Jumaat, 6 Mac 2015

5 NGO TERENGGANU ADAKAN LAWATAN KERJA KE PULAU PINANG



Georgetown - Sebanyak lima buah NGO dari Terengganu telah mengadakan lawatan kerja ke Pulau Pinang semalam. Rombongan tersebut diketuai oleh Haji Yahaya Ali, Pengerusi Badan Penggerak Demokrasi dan Mobilisasi Terengganu (DEMI).

Antara NGO yang terlibat selain DEMI ialah Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI), Persatuan Prihatin Asnaf Negeri Terengganu (BANTU), Persatuan Pengguna Dungun (PADU) dan Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA). Kesemua mereka tiba awal pagi semalam.

Rombongan disambut oleh wakil daripada NGO Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Majlis Perunding Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM),  Pertubuhan Teras Pengupayaan Melayu (TERAS), Sahabat Alam Malaysia dan Citizens International. Pertemuan yang bermula kira-kira jam 9 pagi itu telah berlangsung hampir 5 jam.


Antara yang dibincangkan ialah isu-isu berkaitan kepenggunaan dan pembelaan nasib rakyat. Selain dari itu, wakil-wakil NGO Terengganu turut melawat tapak penanaman organik kendalian Sahabat Alam dan juga pejabat aduan CAP.

Hasil dari pertemuan itu, kerjasama melibatkan jaringan NGO-NGO telah dicapai dalam beberapa perkara. Menurut Haji Yahaya Ali, kunjungan ini menjadi titik permulaan kepada NGO-NGO yang bernaung di bawah DEMI untuk terus merangka aktiviti-aktiviti bersama dalam meningkatkan kesedaran rakyat terhadap isu-isu semasa.

"NGO sebagai sebuah badan yang menjadi wakil kepada komuniti akan membawa suara masyarakat kepada pihak atasan dalam menyelesaikan masalah mereka. NGO juga berperanan mendidik masyarakat menyedari hak dan kuasa mereka di dalam negara ini."

"Justeru itu, jaringan kerjasama antara NGO-NGO seluruh Malaysia amat perlu bagi menyatukan tuntutan dan memberikan  lebih kesan kepada peranan NGO itu sendiri. Kita akan anjurkan lagi kunjungan seperti ini yang melibatkan lebih dari NGO yang ada hari ini." Kata beliau.

Ketua Bahagian Pendidikan CAP, Haji Azmi Abdul Hamid pula berkata pihak mereka bersetuju untuk mengadakan kunjungan balas ke Terengganu bagi membincangkan secara terperinci bentuk-bentuk kerjasama dan aktiviti yang bakal dianjur. Kunjungan dijadualkan pada pertengahan April ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan