Isnin, 11 Mei 2015

ISU TABUNG HAJI BAKAL MELETUP DI BESUT

Besut telah dipilih oleh Badan Penggerak Demokrasi dan Mobilisasi Rakyat Terengganu (DEMI) sebagai daerah sulung bagi penganjuran Jelajah GST. Ianya akan berlangsung pada 16 Mei ini.

Program tersebut akan bermula seawal 9 pagi dengan acara Bengkel Gerakan Kepenggunaan. Ianya akan dikelolakan oleh Haji Azmi Abdul Hamid, Timbalan Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) bertempat di Dewan Haji Salleh, Kg Alor Lintah.

Bengkel ini bertujuan melatih aktivis masyarakat supaya mampu memberi pendidikan kepada rakyat bawahan tentang kuasa dan hak mereka sebagai pengguna. Isu kepenggunaan amat sinonim dengan masalah GST kerana cukai tersebut melibatkan hampir kesemua barangan kegunaan harian.






Pada jam 2 petang pula, DEMI menganjurkan Wacana GST bersama beberapa panelis terkemuka di tempat yang sama. Antara panelis tersebut adalah Pensyarah Unisel yang juga pakar ekonomi, Prof Madya Dr Fuad Salleh. Turut bersama selain Hj Azmi sendiri ialah Dr Nazri Mansor, AJK Dewan Ulama PAS Pusat serta Hj Amzad Hashim, Presiden GANTI.

Program berbentuk dua hala ini lebih fokus mengenai GST dan perkara yang berkaitan dengannya. Dijangkakan panelis akan turut mengupas berkenaan isu Tabung Haji yang sedang hangat diperkatakan sekarang.

Di sebelah petang, akan diadakan pula FlashMob bantahan GST serta Speaker Corner di sekitar Bandar Jertih. Perarakan ARC, pidato pimpinan PAS dan edaran risalah turut menghiasi slot yang bermula jam 5 petang itu. Ia bertujuan memupuk kesedaran masyarakat keseluruhan supaya peka tentang masalah negara yang berlaku hari ini. Sekali lagi isu Tabung Haji bakal menjadi topik panas dalam acara pada petang tersebut.

Acara kemuncak bagi jelajah GST Besut ini adalah Ceramah Umum di sebelah malamnya. Ustaz Nazri Ahmad, bekas calon PAS dalam PRK Rompin baru-baru ini adalah antara penceramah yang diundang. Turut bersama ialah beberapa kepimpinan PAS negeri. Ianya bakal diadakan di Kg Lubuk Kawah bermula jam 9.30 malam.

Mengikut perangkaan DEMI, siri jelajah ini akan diteruskan di setiap daerah-daerah dalam negeri Terengganu. Berbagai lagi aktiviti-aktiviti menarik akan diadakan untuk penganjuran yang seterusnya.

Menurut Pengerusi DEMI Haji Yahaya Ali, Respon yang diterima dari seluruh rakyat Malaysia berhubung isu bantahan GST amat memberansangkan.

"Kita boleh melihat sambutan program jelajah Hindar di setiap anjuran Dewan Ulama PAS Pusat dan juga Bantah GST pada 1 Mei di ibukota baru-baru ini amat tinggi. Perkara tersebut dilihat sebagai mewakili bantahan seluruh rakyat Malaysia terhadap dasar percukaian yang diamalkan kerajaan sekarang." katanya.

Orang ramai terutama penduduk Besut dan sekitarnya dijemput untuk menyertai kesemua acara yang dianjurkan.

Untuk lebih berita, artikel dan gambar berkenaan perjuangan NGO-NGO Terengganu, layari:
www.demiterengganu.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan