Khamis, 12 Mac 2015

DUNGUN TUBUH PERSATUAN PENGGUNA

DEMI mengorak satu lagi langkah kehadapan dengan tertubuhnya Persatuan Pengguna Dungun (PADU). Ini menunjukkan keprihatinan NGO terbabit dalam membela nasib rakyat. PADU bakal menjadi sebuah NGO yang vokal dan agresif mengetengahkan isu-isu kepenggunaan kepada masyarakat awam dan pihak berwajib.

NGO tersebut telah sah berdaftar pada Februari 2015 dengan Badan Pendaftar Pertubuhan (ROS). Objektifnya adalah untuk menyedarkan masyarakat khususnya para pengguna tentang hak dan tanggungjawab mereka dalam membentuk kehidupan yang lebih seimbang dan sejahtera di Terengganu.

Secara umumnya NGO adalah sebuah badan yang bebas dari kawalan kerajaan. Justeru keberadaannya amatlah penting sebagai ejen periksa dan imbang kepada dasar-dasar dan polisi kerajaan. NGO sebagai suara pendesak boleh membuat tuntutan untuk membatalkan apa-apa peraturan yang dilaksanakan kerajaan. Ia juga boleh mendesak kerajaan menetapkan beberapa peraturan baru yang sejajar dengan keperluan masyarakat.

Untuk tujuan tersebut, PADU memulakan gerakerja dengan mengunjungi Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) untuk menimba pengalaman dan tunjuk ajar disamping merangka beberapa program bersama selepas ini. Berbagai aktiviti telah dirangka untuk meningkatkan kesedaran di kalangan pengguna Terengganu.

CAP adalah sebuah NGO pengguna yang amat terkenal di Malaysia. Ianya ditubuhkan sejak 1971. Berbagai tuntutan dan aktiviti telah dikemukakan dan keberadaannya sebagai NGO pendesak amat berkesan. Walaupun berdaftar sebagai sebuah NGO negeri, tetapi peranannya melibatkan seluruh Malaysia malahan turut bekerjasama dengan badan-badan pengguna di negara-negara lain.

Menurut Presidennya Haji Abdul Hamid Ismail, melihat kepada tahap kesedaran masyarakat khususnya dalam hal kepenggunaan dan hak mereka sebagai rakyat yang masih nipis, PADU bercita-cita untuk menjadi NGO yang mewakili seluruh rakyat Terengganu walaupun berdaftar atas nama Dungun.

"Walaupun Terengganu antara negeri yang paling banyak persatuan pengguna, peranannya untuk membela nasib rakyat masih kurang sedangkan masalah yang timbul seperti kenaikan kos sara hidup, kenaikan cukai pintu, isu pembangunan dan kualiti produk yang ditawarkan amat meruncing."

"Terengganu menjadi antara negeri pengguna terbesar kerana kebanyakan produk tidak dihasilkan di negeri ini. Sekiranya lapangan ini tidak diambil berat, pengguna Terengganu boleh dimanipulasikan sesuka hati oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab." Jelas beliau.

Untuk maklumat lanjut dan berita-berita terkini mengenai aktiviti PADU, layari laman berikut: http://padu2u.blogspot.com/

Tiada ulasan:

Catat Ulasan