiden
Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI)
GANTI TUNTUT PERUBAHAN


