27hb. April 2015
Khamis, 30 April 2015
TUNTUT PERAKUAN TAHAP KESELAMATAN STADIUM SULTAN MIZAN
27hb. April 2015
Ahad, 26 April 2015
KONSEP KT WALK DI BANDAR KUALA TERENGGANU
KENYATAAN MEDIA
Berhubung dengan pengenalan KT Walk di tengah bandar Kuala Terengganu yang diadakan setiap hari Jumaat bermula jam 3 petang, saya menerimanya secara positif walau ada juga kedengaran rungutan yang mana saya harap dikumpulkan untuk penelitian dan penambahbaikan.
Isu institusi pasar malam adalah isu yang selalu saya tulis dan ucapkan dalam ceramah ceramah terutamanya dalam program program pidato rakyat di pasar pasar malam yang pernah saya hadiri.
Kami punya hubungan yg baik dengan persatuan pasar malam dan selalu mencatat masalah dan cadangan. Pasar malam tempat orang melayu berniaga. Selalunya dilayan bagai warga kelas ketiga, sesuka hati diarah pindah lokasi bagai kaum nomad.
Di negara maju, malah di Kuala Lumpur, Chow Kit dan Petaling Street sejak dulu hingga kini jadi tarikan pelancong.
Malah banyak lokasi di Kuala Lumpur dibuat acara mingguan pasar malam dgn menutup jalan pada tempoh tertentu untuk penjaja berniaga mencari rezeki. Misalnya jalan sekitar Hotel Vistana di Kuala Lumpur.
Di Kuala Terengganu kita pernah bersuara masalah tekanan dihadapi oleh golongan penjaja dari segi lokasi dan syarat perlesenan yang mungkin perlu dimudahkan lagi. Penguatkuasaan yang dilaporkan ada kes kurang bertimbangrasa.
Cadangan supaya kerajaan menggazetkan lokasi dan masa untuk pasar-pasar malam supaya kekal dalam kalendar rakyat selalu kami sebut dengan pelbagai manfaat yang boleh diraih.
Kerajaan boleh merancang kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan air, tandas awam yang mencukupi dan berkualiti, surau awam yang bagus, kemudahan pembuangan sampah dan lain lain lagi.
Kerajaan mungkin boleh tambahkan pencahayaan agar lebih terang. Tumpuan perlu dibuat agar masalah parking dapat diatasi. Ini mungkin lebih selesa bila kompleks parking yang baru dibina siap dan begitu juga KT Mall yg dijanjikan boleh dibuka tak lama lagi.
Laluan jalan perlu direka supaya kenderaan boleh bergerak lancar. Jika perlu polis trafik mungkin boleh diminta membantu.
Dilaporkan ada kegiatan karaoke. Di Kuala Lumpur pun mereka tak buat. Tak usahlah kita di Terengganu jadi tukang cambah dan suburkan budaya lalai begini.
Saya cadangkan supaya Kerajaan kempen solat berjemaah bila tiba waktu solat. Atau tetapkan 15-30 minit setelah Azan supaya tempoh bertenang untuk peniaga solat ditempat pilihan masing jika surau tiada.
Biarlah di negeri kita yang 90% rakyatnya beragama Islam dan melayu kita bina budaya pasar yg punya karakter budaya Islam dan melayu yang indah dan tersendiri.
Sebenarnya tak perlu binaan kekal untuk surau KT Walk. Naikkan kanopi. Buat dinding kanvas. Kipas angin atau portable aircond. Sebagai surau sementara.
KT Walk adalah medan untuk orang melayu berniaga di tengah-tengah pusat bandar. Walau saya jangkakan lokasi yg berbeza, tapi kesediaan MBKT memperuntukkan lokasi dan masa ditapak tumpuan (prime area) adalah peluang besar untuk showcase yg berupaya menonjolkan peniaga peniaga melayu.
Bank-bank yg berdekatan memudahkan akses kpd mesin ATM untuk pengeluaran tunai.
Saya harap kerajaan bersedia melakukan lebih banyak penambahbaikan.
HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Presiden GANTI
25hb April 2015
Sabtu, 25 April 2015
SANGKAAN
يا أيها الذين أمنوا اجتنبوا كثيرا من الظن ان بعض الظن اثم و لا تجسسوا و لا يغتب بعضكم بعض أيحب أحدكم أن يأكل لحم أخيه ميتا فكرهتموه و اتقو ا الله ان الله تواب رحيم
12. Wahai orang-orang Yang beriman! jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan Yang dilarang) kerana Sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya Yang lain.Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya Yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadaNya. (oleh itu, patuhilah larangan-larangan Yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.
TAKRIF SANGKAAN
Sangkaan ialah Persepsi atau tanggapan. Ia terbahagi kepada sangkaan baik dan sangkaan buruk. Sangkaan buruk(prasangka) akan menjadi topik perbincangan dalam artikel ini.
Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, prasangka ialah sangka (anggapan) buruk terhadap sesuatu (seseorang) sebelum mengetahui (menyelidiki yang sebenarnya). Sedangkan berprasangka ialah menaruh prasangka. Adapun keprasangkaan pula ialah sifat (rasa) prasangka.
ASBABUL NUZUL
Setengah ulama’ mengatakan ayat ini diturunkan kepada dua orang sahabat nabi s.a.w. Sudah menjadi kebiasaan, apabila bermusafir, Rasulullah akan mencampurkan sahabatnya yang susah dengan sahabat yang senang. Ini bertujuan untuk menanamkan sifat ukhuwwah di antara satu sama lain. Orang yang senang akan menolong saudaranya yang susah. Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. telah meletakkan Salman al farisi dengan dua orang lelaki dari kalangan sahabat yang dianggap lebih berada daripada Salman al farisi ketika itu.
Di sepanjang perjalanan dalam musafir itu berlaku suatu peristiwa di antara Salman dengan dua sahabat tadi di mana mereka terlewat bangun tidur, sedangkan Salman ditugaskan untuk menyediakan makanan buat mereka. Kedua-dua sahabat tadi menyuruh Salman bertemu Rasulullah untuk mengambil makanan. Apabila sampai, Rasulullah memberitahu Salman bahawa makanan telah habis, lalu menyuruhnya berjumpa dengan Usamah bin Zaid (ditugaskan menjaga perbekalan).
Salman pun pergi berjumpa dengan Usamah sebagaimana diarahkan nabi, tetapi malangnya Usamah juga menyatakan makanan sudah habis. Lalu Salman balik dalam keadaan tiada makanan bersamanya. Dua sahabat tadi menuduh Usamah bakhil kerana sengaja tidak mahu memberi mereka makanan. Akhirnya Salman dihantarkan pula kepada sahabat-sahabat lain untuk memperolehi makanan. Dalam keadaan ketiadaan Salman, dua sahabat tadi bercakap-cakap pula mengenai Salman dengan tidak mengharapkannya lagi.
Rasulullah s.a.w. telah melihat telatah kedua orang sahabat itu, lalu Rasulullah s.a.w. bersabda kepada kedua orang sahabatnya:
ما لي أري خضرة اللحم في أفواهكما
Maksudnya:
”Aku melihat kamu berdua sedang memakan daging.”
Lalu sahabatnya berkata:
يا نبي الله و الله ما أكلنا فى يومنا هذا لحما و لا غيره
Maksudnya:
“Wahai nabi Allah, kami tidak makan apa-apa lagi pada hari ini sama ada dagingatau makanan yang lain.”
Rasulullah menjawab:
ولكنكما ظلمتما تأكلان لحم سلمان و أسامة
Maksudnya:
“Tetapi kamu berdua berlaku zalim dan kamu telah memakan daging saudara kamu iaitu Salman al Farisi.”
Lalu Allah turunkan ayat 12 surah al Hujurat sebagaimana di atas. Ia menunjukkan kepada kita betapa besarnya dosa mengumpat sehingga digambarkan seolah-olah kita memakan daging saudara kita sendiri.
TAFSIR AYAT
As Sobuni menyebutkan : Jauhilah kamu dari tohmahan, khianat dan buruk sangka terhadap keluarga dan manusia. Diibaratkan dengan banyak (كثيرا ) di sini untuk mengambil langkah berhati-hati kepada setiap zhan atau sangkaan dan jangan terlalu gopoh membuat kesimpulan sehinggalah disiasat dan dipastikan kebenaran sangkaan itu. Ini kerana sebahagian zhan merupakan dosa yang mengakibatkan tuannya dengan hukuman Allah s.w.t. sama ada di dunia dan di akhirat.
Ia ada kaitan dengan konsep tabayyun(tindakan menentukan sama ada khabar berita benar atau salah) dalam ayat keenam surah yang sama.
Sebagaimana yang disebutkan dalam ayat di atas, sebahagian sangkaan adalah dosa. Bermakna ada sangkaan yang membawa dosa dan ada sangkaan membawa pahala. Yang membawa dosa sudah tentulah sangkaan yang buruk atau disebut prasangka. Manakala yang membawa pahala dipanggil sangkaan baik. Dalam istilah arab, sangka buruk ialah su’uzzhan((سوء الظن, manakala sangka baik ialah husnuzzhan( حسن الظن).
Contoh prasangka : Seseorang yang berjanji untuk datang mesyuarat pada jam 3 petang. Tiba-tiba dia datang lewat. Ahli mesyuarat yang menunggu berprasangka kepada beliau dengan mengatakan beliau seorang yang tidak menjaga waktu dan tidak menghormati ahli mesyuarat sedangkan kemungkinan-kemungkinan yang lain masih ada. Mungkin beliau kesesakan lalulintas dan sebagainya.
Allah jalla wa ’ala memerintahkan orang yang beriman menjauhi sangkaan kerana kebanyakan sangkaan merupakan DOSA! Daripada sangkaan tadi, timbul pula keinginan untuk mengintip-intip dan mencari-cari keburukan orang. Lalu apabila terbongkar, terus disebarkan kepada umum menyebabkan aib kepada si mangsa intipan. Inilah yang dilarang keras dalam agama. Ia termasuk dalam dosa ghibah atau mengumpat kalau yang dibongkar itu benar. Kalau berita itu palsu, maka ia termasuk dalam namimah atau fitnah. Allah subhanahu wa ta’ala menyamakan orang yang mengumpat dengan perbuatan memakan daging saudaranya! Di akhir ayat, Allah menyeru agar orang beriman bertaqwalah kepadaNya. Sesungguhnya Allah maha menerima taubat dan maha mengasihani.
DUNIA PERSEPSI
Kini, istilah persepsi sangat popular dalam masyarakat. Sebenarnya konsep ini sudah lama berlegar dalam sistem sosial kita. Bahkan ia wujud dalam mana-mana masyarakat dalam dunia sekalipun. Persepsi atau tanggapan atau sangkaan merupakan istilah-istilah yang membawa erti yang sama. Ia boeh jadi baik dan boleh jadi juga buruk. Kalau buruk persepsi, maka natijahnya buruk. Begitulah sebaliknya. Pandangan masyarakat umum terhadap sesuatu isu atau individu, kelompok masyarakat bergantung kepada persepsi yang menguasai minda mereka. Persepsi boleh diterjemahkan sebagai ’bagaimana kita melihat sesuatu’. Perkara yang sama boleh melahirkan persepsi yang berbeza bergantung kepada cara pemikiran seseorang. Ia mungkin positif, dan mungkin juga negatif! Yang negatif inilah dipanggil sangka buruk atau suu’uzzhan.
Mungkin masyarakat tidak merasakan dosa berprasangka buruk merupakan dosa yang besar kerana ia sudah menjadi darah daging mereka, sedangkan Rasulullah pernah bersabda, ”اياكم و الظن فان الظن أكذب الحديث”. Maksudnya: ”Awasilah kamu daripada berprasangka, kerana prasangka adalah sebohong-bohong ucapan.”(Muttafaqun alaihi).
Bahkan Allah jalla wa ’ala berfirman dalam ayat 116 surah al An’am,
و ان تطع أكثر من في الأرض يضلوك عن سبيل الله ان يتبعوك الا الظن و ان هم الا يخرصون
116. Dan jika Engkau menurut kebanyakan orang Yang ada di muka bumi, nescaya mereka akan menyesatkanmu dari jalan Allah; tiadalah Yang mereka turut melainkan sangkaan semata-mata, dan mereka tidak lain hanyalah berdusta.
Al Sobuni menjelaskan bahawa jika kita taati golongan kafir yang jumah mereka ramai di muka bumi nescaya mereka menyesatkan orang beriman dari petunjuk Allah.
Masyarakat Islam kini banyak dipengaruhi oleh cara berfikir yang diwarisi dari barat. Pendidikan sains sosial rata-ratanya diambil dari idea-idea cendekiawan barat yang mewarnai silibus pembelajaran ilmu psikologi di institusi pengajian tinggi. Lalu lahirlah ramai doktor-doktor dan profesor-profesor Islam tetapi celupannya barat, mempromosikan ilmu dan cara berfikir ala kebaratan. Sehingga timbul ungkapan, ”Sesiapa yang tidak percayakan persepsi, maka ia adalah primitif.” Ini sangat bertentangan dengan apa yang diajar oleh Allah melalui ayat-ayat dalam surah al hujurat ini. Bagaimana mungkin kita mahu berkiblatkan orang barat dan pemikiran mereka sedangkan mereka sekali-kali tidak mengikut kaedah Islam dalam isu zhan ini melainkan hanyalah sangkaan dan waham yang mereka warisi dari nenek moyang mereka sehingga mereka merasakan berada atas jalan kebenaran. Padahal merekalah orang-orang yang berdusta atas nama ilmu sains sosial.
Adakah boleh kita katakan sesuatu itu adalah benar hanya kerana majoriti masyarakat mengatakan benar? Contohnya seorang muslim yang tinggal di negara yang majoritinya kristian, adakah wajib dia mengikut persepsi masyarakat negara itu yang memandang semua orang Islam adalah ganas? Sudah tentu tidak.
PERSEPSI BERUBAH MENJADI INFORMASI
Sebuah hadis qudsi menyebut, ” ان ظن خيرا فله و ان ظن شرا فله- رواه أحمد “انا عند ظن عبدي بي yang maksudnya, ”Aku di sisi(sebagaimana) sangkaan hambaKu denganKu, sekiranya dia(hambaKu) bersangka baik, maka baginya(natijah baik), dan sekiranya dia bersangka buruk, maka baginya juga(natijah buruk)”. Hadis Qudsi ini mengajar kita agar berfikiran positif kerana Allah redha dengan sangkaan baik dan murka dengan sangkaan buruk. Sekiranya kita berfikiran negatif, maka ia membentuk informasi yang salah dalam masyarakat. Menurut kajian barat, proses persepsi boleh ’mengubah’ apa yang manusia lihat. Apabila kita melihat sesuatu dengan konsep yang telah diprasangkakan, kita akan anggap prasangka itu sebagai maklumat atau fakta. Keadaan ini berlaku oleh kerana manusia mampu untuk memahami informasi baru tanpa ‘the inherent bias of their previous knowledge’ (pengetahuan lampau tentang sesuatu yang diwarisi secara berpihak).
Ada orang yang berhujjahkan hadis ini untuk menjustifikasikan bahawa benarnya konsep persepsi berubah menjadi informasi atau fakta. Kalaulah begitu, biarlah kita menjadi warga yang sentiasa berpersepsi baik agar natijahnya baik. Melainkan kita memang berniat untuk membentuk persepsi buruk terhadap individu atau organisasi tertentu.
Peranan media sangat penting dalam membentuk persepsi yang baik dalam masyarakat. Apa yang sering media paparkan, itulah yang akan menguasai minda masyarakat umum. Kesimpulannya, apa yang bermain di minda masyarakat, kemudian menjadi informasi dan fakta bagi mereka, tidak semestinya benar dan baik di sisi Islam.
Ini merupakan suatu cabaran yang sangat besar dan getir bagi umat Islam khususnya pendokong perjuangan Islam untuk membentuk persepsi yang baik di kalangan masyarakat terhadap apa yang mereka bawa selama ini agar diterima ramai dengan baik.
Ibnu Abbas an Najjar
Unit Tarbiyyah GANTI
7 Rejab 1436
Rabu, 22 April 2015
JAMAAH ISLAM PERLUKAN MURABITUN
Murabitun merujuk kepada anggota jamaah yang bekerja sepenuh masa untuk Islam, tidak kira sama ada dibayar elaun bulanan atau dengan biayaan sendiri. Murabitun dalam negara Islam merujuk kepada tentera-tentera Islam yang bertugas menjaga sempadan tanah air negara Islam. Mereka berkorban jiwa raga untuk jaga kedaulatan tanah air Islam. kedua-dua jenis murabitun ini jika mati, mereka mati syahid di jalan Allah sama ada dapat syahid akhirat (diuruskan jenazah mereka seperti biasa-mandi, kafan, solat, kebumi) atau dunia akhirat.
Kedudukan murabitun dalam jamaah Islam sangat mulia kerana kehidupan mereka diinfaqkan untuk jalan Allah tidak kira di arena dakwah, tarbiyyah dan siasah. Fikiran mereka 100% untuk jamaah. Mereka tidak dapat meluangkan masa dengan anak isteri seperti orang lain. Malam mereka penuh dengan aktiviti jamaah seperti mesyuarat, usrah, ceramah, dan seumpamanya. Siang mereka juga untuk jamaah, mungkin melaksanakan tugas-tugas kepejabatan, menguruskan borang-borang keahlian jamaah dan seumpamanya. Mungkin sebahagiannya menjaga institusi-institusi pendidikan milik jamaah. Mungkin juga sebahagiannya menjalankan aktiviti ekonomi jamaah di siang hari. Di saat orang biasa bercuti di hujung minggu, hidup mereka dikelilingi aktiviti jamaah yang padat. Di saat orang biasa bekerja makan gaji di pejabat-pejabat kerajaan dan swasta, mereka ditugaskan sepenuh masa di markaz-markaz pilihanraya apabila muncul pilihanraya kecil dan umum.
Justeru, orang ramai di kalangan amilin(petugas-petugas), ahli jamaah, penyokong-penyokong seharusnya menghargai mereka dengan memberi sokongan kewangan atau sekurang-kurangnya sokongan moral. Bukan menuding jari atau mencari kesilapan dan kesalahan apabila natijah pilihanraya tidak sebagaimana yang dikehendaki.
Mudah-mudahan kita tergolong di kalangan orang-orang yang benar-benar menginfaqkan diri untuk jalan Allah dan mati dalam keadaan dikurniakan syahid insyaAllah, sebagaimana sabda Nabi saw,
من سأل الشهادة بصدق بلغه الله منازل الشهادة و إن مات على فراشه
Maksudnya,
"Barangsiapa yang meminta syahid dengan benar, Allah sampaikan dia ke maqam syahadah walaupun ia mati atas katilnya. "
Ibnu Abbas An Najjar
Unit Tarbiyyah GANTI
23 April 2015
4 Rejab 1436
TINTA TARBAWI
إن في خلق السماوات و الأرض و اختلاف الليل و النهار لآيات لأولى الألباب. الذين يذكرون الله قياما و قعودا و على جنوبهم و يتفكرون في خلق السماوات و الأرض.
"Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, dan silih berganti malam dan siang, ada tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang berfikir. Iaitu mereka yang mengingati Allah ketika berdiri, duduk dan berbaring (di atas lambung mereka) , dan mereka berfikir pada penciptaan langit dan bumi."
Ada dua tafsiran di sisi mufassirun pada ayat "mereka mengingati Allah ketika berdiri, duduk dan berbaring".
Pertama, 'mengingati Allah dalam ayat tersebut merujuk kepada mendirikan solat, sebagaimana sabit dalam hadis Nabi saw yang berbunyi, "صل قائما فإن لم تستطع فقاعدا و إن لم تستطع فعلى جنب" yang maksudnya, "Solatlah dalam keadaan berdiri, sekiranya tidak mampu, dalam keadaan duduk, sekiranya tidak mampu juga hendaklah dalam keadaan berbaring."
Kedua, ia membawa makna zahir ayat iaitu Ulul Albab ialah orang-orang yang sentiasa mengingati Allah di setiap masa. Aisyah pernah menyebut, "كان النبي صلى الله عليه و سلم يذكر الله في كل أحيانه" yang bermaksud, "Adalah Nabi saw sentiasa mengingati Allah."
TAKRIF ZIKRULLAH
Ada dua kalimah di sini:Zikir dan Allah. Secara bahasa, zikir asal dari ذكر يذكر ذكرا yang maknanya SEBUT atau INGAT. Maka Zikrullah bererti MENGINGATI ALLAH. Adapun secara istilahi, zikrullah merujuk kepada lafaz-lafaz khusus yang diajar Nabi saw sebagai salah satu usaha tazkiyatunnafsi(penyucian jiwa), seterusnya mendekatkan diri dengan Allah azza wa jalla.
Lafaz khusus ini ada yang diajar Nabi saw untuk dibaca selepas solat lima waktu. Contohnya bacaan Tasbih, Tahmid dan Takbir yang diperintahkan baca 33 kali. Ada juga dalil umum yang mengajak orang beriman agar perbanyakkan zikrullah tanpa hadkan bilangan.
KESAN ZIKRULLAH
Ada dua ayat menyentuh tentang kesan zikrullah. Pertama, ia menenangkan hati. Firman Allah,
ألا بذكر الله تطمئن القلوب
yang maksudnya, "Ketahuilah bahawa dengan zikrullah , ia menenangkan hati-hati."
Kedua, menggetarkan hati-hati(kerana takutkan Allah) sebagaimana firman Allah,
إنما المؤمنون الذين أذا ذكر الله وجلت قلوبهم......
yang maksudnya, "Hanyasanya orang-orang beriman itu ialah apabila disebut Allah, bergetar hati-hati mereka."
HUBUNGAN SYARIAT DAN HAKIKAT ZIKRULLAH
Syariat Islam mengajar kita zikir-zikir berlafaz di lidah bertujuan melatih diri agar senantiasa mengingati Allah di setiap masa. Syarat zikrullah berlafaz diterima Allah ialah sebutan kita betul, tidak lari maknanya. Kedua, kita fahami makna lafaz itu. Bayangkan jika kita benar-benar jadikan amalan zikrullah setiap kali selepas solat lima waktu setiap hari, sudah tentu kebarangkalian mengingati Allah di luar solat dan di luar sejadah lebih besar berbanding orang-orang yang tidak basahkan lidah dengan zikrullah.
PENUTUP
Kata Ibnu Atoillah as Sakandari,
“لا تترك الذكر لعدم حضورك مع الله فيه ,لأن غفلتك عن وجود ذكره أشد من غفلتك فى وجود ذكره.فعسى أن يرفعك من ذكر مع وجود غفلة ..إلى ذكر مع وجود يقظة, و من ذكر مع وجود يقظة إلى ذكر مع وجود حضور ,و من ذكر مع وجود حضور إلى ذكر مع غيبة عما سوى المذكور ..و ما ذلك على الله بعزيز”
” Jangan kamu meninggalkan zikir, ( menyebut @ mengingat Allah ) disebabkan tidak hadir hatimu terhadap Allah dalam zikir itu, ini kerana kelalaian kamu terhadap Allah ketika tidak berzikir itu lebih berat @ bahaya daripada kelalaianmu terhadap Allah ketika kamu berzikir. Mudah-mudahan Allah S.W.T. akan mengangkat darjatmu daripada zikir yang ada kelalaian, kepada zikir yang hatimu sentiasa sedar. Dan seterusnya kepada zikir yang beserta kehadiran Allah dalam hati, dan akhirnya kepada zikir yang lenyap segala yang lain selain Allah. Dan itu semua tidaklah sukar bagi Allah. “
Berzikirlah walaupun hati masih lalai. Teruskan istiqamah berzikrullah hingga ke akhir hayat dengan cara yang diajar oleh Nabi saw, ditunjuk kepada kita oleh alim ulama' sepanjang zaman. Jauhilah cara-cara yang syaz(ganjil) kerana dibimbangi terjerumus ke lembah kesesatan.
Wallahu a'lamu bissowab.
Ibnu Abbas an Najjar
Unit Tarbiyyah GANTI
22 April 2015
3 Rejab 1436
Selasa, 21 April 2015
DIALOG TERBUKA MERUNGKAI ISU KAMPUNG BANGGOL DONAS: MENCARI TITIK PENYELESAIAN
KENYATAAN MEDIA GANTI
Susulan dari kesanggupan pihak Jawatankuasa Bertindak Kampung Banggol Donas (JBBD) yang di ketuai oleh Tuan Hj. Salleh Embong untuk menjawab semua kekeliruan dan fitnah yang dilontarkan kepada perjuangan JBBD, GANTI telah mengambil inisiatif untuk cuba mempertemukan Tn Hj Salleh dengan YAB Dato' Menteri Besar dalam satu dialog terbuka yg diharap memberi ruang kpd JBBD dan pihak Kerajaan Negeri Terengganu mencari jalan penyelesaian kpd isu yg terlalu lama berlarutan.
Hari ini saya sendiri telah ke Pejabat Menteri Besar untuk menyerahkan surat jemputan bagi menjayakan dialog berkenaan.
Sebelum itu saya dikejutkan dengan berita tindakan provokatif yg kebudak budakan yg menggesa penduduk Kampung Banggol Donas menandatangani kanvas besar yg bertulis gesaan untuk kerajaan bertindak terhadap pemilik pemilik tanah. Ini betul betul berhampiran rumah mangsa terlibat. Malah ada berita MB pun turut hadir tandatangan.
Sayang sekali mangsa sudah berkali2 berharap dapat berjumpa MB untuk selesaikan masalah, namun begitu walau MB sudah sampai begitu hampir dgn rumah mangsa, YAB Dato memilih untuk hadir tandatangan kanvas berkenaan sahaja dan bukannya menziarah mangsa dan bertanya khabar.
GANTI berharap YAB Dato Razif dapat memberikan maklumbalas terhadap jemputan berkenaan.
Hj Ahmad Amzad Hashim
Presiden GANTI
21hb April 2015
Kandungan Surat.
Kepada
YAB DATO’ HJ. AHMAD RAZIF BIN ABDUL RAHMAN
Menteri Besar Terengganu
Wisma Darul Iman
Kuala Terengganu
21hb. April 2015
Assalamua’laikum Wrt. Wb.
Yang Amat Berhormat Dato’,
Per : Jemputan Dialog Terbuka Merungkai Isu Kampung Banggol Donas: Mencari Titik Penyelesaian
Merujuk kepada perkara atas, sukacita dimaklumkan Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI) adalah sebuah organisasi tidak berasaskan keuntungan yang bergerak cergas di negeri Terengganu membantu masyarakat membuat perubahan dalam permasalahan kehidupan masyarakat khususnya bersabit isu-isu rakyat.
2.Berhubung dengan isu di atas GANTI berpandangan isu ini sudah berlarutan terlalu lama sehingga merugikan rakyat, kerajaan dan juga penduduk kampung yang terlibat dalam pertikaian. Berbagai maklumat yang tidak benar serta mengelirukan orang ramai tersebar yang perlukan penjelasan.
3. GANTI telah mengambil inisiatif berbincang dengan Jawatankuasa Bertindak Isu Banggol Donas (JBBD) yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Salleh bin Embong yang kami dapati sebenarnya mahu menyelesaikan dan memberi penjelasan berhubung isu ini serta merungkai segala permasalahan. Kami dapati JBBD tidak berpendirian menentang projek pembangunan yang mendatangkan manfaat kepada rakyat.
4. Sehubungan dengan itu GANTI dengan persetujuan Tuan Haji Salleh Embong yang mewakili JBBD dengan sepenuh harapan menjemput YAB Dato’ untuk hadir atau menghantar wakil bagi sebuah program “Dialog Terbuka Merungkai Isu Kampung Banggol Donas: Mencari Titik Penyelesaian”.
5. Tarikh serta tempat bagi Dialog ini kami pohon YAB Dato’ yang tentukan mengikut kesesuaian masa YAB dengan maklum balas YAB Dato’ semoga dapat kami terima dalam tempoh 7 hari dari tarikh surat ini.
6. Sekali lagi kami ingin menyatakan harapan kami agar Isu Banggol Donas ini dapat diselesaikan dengan cara yang merungkai segala kekilanan di semua pihak. Sementelah lagi isu ini melibatkan masyarakat kampung, tanah pemilikan melayu, sesama umat Islam dan bangsa melayu yang mana YAB Dato’ selaku Menteri Besar Terengganu mempunyai kuasa untuk menamatkan isu ini secara baik dan harmoni.
7. Untuk sebarang pertanyaan, pihak YAB Dato’ bolehlah berhubung terus dengan saya, Haji Ahmad Amzad bin Hashim ( Presiden GANTI) di nombor telefon 019-985 4013.
Kerjasama dan jasa baik dari pihak YAB Dato’ saya dahului dengan ucapan ribuan terima kasih. Sekian, dengan hormatnya dan terima kasih.
Wassalamua’laikum Wrt. Wb.
Yang benar
Haji Ahmad Amzad Hashim
Presiden GANTI
Salinan:
1)Jawatankuasa Bertindak Banggol Donas (u.p: Tn. Hj. Salleh Embong)
DIALOG TERBUKA MERUNGKAI ISU KAMPUNG BANGGOL DONAS: MENCARI TITIK PENYELESAIAN
KENYATAAN MEDIA GANTI
Susulan dari kesanggupan pihak Jawatankuasa Bertindak Kampung Banggol Donas (JBBD) yang di ketuai oleh Tuan Hj. Salleh Embong untuk menjawab semua kekeliruan dan fitnah yang dilontarkan kepada perjuangan JBBD, GANTI telah mengambil inisiatif untuk cuba mempertemukan Tn Hj Salleh dengan YAB Dato' Menteri Besar dalam satu dialog terbuka yg diharap memberi ruang kpd JBBD dan pihak Kerajaan Negeri Terengganu mencari jalan penyelesaian kpd isu yg terlalu lama berlarutan.
Hari ini saya sendiri telah ke Pejabat Menteri Besar untuk menyerahkan surat jemputan bagi menjayakan dialog berkenaan.
Sebelum itu saya dikejutkan dengan berita tindakan provokatif yg kebudak budakan yg menggesa penduduk Kampung Banggol Donas menandatangani kanvas besar yg bertulis gesaan untuk kerajaan bertindak terhadap pemilik pemilik tanah. Ini betul betul berhampiran rumah mangsa terlibat. Malah ada berita MB pun turut hadir tandatangan.
Sayang sekali mangsa sudah berkali2 berharap dapat berjumpa MB untuk selesaikan masalah, namun begitu walau MB sudah sampai begitu hampir dgn rumah mangsa, YAB Dato memilih untuk hadir tandatangan kanvas berkenaan sahaja dan bukannya menziarah mangsa dan bertanya khabar.
GANTI berharap YAB Dato Razif dapat memberikan maklumbalas terhadap jemputan berkenaan.
Hj Ahmad Amzad Hashim
Presiden GANTI
21hb April 2015
Kandungan Surat.
Kepada
YAB DATO’ HJ. AHMAD RAZIF BIN ABDUL RAHMAN
Menteri Besar Terengganu
Wisma Darul Iman
Kuala Terengganu
21hb. April 2015
Assalamua’laikum Wrt. Wb.
Yang Amat Berhormat Dato’,
Per : Jemputan Dialog Terbuka Merungkai Isu Kampung Banggol Donas: Mencari Titik Penyelesaian
Merujuk kepada perkara atas, sukacita dimaklumkan Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI) adalah sebuah organisasi tidak berasaskan keuntungan yang bergerak cergas di negeri Terengganu membantu masyarakat membuat perubahan dalam permasalahan kehidupan masyarakat khususnya bersabit isu-isu rakyat.
2.Berhubung dengan isu di atas GANTI berpandangan isu ini sudah berlarutan terlalu lama sehingga merugikan rakyat, kerajaan dan juga penduduk kampung yang terlibat dalam pertikaian. Berbagai maklumat yang tidak benar serta mengelirukan orang ramai tersebar yang perlukan penjelasan.
3. GANTI telah mengambil inisiatif berbincang dengan Jawatankuasa Bertindak Isu Banggol Donas (JBBD) yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Salleh bin Embong yang kami dapati sebenarnya mahu menyelesaikan dan memberi penjelasan berhubung isu ini serta merungkai segala permasalahan. Kami dapati JBBD tidak berpendirian menentang projek pembangunan yang mendatangkan manfaat kepada rakyat.
4. Sehubungan dengan itu GANTI dengan persetujuan Tuan Haji Salleh Embong yang mewakili JBBD dengan sepenuh harapan menjemput YAB Dato’ untuk hadir atau menghantar wakil bagi sebuah program “Dialog Terbuka Merungkai Isu Kampung Banggol Donas: Mencari Titik Penyelesaian”.
5. Tarikh serta tempat bagi Dialog ini kami pohon YAB Dato’ yang tentukan mengikut kesesuaian masa YAB dengan maklum balas YAB Dato’ semoga dapat kami terima dalam tempoh 7 hari dari tarikh surat ini.
6. Sekali lagi kami ingin menyatakan harapan kami agar Isu Banggol Donas ini dapat diselesaikan dengan cara yang merungkai segala kekilanan di semua pihak. Sementelah lagi isu ini melibatkan masyarakat kampung, tanah pemilikan melayu, sesama umat Islam dan bangsa melayu yang mana YAB Dato’ selaku Menteri Besar Terengganu mempunyai kuasa untuk menamatkan isu ini secara baik dan harmoni.
7. Untuk sebarang pertanyaan, pihak YAB Dato’ bolehlah berhubung terus dengan saya, Haji Ahmad Amzad bin Hashim ( Presiden GANTI) di nombor telefon 019-985 4013.
Kerjasama dan jasa baik dari pihak YAB Dato’ saya dahului dengan ucapan ribuan terima kasih. Sekian, dengan hormatnya dan terima kasih.
Wassalamua’laikum Wrt. Wb.
Yang benar
Haji Ahmad Amzad Hashim
Presiden GANTI
Salinan:
1)Jawatankuasa Bertindak Banggol Donas (u.p: Tn. Hj. Salleh Embong)
