Ahad, 8 Mac 2015

ARC GATHERING TARIK MINAT PENUNGGANG MOTOSIKAL



Program ARC Gathering yang diadakan semenjak hari khamis lepas telah berjaya menarik lebih dari 450 peminat motosikal seluruh Terengganu untuk berkampung di Besut termasuk penunggang motor berkuasa tinggi. Program anjuran kelab menunggang alternatif (ARC) ini telah diadakan selama dua hari di Kem Damai Tanjong Demong, Keluang.

Perasmiannya telah disempurnakan oleh Haji Muhyiddin Rashid, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu (DPPNT). Dalam masa yang sama beliau turut melancarkan kelab bikers ARC Terengganu mewakili Presiden PAS, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.



Program ini telah memperkenalkan beberapa aktiviti menarik sepanjang dua hari satu malam itu. Antaranya seperti sukaneka, persembahan pentas, konvoi ke pusat pengajian agama dan tazkirah agama khusus buat penunggang motosikal. Peserta turut disajikan dengan peraduan cabutan bertuah dengan sebuah motosikal NAZA 125 sebagai hadiah utama. Di akhir program, ARC telah melancarkan unit ARC Niaga yang bakal berperanan sebagai penjana dana bagi melicinkan lagi aktiviti-aktiviti kelab.

Menurut Pengarah Jabatan Seni, Budaya dan Sukan (DACS) Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT), En. Zulkarami Salleh, melihat kepada sambutan yang amat menggalakkan, program sebegini bakal menjadi program tahunan ARC peringkat negeri. Penganjurannya bertujuan mengumpul para ahli untuk mengeratkan hubungan ukhuwwah di antara mereka. Selain dari itu, ia juga bertujuan memupuk kesedaran di kalangan peminat motosikal tentang kepentingan mereka berbakti kepada agama mengikut ruang kebolehan yang mereka ada.

Para peserta terdiri daripada ahli ARC berdaftar seluruh Negeri Terengganu. Turut hadir mengisi slot-slot program adalah Ustaz Kamaruzzaman Abdullah, Ketua Pemuda PAS Negeri Terengganu, Ustaz Mohd Samsuri Hussin, Timbalan Presiden ARC Malaysia dan Ustaz Wan Azhar Wan Yaakob, Yang DiPertua PAS Kawasan Besut.

Walaupun program berlangsung dalam suasana yang santai, rata-rata peserta menyatakan amat berpuas hati dengan penganjuran program seperti ini. Mereka berhasrat agar ianya lebih kerap dianjurkan di masa-masa yang akan datang.





Tiada ulasan:

Catat Ulasan