Selasa, 19 Mei 2015

JANGAN ABAIKAN AMALAN TAZKIYATUNNAFSI


Dalam kitab Aafaat 'alat Toriq(Wabak Sepanjang Jalan)  karangan Dr Sayyid Muhammad Nuh,  dibicarakan Wabak ke 14 iaitu Melalaikan Amalan Di Siang Dan Malam Hari. Takrif yang diberikan, "...mensia-siakan tugas-tugas ibadah yang harus dijaga oleh seorang muslim dslam sehari semalam hingga habis waktunya dan akhirnya hilang. Contohnya,  tidur pada waktu solat fardhu,  mengabaikan solat-solat nafilah(sunat) ,meninggalkan qiamullail,  solat witir,  solat dhuha,  melalaikan wirid al Qur'an,  zikir,  doa,  muhasabah diri,  taubat,  istighfar,  terlambat datang ke masjid,  tidak menghadiri jamaah tanpa uzur yang dibenarkan,  tidak melakukan amal-amal kebajikan lainnya atau mengabaikan adab-adab ijtima'iyah seperti menziarahi orang sakit,  takziah,  bertanyakan hal yang terjadi pada orang lain dan simpati kepada mereka dalam suka dan duka, serta berbagai bentuk ketaatan dan ibadah lainnya."

Orang yang mengabaikan amalan-amalan yang telah disebutkan di atas adalah lemah rohaninya, lemah imannya. Pejuang-pejuang agama sangat berhajat kepada makanan rohani kerana itu bezanya kita dengan musuh Allah. Kekuatan sebenar kita datangnya dari dalam diri. Jiwa yang kuat adalah hasil daripada amal ibadah yang berkualiti dan berterusan. Kita patut bersyukur kepada Allah yang mengurniakan sihat tubuh badan. Maka seharusnya kita tunjuk rasa syukur itu dengan melaksanakan sebanyak mungkin amal ibadah. Amal ibadah yang melimpah ruah merupakan kurnia dari Allah. Antara tanda Allah terima amal kita ialah Dia tambahkan dengan amalan yang seumpama itu juga. Ingatlah Allah berfirman,  لإن شكرتم لأزيدنكم و لإن كفرتم إن عذابي لشديد 'Jika kamu bersyukur nescaya Aku tambahkan untuk kamu,  dan jika kamu kufur, sesungguhnya azabKu Maha pedih.'

Oleh kerana kita merupakan muslim yang terpilih di kalangan muslim yang ramai atas mukabumi ini untuk memperjuangkan Islam melalui Jamaah Islam, maka sudah tentu amalan kita pun mesti jauh berbeza dengan yang tidak terpilih.

TERUS ISTIQAMAH

Al faqir ilallah
Ibnu Abbas an Najjar
Unit Tarbiyyah GANTI
20 Mei 2015
1 Syaaban 1436

Tiada ulasan:

Catat Ulasan