Isnin, 16 Mac 2015

IJTIMA' ALAMI MENGANGKAT MARTABAT TERENGGANU KE PERSADA ANTARABANGSA

KENYATAAN MEDIA

Tinggal beberapa hari lagi, Negeri Terengganu bakal menjadi sebuah pusat tumpuan bertaraf antarabangsa, apabila Sekretariat Pejabat Timbalan Presiden Kesatuan Ulama Sedunia menganjurkan Ijtima Antarabangsa Perpaduan Ummah di Masjid Rusila. Ijtima ini adalah yang ketiga dianjurkan di tempat yang sama selepas kali pertama dan kedua diadakan pada tahun 1988 dan 1993.

Kita sebagai rakyat Terengganu khususnya dan rakyat Malaysia umumnya harus bersyukur kerana telah direstui oleh Kesatuan Ulamak Islam Sedunia (KUIS) kelolaan Dr Yusof al-Qardhawy untuk tampil sebagai tuan rumah. Perlantikan Tuan Guru Haji Abdul Haji Awang sebagai Timbalan kepada al-Qardhawy pula menguatkan lagi tanda kepercayaan kepada kita rakyat Malaysia untuk menjadi agen penyatu umat Islam sedunia. Pastinya Ijtima kali ini bakal mempamerkan kelainan yang lebih hebat daripada dua siri sebelum ini.

Ijtima ini amat besarnya maknanya buat masa depan dunia Islam. Sebagai sebahagian dari tuan rumah, para pencinta Islam seharusnya melihat program ini sebagai usaha mengumpulkan kekuatan umat Islam dari seluruh dunia melalui tokoh-tokoh gerakan Islam di tempat masing-masing. Diharapkan ianya bakal menampung kelemahan Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) yang dilihat tidak berfungsi untuk membela isu-isu melibatkan kepentingan umat Islam.

Perbincangan kali ini akan berputar mengenai isu-isu penindasan dan serangan yang dilakukan oleh Israel terhadap umat Islam Palestin. Dengan tema 'Waa Qudsa', isu yang berkait dengan masadepan Baitulmaqdis akan dibincangkan dalam sesi persidangan tertutup di Terengganu Equestrian Resort (TER).

Ceramah umum oleh tokoh-tokoh ulamak dan aktivis gerakan Islam dari pelbagai negara di pentas Rusila pula bakal menyuntik semangat juang dikalangan pencinta Islam dari seluruh negara untuk terus memburu janji Allah. Sudah tentu audiens bakal disajikan dengan berbagai kisah penat lelah serta pengalaman berjuang dari serata ceruk dunia. Ijtima' ini boleh diibaratkan sebagai medan cas semangat sesama pejuang Islam seluruh dunia selaras dengan Firman Allah SWT mengenai sifat orang beriman sebenar:

Demi Masa, Sesungguhnya manusia dalam kerugian. Melainkan orang-orang yang
1. Beriman,
2. Beramal soleh,
3. Saling berpesan tentang kebenaran, dan
4. Saling berpesan tentang kesabaran.
[Surah Al-Asr ayat 1-4]


Bersempena dengan itu, jawatankuasa Ijtima' turut menjemput pelbagai pihak dalam negara yang melibatkan pihak berkuasa agama (samada kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri), parti-parti politik, tokoh-tokoh agama dan juga pelbagai NGO Islam. Jemputan ini diharap akan menjadi platform berkesan bagi melaksanakan resolusi-resolusi yang dicapai pada akhir Ijtima' nanti.

Pihak DEMI merakamkan setinggi penghargaan kepada jawatankuasa penganjur atas jemputan mewakili badan bukan kerajaan ke Ijtima' ini. Oleh itu kami mengambil kesempatan yang ada untuk turut mengalu-alukan kehadiran delegasi dari dalam dan luar negara serta mengharapkan ianya akan menjadi himpunan yang signifikan. Juga diharapkan resolusi yang bakal diluluskan nanti akan benar-benar dilaksanakan dalam bentuk pelan tindakan yang strategik demi kepentingan masa depan umat Islam.

Akhinya, DEMI ingin menyeru supaya semua pihak memainkan peranan bagi memperluaskan publisiti Ijtima' ini samada dalam bentuk jemputan lisan, menaikkan banner, bunting dan sebagainya supaya dapat hadir beramai-ramai menunjukkan solidariti muslim. Peluang menjadi tuan rumah bagi program bertaraf antarabangsa sebegini hanya akan kembali selepas beberada dekad akan datang. Semoga partisipasi kecil kita turut dikira sebagai amal jariah yang menyumbang kepada kejayaan Islam yang telah dijanjikan Allah SWT.

Haji Yahaya Ali
Pengerusi
Badan Penggerak Demokrasi dan Mobilisasi Rakyat
Terengganu
DEMI

(Beliau juga merupakan Timbalan Pengarah Jawatankuasa Pelaksana

Himpunan Antarabangsa Perpaduan Ummah
Kali Ke-3)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan