Rabu, 10 Jun 2015

ISU BANGGOL DONAS: RUMAH PENDUDUK DI ROBOH SEMPENA KEDATANGAN RAMADHAN?

KENYATAAN MEDIA



PAS Kuala Terengganu mengambil berat berita operasi meroboh rumah penduduk yang terlibat dalam pengambilan tanah untuk tujuan pembinaan jalan Jeram - Banggol Tuan Muda yang kemungkinan besar berlaku pagi hari ini 23 Syaaban 1436H, cuma seminggu lagi menyambut bulan Ramadhan yg barokah.

Ini kerana kes ini masih belum dimuktamadkan penyelesaian undang undangnya dan sedang dalam proses mahkamah.

Penduduk yang terlibat masih belum menerima sebarang pampasan atas pengambilan tanah mereka.
Berapa nilainya belum diputuskan mahkamah. Mahkamah telah memberi tarikh bicara bagi pampasan ini pada 25hb Jun 2015.

Jika baru mahu dibicarakan maka jelas sekali isu pampasan belum diselesaikan.

Tanpa pampasan, penduduk yg terlibat tidak punya sumber kewangan untuk mengatur rumah yg baru sebagai ganti.

Saya pernah berhubung langsung dengan Dato' Seri Ahmad Razif bagi mewakili penduduk meminta supaya isu ini diselesaikan secara berhemah kerana penduduk telahpun menyatakan pendirian bukan berhasrat menghalang projek berkenaan.



Tetapi malang sekali hasrat untuk berbincang tidak kesampaian kerana tiba tiba Menteri Besar memaklumkan kepada saya Penasihat Undang Undang mahu berlawan di mahkamah.
Ini amat menjengkelkan kerana sesudah dirintis jalan berhemah yg boleh masing masing berlapang dada, tiba tiba Menteri Besar boleh tunduk kepada pegawai bawahannya yg hanya memikirkan aspek undang undang sahaja.

Sebagai Menteri Besar beliau berkuasa. Luangkan masa lima minit untuk turun berjumpa pendudukpun sudah memadai jika betul beliau berhati budiman.

PAS Kuala Terengganu menegaskan Isu Banggol Donas perlu diselesaikan dengan cara berhemah.
Merobohkan rumah penduduk yg masih belum menerima pampasan atas pengambilan tanahnya adalah zalim.

Tindakan zalim ini beserta senarai panjang kesalahan, penyelewengan, pembaziran dan salah guna wang rakyat dalam jumlah yg sangat besar, pengkhianatan terhadap negeri dalam isu royalti dan telaga minyak milik Terengganu yg semakin jelas dengan pendedahan terbuka oleh mantan Menteri Besar DS Ahmad Said ADUN Kijal dan Tun Mahathir Mantan Perdana Menteri, GST, 1MDB dan Tabung Haji , mewajarkan agar segala usaha dibuat oleh rakyat Terengganu untuk memastikan UMNO dijatuhkan dari terus memimpin Terengganu.

HJ AHMAD AMZAD HASHIM
Ketua Penerangan PAS Kuala Terengganu
Presiden GANTI

10hb Jun 2015
23 Syaaban 1436H

Tiada ulasan:

Catat Ulasan