Isnin, 6 Julai 2015

NATIJAH BILA KERAJAAN 'BERNIAGA' DENGAN RAKYAT

Semalam saya lalu di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) yang menjadi kemudahan laluan terpantas setakat ini.

Dalam benak fikiran mula terbayang, tidak lama lagi LPT2 ini juga akan dikenakan bayaran tol, macam yang selalu saya alami bila ke Lembah Klang atau menyusur negeri-negeri Pantai Barat. Rasa macam 'tidak sedap' lagi hendak memandu mengenang bila kena bayar tol nanti.

Sudahlah naik lebuh raya macam naik bot masa laut bergelora kerana struktur jalannya bergelombang. Tiap-tiap malam pula lembu-lembu 'berjoging' ke hulu hilir. R&R tidak siap sepenuhnya untuk kemudahan pengguna dan pam minyak pun tidak ada lagi.

Segala-galanya belum lengkap, tapi sudah ura-ura kedengaran tol akan dikutip tidak lama lagi. Tidak sabar-sabar sungguh hendak kutip tol daripada rakyat; barangkali wang negara sudah banyak dipindah ke akaun-akaun peribadi. 

Lepas ini mesti ada orang komen; "Kalau tidak suka tidak payah naik lebuh raya, lebih baik jalan kaki saja." Ataupun "Tak apa, kami ada duit BR1M yang Umno-BN bagi, kami boleh bayar. Peduli apa!"

Rakyat Pantai Timur (khususnya Terengganu dan Kelantan) sudah sekian lama menunggu kemudahan lebuh raya seperti ini. Selepas 58 tahun Merdeka baru dapat, padahal daripada negeri-negeri inilah antara sumber yang paling banyak dikaut oleh Kerajaan Pusat. Itupun dirampas dan dinafikan hak royalti. Kelantan lagi teruk, dari awal lagi tidak dapat.

Ini di Semenanjung Malaysia, kalau di Sabah dan Sarawak lagi dahsyat. Bukan setakat lebuh raya, elektrik dan air bersih pun masih banyak kampung-kampung yang tidak ada kemudahan-kemudahan asas ini. Masih banyak suasana penempatan, binaan rumah dan kehidupan rakyat di sana yang seolah-olah berada di zaman sebelum merdeka.

Dapat lebuh raya pun diswastakan, rakyat yang kena tanggung. Inilah dasar kerajaan yang berniaga dengan rakyat. Hendak pakai kenderaan kena cukai, naik atas kenderaan pun kena cukai, tambah satu lagi berjalan atas lebuh raya pun kena bayar tol. Pemurah betul rakyat Malaysia, sedia membayar segalanya.

Menyediakan lebuh raya adalah tanggungjawab kerajaan untuk kemudahan rakyat, tidak payahlah diswastakan untuk dibebankan rakyat yang sudah sedia terbeban dengan berbagai-bagai bebanan. 

Adakah betul polisi sebegini? Ya.....rakyat selalu didendangkan Malaysia menuju negara maju; oleh itu kerajaan kena buat bangunan tinggi, jalan raya besar dan selesa, hospital canggih dan lain-lain lagi. Walhal mengikut pengamatan saya; ianya tidak betul.

Kefahaman negara maju sebenar ialah negara yang memudahkan rakyat, bukan negara menyusahkan rakyat. Saya pernah melawat United Kingdom yang merupakan antara contoh negara maju. Tidak banyak bangunan-bangunan tinggi macam Malaysia. Lebuh rayanya selesa dan tidak dikenakan tol, sistem jalan rayanya memudahkan rakyat; masuk M3 keluar Junction 10 kemudian masuk A11, ikut nama jalan dan nombor rumah yang hendak dituju.

Sesiapa yang pernah ke UK kalau beli peta jalannya di kedai dan hendak pergi ke mana-mana insyaAllah sampai ke destinasinya. Asas yang saya hendak beritahu ialah ianya memudahkan rakyat. 

Hanya tinggal lagi beberapa hari umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Ramai yang akan membeli keperluan hari raya dan pulang ke kampung, kecuali yang ikut nasihat 'professor' dalam tv. Mesti dalam kepala fikir macam-macam hendak buat; ziarah sanak saudara, jumpa kawan-kawan lama dan bersuka ria. Tetapi mengenang banyak sangat cukai dan tol yang mesti dikeluarkan rasa seperti segala hasrat tidak akan tercapai, rasa terbantut.

Kerana bila difikir-fikir semula, petrol pun sudah naik baru-baru ni. Pihak konsesi tol berkali telah membayangkan di media tol akan naik, walaupun Menteri rutinnya tetap menafikan. Pengusaha bas pula mendesak-desak kerajaan menaikkan tambang bas. Harga barangan, naik, naik dan naik biarpun Menteri 'rajin' turun memantau dengan media.

Sudahnya mungkin akan ada seruan baru untuk rakyat Malaysia. Berhari rayalah di rumah sahaja bersama keluarga melayani siaran televisyen yang akan sajikan aneka hiburan. Khuatir nanti kalau keluar, kereta tersadai tepi lebuh raya gara-gara kehabisan minyak dan poket pula haus.

Muhammad Khalil Abdul Hadi
Timbalan Ketua DPPM
20 Ramadhan 1436/07 Julai 2015

Tiada ulasan:

Catat Ulasan