Jumaat, 27 Februari 2015

SAMPAI MASANYA TERENGGANU LAKSANAKAN HUDUD

Kenyataan Media

Bismillah

Saya melihat keputusan kerajaan BN Terengganu baru-baru ini yang telah meneruskan perlaksanaan dan penguatkuasaan beberapa bahagian daripada Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 yang diluluskan oleh Kerajaan PAS dibawah pimpinan Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan telah mendapat perkenan Tuanku Sultan Terengganu pada penggal 1999-2004 yang lalu, sebagai satu pengiktirafan kerajaan sekarang terhadap kesungguhan perlaksanaan syariat Islam dizaman pemerintahan kerajaan PAS di Terengganu dahulu.

Alhamdulillah PAS yang telah berusaha sekian lama bagi memartabatkan undang-undang al-Quran ini yang gagal dilaksanakan oleh BN yang setelah 58 tahun memerintah negara ini, telah berjaya meletakkan asas undang-undang ini kembali ke dalam tampuk pentadbiran kerajaan Terengganu ketika zaman pemerintahannya setelah ianya dibuang selepas tahun 1940-an oleh British. Sebelum itu undang-undang Islam telahpun dilaksanakan oleh Sultan Zainal Abidin III bersama penasihatnya yang juga seorang ulamak tersohor, Tok Ku Paloh, dengan undang-undang yang diberi nama Itqan al-Muluk bi Ta’Dil as-Suluk kira-kira 100 tahun yang lalu. Nyata di sini, peranan dan kesungguhan ulamak seperti Tok Ku Paloh dan Tuan Guru Haji Abdul Hadi, membantu sultan dalam pentadbiran mendekati kepada keredhaan Allah.

Dengan perlaksanaan sebahagian enakmen ini, saya yakin dan percaya sudah sampai waktunya dan mendesak agar kerajaan pimpinan YAB Dato’ Ahmad Rafiz Abdul Rahman meneruskan kepada undang-undang hudud pula. Sebab dengan tertegaknya hudud, tumpuan tidak hanya kepada kesalahan-kesalahan kecil seperti kes pakaian yang mencolok mata dan seumpamanya sahaja, tetapi jauh daripada itu, ianya mencangkupi kesalahan-kesalahan besar seperti pecah amanah, penyelewengan, pembaziran seperti kes stadium runtuh, selain daripada kes-kes hudud yang sudah dikenali seperti mencuri dan berzina serta qisas (hukum balas) seperti yang telah dijelaskan dalam al-Quran. Jika tidak, maka hukuman dari enakmen ini hanyalah terpilih dan tidak menyeluruh kerana sang penyeleweng tidak diberikan pendidikan dan hukuman, tetapi hanya kepada rakyat biasa yang berpakaian tidak senonoh.

Bagi memperkukuhkan lagi cadangan perlaksanaan hudud ini, saya juga mendesak agar kerajaan sedia ada memperkuatkan lagi fungsi mahkamah syariah, hakim-hakimnya, pendakwaraya-pendakwaraya syarienya serta penguatkuasaannya, supaya kekuatan enakmen ini dapat dilihat dengan jelas kewujudan ruh Islam didalamnya. Perlu diingat, hukuman Allah adalah untuk mendidik bukan menghukum, maka tindakan memperkasakan fungsi mahkamah syariah ini adalah bayangan kepada mendidik masyarakat tentang betapa seriusnya kerajaan dalam melaksanakan enakmen ini. Dengan dilaksanakan segala ini, maka jelaslah kepada kita bahawa undang-undang ini bukanlah hanya wayang untuk diperlakonkan kepada masyarakat, tetapi ianya adalah hukum tetap yang wajib yang telah diperintahkan oleh Allah kepada manusia untuk dilaksanakan tidak kira siapapun kita.

Akhirnya saya menyeru kepada rakyat Terengganu agar melihat ini adalah satu pengiktirafan oleh kerajaan BN kepada usaha serta pengorbanan kerajaan PAS dahulu dan saya juga menyeru agar rakyat kembali meletakkan kerajaan PAS mentadbir semula negeri Terengganu ini setelah terbukti undang-undang Islam yang telahpun tertegak di negeri Terengganu sejak lama dahulu, mendahului kerajaan Islam Melaka. Jelas, undang-undang Islam yang berjaya diwujudkan dalam sistem pemerintahan kerajaan Islam Terengganu pada awal dan akhir abad lalu, adalah kerana kesungguhan tokoh-tokoh ulamak seperti Tok Ku Paloh dan Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Terengganu
9 Jamadil Awwal 1436 bersamaan 28 Februari 2015

Rabu, 25 Februari 2015

JANGAN GUNA IMEJ AGAMA UNTUK SOROK PEMBAZIRAN

KENYATAAN MEDIA GANTI
26HB FEBRUARI 2015

GANTI menyokong segala usaha pentadbiran kerajaan negeri Terengganu di bawah  YAB MB Terengganu menguatkuasakan undang undang kawalan pakaian mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah ( Takzir) 2001 bagi membendung gejala tidak sopan dan masalah sosial.

Undang undang yg diusahakan oleh PAS itu sudah terlalu lama wujud tanpa dikuatkuasakan.  Sekarang dengan kesedaran serta kecenderungan rakyat, semakin ramai yg menginsafi hanya dengan kembali menghayati syariat agama lah  adalah diharap dapat membendung merebaknya permasalahan sosial.

Dalam pada kecenderungan kembali ke landasan agama cuba dizahirkan, GANTI ingin menegur ketirisan perbelanjaan wang rakyat yang berterusan, diskriminasi agihan bantuan bermotifkan politik hingga menjadikan mereka yg lemah sebagai mangsa, pengurusan agihan kutipan wang zakat kpd asnaf yg masih lemah dan menyusahkan, penerusan projek projek ratusan juta yang membazir, kenaikan dalam bayaran bayaran seperti lesen perniagaan yang melambung berlipat kali ganda.

Dalam keadaan negara dikatakan kekurangan wang, Majlis Bandaraya dan lain lain PBT dikatakan tidak cukup wang,  sudah kedengaran pelbagai projek baru yg membazir sedang dirancang.

Antara lain adalah cadangan merobohkan mercutanda di Bukit Besar Kuala Terengganu iaitulah binaan struktur lampu ALLAH PELIHARAKAN TERENGGANU untuk  memberi laluan pembinaan yg baru mengikut cita rasa YAB Menteri Besar sekarang pula. Binaan ini dijangka bernilai jutaan ringgit.

Saya difahamkan pagi ini 26hb Februari 2015 lawatan tapak bagi projek ini akan dibuat. Bermaksud jika betul, projek membazir ini dalam peringkat tertentu serta akan dilaksanakan.

Dulu rakyat terkejut dgn pokok pokok lampu yg dibeli kerajaan dengan berpuluh2 bilangannya dengan nilai sehingga ada yg puluhan ribu ringgit setiap sebatang pokok.

Sekarang sudah ada berita YAB Menteri Besar mahu memasang lampu di sepanjang tebing Sungai Terengganu.

Ini belum lagi apa yg sedang diperkatakan di kalangan kontraktor tempatan tentang projek mega di Kuala Nerus yg akan menelan belanja ratusan juta ringgit lagi yg dikatakan mengambil inspirasi dari pembangunan Pulau Sentosa di Singapura.

Perlu diingat ratusan juta yg dibelanjakan di Pulau Bayas  Kenyir yg belum mendapat status bebas cukai, kompleks tekstile Kijal yg bagai terbiar, Kompleks Usahawan Banggol Tuan Muda, Dataran Ilmu Besut,  Stadium Sultan Mizan dan banyak lagi. Semua masih tak mencapai matlamat seperti sepatutnya tujuan perbelanjaan besar wang rakyat itu dibuat.

Rakyat yang masih susah hanya mengalir air mata diberitahu peruntukan pelbagai bantuan sudah habis atau tidak cukup, tetapi boleh ada wang pula untuk dibazirkan semahunya

Kecenderungan kembali ke jalan agama janganlah dijadikan kaedah mengalih tumpuan rakyat dari isu urustadbir negeri dan sumber wang rakyat.

HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Presiden
Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI)
GANTI TUNTUT PERUBAHAN

Selasa, 24 Februari 2015

KERAJAAN TERENGGANU KUATKUASA UNDANG-UNDANG ZAMAN PAS




Ramai memuji tindakan kerajaan Terengganu dengan langkah yang mereka ambil untuk menyaman anak-anak gadis berpakaian seksi. Dato Razif selaku MB mewakili UMNO dipuji kawan dan lawan.

Tapi ramai yang tak tahu, apa yang dikuatkuasakan itu adalah sebahagian dari enakmen undang-undang jenayah syariah Terengganu yang digubal pada zaman pemerintahan PAS di Terengganu tahun 2001. Waktu itu TG Ayah Chik sebagai MB  Secara spesifiknya ia adalah penguatkuasaan terhadap seksyen 35 bahagian 4 enakmen kesalahan jenayah syariah takzir Terengganu.

Inilah bukti kejayaan perjuangan alim ulama dalam PAS. Perjuangan mereka tidak bersyarat duduk di kerusi pemerintah. Walau mereka hanya diizin memimpin selama sepenggal, kesan yang diperolehi berkekalan ke hari ini.



Firman Allah SWT:
ونكتب ما قدموا وآثارهم
Dan kami catitkan segala amalan yang telah mereka lakukan, serta kesan daripadanya [Yaasiin:12]

Walaupun Rasulullah SAW diberikan kuasa yang sekejap; hanya 10 tahun memerintah Madinah, tetapi kesan yang dibawa sehingga membentuk empayar baru yang merubah sejarah dunia. Di zamannya, Islam belum mampu menewaskan Rom dan Parsi. Empayar Islam masih belum terbentuk. Tetapi keran perjuangannyalah, umat Islam mampu berada di suatu era keemasan yang belum pernah dicapai mana-mana tamadun dalam dunia ini.

Tiada lagi cercaan pada TG Ayah Chik dan pemimpin Terengganu kononnya tidak pandai memimpin sehingga kalah. Ini bukti kebijaksanaan orang-orang yang dekat dengan tuhan. Walaupun parti tidak menang, tapi Islam tetap termartabat. Walaupun sekarang UMNO berkuasa, tetapi mereka terpaksa tunduk kepada kemahuan kita. Melihat kepada matlamat perjuangan, kita telah MENANG sebenarnya!

Rancangan mereka bukan sekadar mahu kekal berkuasa, tapi rancangan mereka jauh untuk masa depan Terengganu. Rancangan mereka bukan untuk diri, tetapi buat generasi hari ini. Pahala yang dilakukan anggota Jabatan Agama dalam membanteras maksiat akan turut mengalir ke saham Al-Marhum Tuan Guru Harun Taib selaku pengerusi jawatankuasa penggubal undang-undang ini. Juga untuk semua yang terlibat samada masih di alam nyata atau sudah ke alam barzakh.

Ulama-ulama ini bertindak dengan pimpinan cahaya Allah. Hanya hati-hati yang pekat dengan hitam maksiat akan dibutakan dari melihat cahaya itu.

Kepada yang masih hidup, jadikan khabaran ini sebagai motivasi untuk terus berjuang memartabatkan Islam. Sesungguhnya ruang mencari pahala di medan politik ini amat luas dan pelbagai. Sedikit kuasa yang tuhan berikan sudah tidak terhitung manfaatnya jika digunakan untuk menambah saham pahala di sisi Allah.

Selasa, 17 Februari 2015

Tiada Langkah ‘Pro-Aktif’ Atasi Banjir

KEMAMAN – Kerajaan Umno dan Barisan nasional (BN) Terengganu disifatkan “pekak” kerana masih tidak mempedulikan teguran pembangkang bagi mengatasi masalah rakyat di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat melahirkan rasa kebimbangan itu jika banjir besar boleh berulang kembali di daerah Kemaman pada musim tengkujuh tahun ini.
Katanya dua tahun berturut-turut banjir besar melanda daerah tersebut namun langkah mengatasinya tidak dilaksanakan dengan pro-aktif.
SAM_2165“Saya doa kamu (masyarakat tionghua) semua sihat, perniagaan maju, hidup baik dan dapat sambut tahun baru ini dengan gembira. Gong Xi Fat Cai…tetapi saya rasa sangat sedih dengan kejadian banjir dua bulan lalu.
“Banjir berlaku pada bulan Disember tahun lalu dan tahun ini, kemungkinan banjir boleh berlaku lagi. Musim tengkujuh bulan Disember tahun 2013 dan 2014 teruk melanda daerah (Kemaman) ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Sempena Tahun Baru Cina 2015, di Jalan Jakar, Hadapan SJK (C) Chukai, Kemaman pada Sabtu 15 Februari.
Hadir sama pada majlis itu, Adun Teruntum, Sim Chon Siang, Timbalan Pengerusi DHPP Terengganu, Jefri Chua dan Pengerusi DAP Terengganu, Ng Chai Hing.
Hanafiah mendakwa telah berulang kali isu banjir dan puncanya dibawa kepada pihak kerajaan negeri untuk tindakan termasuk dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.
Namun, kata beliau, tindakan segera tidak diambil bagi mengatasi masalah aliran sungai yang cetek dan perlu diperdalamkan.
“Saya sudah beritahu kerajaan negeri bahawa Sungai Kemaman sudah cetek dan perlu dikorek semula supaya menjadi dalam. Tetapi, pihak berkuasa buat tidak peduli lagi hingga hari ini.
SAM_2128“Kerajaan ‘pekak’ dan tidak mahu dengar pandangan dan nasihat kita (PAS). Apa salahnya, kerajaan keluarkan peruntukan untuk projek mendalamkan sungai dari Kampung Bukit Mentok hingga ke muara kuala, supaya aliran air dari hulu cepat mengalir dan tidak tersekat dengan benting pasir,” jelasnya dihadapan hampir 400 masyarakat Tionghua.
Hanafiah yang juga Ketua Penerangan PAS Kemaman turut menyifatkan kedua-dua pemimpin Umno-BN itu, Dato’ Seri Ahmad Said dan Dato’ Ahmad Razif Abdul Rahman sama perangainya.
Katanya, mantan MB Terengganu dan Menteri Besar sekarang ini tidak mempedulikan masalah rakyat menjadi keutamaan.
“Bekas Menteri Besar (Ahmad Said) yang lalu, juga tidak mempedulikan masalah rakyat. Bahkan, lebih mengutamakan pembinaan Mini Zoo di Bukit Takal, Kemaman. Puluhan juta setiap tahun diperuntukkan untuk pengurusan di Mini Zoo itu.
“Kedua-dua pemimpin (MB) itu sama tidak mempedulikan kesusahan rakyat yang menghadapi bencana banjir setiap tahun,” tegasnya.

Nelayan Terengganu Termiskin, Perlukan Pembelaan

Merujuk kepada Laporan Sosio-Ekonomi Nelayan dan Data Isi Rumah yang diterbitkan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), purata pendapatan nelayan ke laut bagi Negeri Terengganu adalah RM1,400 sebulan dengan sekumpulan besarnya berpendapatan antara RM518 hingga RM1250 sebulan. Nilai ini berada di bawah paras purata pendapatan nelayan negara iaitu RM1600 sebulan.
2. Berbanding Negeri Kedah, Perak, Selangor, Johor dan Pahang, semuanya berada di atas purata pendapatan nelayan negara ini. Purata pendapatan serendah RM1,400 ini juga memposisikan nelayan Terengganu berada pada tempat ketiga terendah di Semenanjung Malaysia selepas Negeri Sembilan (RM1,240) dan Kelantan (RM1,300).
3. Lebih mendukacitakan, suatu kajian terbaru mendapati pendapatan nelayan hanya mengalami peningkatan sebanyak 3.5% sahaja bagi tempoh 10 tahun. Kenaikan dengan kadar yang teramat sedikit ini menjadikan amat mustahil kepada para nelayan untuk memiliki pendapatan boleh guna yang mencukupi bagi memenuhi keperluan hidup mereka lebih-lebih lagi dalam suasana kenaikan kos sara hidup dan kesan kejatuhan nilai mata wang dan pelaksanaan GST pada April nanti, bahkan mungkin akan lebih teruk jika TPPA ditandatangani oleh Kerajaan kelak.
4. Berhubung hal ini, saya mendesak agar pihak berkenaan; Kerajaan Negeri Terengganu, LKIM dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, menumpukan perhatian dan menyelesaikan beberapa perkara berikut :
demo nelayan dparlimen(i) Pendapatan nelayan Terengganu adalah terjejas akibat daripada pencerobohan nelayan asing khususnya oleh warga Vietnam.
Mereka menggunakan pukat tunda haram dan cara haram bagi menangkap ikan sehingga menjejaskan hasil tangkapan nelayan tempatan dan ekosistem laut Terengganu. Isu ini adalah isu lama dan berulang, bahkan sehingga 14 Februari lalu, terdapat 6 orang lagi nelayan asing ditahan. Sikap tegas Jokowi, Presiden Indosnesi harus dicontohi dalam menyelesaikan isu pencerobohan ini.
(ii) Mengurangkan campurtangan orang tengah dengan memperkemaskan sistem pemasaran hasil tangkapan nelayan.
Selain penguatkuasaan undang-undang dan peraturan, Kerjaan perlu menyediakan suatu mekanisme lain bagi memastikan nelayan merasakan pendapatan mereka terjamin seperti mewujudkan mekanisme yang dapat menunjukkan pulangan yang bakal mereka dapati berdasarkan kuantiti dan kualiti tangkapan ikan mereka. Misalnya ialah dengan mempelbagaikan sistem pemasaran ikan mengikut suatu tujuan tertentu seperti pasaran ikan segar, eksport, ditinkan atau lain-lain jenis ikan yang diproses.
(iii) Mempermudahkan urusan pengeluaran lesen kepada semua nelayan bagi mengelakkan wujudnya nelayan tidak sah sehingga mengakibatkan mereka sukar atau tidak mendapat apa-apa bantuan yang ditawarkan dan terpaksa pula menanggung sendiri apa-apa risiko kemalangan jika berlaku.
Sebagai contoh, daripada 10,730 nelayan di Terengganu, hanya 5,000 orang sahaja yang dapat menikmati peruntukan RM12 juta yang diberikan secara RM200 sebulan. Baki sebanyak 5,730 orang lagi tidak terbela. Bantuan bakul sebanyak RM100 seorang juga sehingga kini masih belum diberikan kepada nelayan.
5. Saya mengharapkan agar nasib para nelayan ini dapat segera dibela dengan bersungguh-sungguh oleh pihak-pihak yang berkaitan.
[Kenyataan Media Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali, Ahli Parlimen Kuala Nerus 17 Februari 2015 / 27 Rabiulakhir 1436H]