Rabu, 1 April 2015

GAMIS, PADU, GANTI, ARC meriahkan flashmob bantah GST

Sempena perlaksanaan GST hari ini, flashmob serentak telah diadakan di beberapa buah tempat sekitar Terengganu. Flashmob yang diadakan bermula jam 5 petang semalam berlangsung di Dungun, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Kemaman dan Besut.

Turut terlibat menjayakan program ini adalah rakan-rakan NGO seperti Persatuan Pengguna Dungun (PADU), Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI), Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (GAMIS), dan Kelab Penunggang Alternatif (ARC). Hampir kesemuanya terlibat di tempat yang berasingan.

Sambutan yang diterima di setiap amat menggalakkan. Orang ramai terutama muda mudi memenuhi ruang perhimpunan mengangkat sepanduk dan poster di sepanjang jalan. Kenderaan yang melintasi tempat berkumpul membunyikan hon tanda sokongan.



Kaedah flashmob agak berbeza mengikut tempat. GAMIS yang menganjurkan flashmob di Pasar Malam Gong Badak tampil dengan pendekatan  mengadakan public speaking dan mengedarkan risalah kepada orang awam. ARC pula berarak menaiki motosikal di sekitar Bandar Jertih, Besut.

Difahamkan flashmob serentak ini adalah tindakan proaktif Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu (DPPNT) memobilisasi rakyat di setiap daerah untuk tampil. Menurut Ustaz Kamaruzzaman Abdullah, Ketua DPPNT, sambutan pelbagai lapisan masyarakat di hampir setiap daerah menunjukkan kemarahan rakyat terhadap polisi baru kerajaan yang jelas menindas golongan bawahan.

"Terengganu adalah negeri yang boleh dikira paling terkesan kerana perkapita rakyatnya diantara yang paling rendah di Malaysia. Penduduk yang bertaraf miskin tegar masih ramai di negeri di bawah pemerintahan kerajaan persekutuan ini." Katanya.

"Dengan royalti minyak yang masih tidak dipulangkan, tidak banyak yang kerajaan negeri boleh lakukan untuk mengawal perkara ini." Tambahnya lagi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan