Selasa, 21 April 2015

DIALOG TERBUKA MERUNGKAI ISU KAMPUNG BANGGOL DONAS: MENCARI TITIK PENYELESAIAN

KENYATAAN MEDIA GANTI

Susulan dari kesanggupan pihak Jawatankuasa Bertindak Kampung Banggol Donas (JBBD) yang di ketuai oleh Tuan Hj. Salleh Embong untuk menjawab semua kekeliruan dan fitnah yang dilontarkan kepada perjuangan JBBD, GANTI telah mengambil inisiatif untuk cuba mempertemukan Tn Hj Salleh dengan YAB Dato' Menteri Besar dalam satu dialog terbuka yg diharap memberi ruang kpd JBBD dan pihak Kerajaan Negeri Terengganu mencari jalan penyelesaian kpd isu yg terlalu lama berlarutan.

Hari ini saya sendiri telah ke Pejabat Menteri Besar untuk menyerahkan surat jemputan bagi menjayakan dialog berkenaan.

Sebelum itu saya dikejutkan dengan berita tindakan provokatif yg kebudak budakan yg menggesa penduduk Kampung Banggol Donas menandatangani kanvas besar yg bertulis gesaan untuk kerajaan bertindak terhadap pemilik pemilik tanah. Ini betul betul berhampiran rumah mangsa terlibat. Malah ada berita MB pun turut hadir tandatangan.

Sayang sekali mangsa sudah berkali2 berharap dapat berjumpa MB untuk selesaikan masalah, namun begitu walau MB sudah sampai begitu hampir dgn rumah mangsa, YAB Dato memilih untuk hadir tandatangan kanvas berkenaan sahaja dan bukannya menziarah mangsa dan bertanya khabar.

GANTI berharap YAB Dato Razif dapat memberikan maklumbalas terhadap jemputan berkenaan.

Hj Ahmad Amzad Hashim
Presiden GANTI
21hb April 2015

Kandungan Surat.

Kepada

YAB DATO’ HJ. AHMAD RAZIF BIN ABDUL RAHMAN
Menteri Besar Terengganu
Wisma Darul Iman
Kuala Terengganu

21hb. April 2015

Assalamua’laikum Wrt. Wb.

Yang Amat Berhormat Dato’,

Per : Jemputan Dialog Terbuka Merungkai Isu Kampung Banggol Donas: Mencari Titik Penyelesaian

Merujuk kepada perkara atas, sukacita dimaklumkan Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI) adalah sebuah organisasi tidak berasaskan keuntungan yang bergerak cergas di negeri Terengganu membantu masyarakat membuat perubahan dalam permasalahan kehidupan masyarakat khususnya bersabit isu-isu rakyat.

2.Berhubung dengan isu di atas GANTI berpandangan isu ini sudah berlarutan terlalu lama sehingga merugikan rakyat, kerajaan dan juga penduduk kampung yang terlibat dalam pertikaian. Berbagai maklumat yang tidak benar serta mengelirukan orang ramai tersebar yang perlukan penjelasan.

3.    GANTI telah mengambil inisiatif berbincang dengan Jawatankuasa Bertindak Isu Banggol Donas (JBBD) yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Salleh bin Embong yang kami dapati sebenarnya mahu menyelesaikan dan memberi penjelasan berhubung isu ini serta merungkai segala permasalahan. Kami dapati JBBD tidak berpendirian menentang projek pembangunan yang mendatangkan manfaat kepada rakyat.

4.  Sehubungan dengan itu GANTI dengan persetujuan Tuan Haji Salleh Embong yang mewakili JBBD dengan sepenuh harapan menjemput YAB Dato’ untuk hadir atau menghantar wakil bagi sebuah program  “Dialog Terbuka Merungkai Isu Kampung Banggol Donas: Mencari Titik Penyelesaian”.

5.   Tarikh serta tempat bagi Dialog ini kami pohon YAB Dato’ yang tentukan mengikut kesesuaian masa YAB dengan maklum balas YAB Dato’ semoga dapat kami terima dalam tempoh 7 hari dari tarikh surat ini.

6.    Sekali lagi kami ingin menyatakan harapan kami agar Isu Banggol Donas ini dapat diselesaikan dengan cara yang merungkai segala kekilanan di semua pihak. Sementelah lagi isu ini melibatkan masyarakat kampung, tanah pemilikan melayu, sesama umat Islam dan bangsa melayu yang mana YAB Dato’ selaku Menteri Besar  Terengganu mempunyai kuasa untuk menamatkan isu ini secara baik dan harmoni.

7. Untuk sebarang pertanyaan, pihak YAB Dato’ bolehlah berhubung terus dengan saya, Haji Ahmad Amzad bin Hashim ( Presiden GANTI) di nombor telefon 019-985 4013.

Kerjasama dan jasa baik dari pihak YAB Dato’ saya dahului dengan ucapan ribuan terima kasih. Sekian, dengan hormatnya dan terima kasih.

Wassalamua’laikum Wrt. Wb.

Yang benar

Haji Ahmad Amzad Hashim
Presiden GANTI

Salinan:
1)Jawatankuasa Bertindak Banggol Donas (u.p: Tn. Hj. Salleh Embong)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan