Isnin, 25 Mei 2015

RESOLUSI KONVENSYEN PAS TERENGGANU: DEMI UCAP TAHNIAH




Pengerusi DEMI TERENGGANU, Haji Yahaya Ali merakamkan setinggi tahniah buat semua yang terlibat menjayakan Konvensyen PAS Negeri Terengganu di Markaz Tarbiyah PAS, Kubang Lembek semalam.

Penganjuran tersebut menjadi bukti kekuatan dan kesungguhan BPPNT dalam misi menawan Terengganu. Partisipasi daripada seluruh jentera PAS bermula daripada setiap kawasan hingga ke cawangan adalah amat jitu. Sekiranya komitmen ini berterusan, harapan untuk PAS sekali lagi memerintah Terengganu amat cerah.

Konvensyen juga telah mengisytiharkan beberapa resolusi sebagai panduan gerakerja di setiap peringkat. Butirannya adalah seperti berikut:


Konvensyen PAS Terengganu 2015 telah mendengar pembentangan ucaptama oleh YB Pesuruhjaya dan ulasan serta perbahasan pada 23 Mei 2015, dan bersetuju memperakui bahawa: 

1. 'PAS HARAPAN SEMUA' menjadi tema umum gerak kerja PAS Negeri Terengganu keseluruhannya sekurang-kurangnya bagi sesi 2015-2017.

2. 'ROAD TO WDI' atau 'JALAN MENUJU WISMA DARUL IMAN' menjadi moto sebagai peringatan berterusan agar matlamat menguasai pentadbiran kerajaan negeri Terengganu menjadi pemangkin semangat gerak kerja PAS mempersiapkan diri menghadapi Pilihanraya Umum ke 14 (PRU 14).

Dan Konvensyen juga meletakkan penegasan yang tidak ada kesamarannya bahawa bagi memenuhi tema tersebut dan mencapai maksud moto di atas, maka prasyarat yang mestilah dimiliki oleh semua ahli PAS negeri Terengganu adalah:

1. Mempunyai fikrah serta aqidah perjuangan yangh bertunjangkan al-Quran dan Hadith seperti yang dihuraikan oleh para sahabat dan ulama muktabar.

2. Menolak dan membasmikan sebarang bentuk fikrah asing yang cuba mencalarkan kemurniaan aqidah perjuangan PAS, seperti Liberal-Islamisme, muslim-demokratisme dan apa-apa bentuk cedukan dari sumber selain al-Quran dan Hadith yang soheh lebih-lebih lagi daripada budaya barat songsang.

3. Bahawa PAS adalah sebuah gerakan Islam syumul yang bersifat massa yang mencakupi di dalamnya semua aspek kehidupan manusia berpaksikan kepada aspek dakwah dan tarbiyah sebagai asas kecemerlanmgan politik, sosial, ekonomi dan semua aspek hidup bermasyarakat dan bernegara.

4. Mendokong dan mempertahanakan sepenuh-penuhnya akan prinsip kepimpinan Ulama` di dalam PAS.

5. Bahawa hanya Islam jawapan sebenar kepada permasalahan yang dihadapi manusia dalam kesemua aspek kehidupan mereka dalam kesemua peringkat kehidupan bermasyarakat daripada individu hingga dunia.
Dengan itu. Konvensyen PAS Terengganu juga mengambil komitmen untuk melaksanakan tindakan-tindakan berikut:

1. Mengurus perlaksanaan tarbiyah dengan modul tertentu terutamanya untuk ahli baru dan DHPP sebagai syarat kepimpinan PAS di masa hadapan.

2. Menambah ahli dan cawangan sebagai kekuatan asas PAS bagi memperkukuhkan aspek dakwah dan tarbiyah, seterusnya politik, sosial, ekonomi dan lainnya.

3. Mengambil pendekatan inklusif dengan melakukan anjakan mentaliti bahawa semua yang bukan UMNO tegar adalah pasaran baru berpotensi 'lautan biru' bagi PAS.

4. Mengambil pendekatan bergerak berasaskan penyelesaian dalam aktiviti-aktiviti parti yang melibatkan mengenal pasti permasalahan dan juga berusaha mencari penyelesaian di pelbagai peringkat daripada keluarga, komuniti sehingga negeri.

5. Menubuhkan cawangan anak di setiap DUN yang mempunyai tanah rancangan Felda.

6. Meningkatkan usaha mendekati anak-anak Terengganu di luar Terengganu bagi memberi sokongan kepada perjuangan Islam.

7. Mengambil pendekatan penyelesaian berasaskan komuniti, bukan lagi berasaskan parti dalam memberi penyelesaian yang lebih berkesan mengikut kemampuan kita secara terselaras merentasi pelbagai dewwan dan lajnah.

8. Menubuhkan badan khairat kematian di setiap DUN.

9. Mendapatkan dana sekurang-kurangnya RM30,000 bagi setiap DUN di bawah skim 'MATCHING GRANT R2R' oleh BPPNT.

10. Mempersiapkan minda, psikologi pimpinan dan ahli, menyediakan bahan bagi manifesto dan memperkasakan jentera untuk menghadapi PRU-14. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan