Rabu, 22 April 2015

TINTA TARBAWI

إن في خلق السماوات و الأرض و اختلاف الليل و النهار لآيات لأولى الألباب. الذين يذكرون الله قياما و قعودا و على جنوبهم و يتفكرون في خلق السماوات و الأرض.

"Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, dan silih berganti malam dan siang,  ada tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang-orang yang berfikir. Iaitu mereka yang mengingati Allah ketika berdiri,  duduk dan berbaring (di atas lambung mereka) , dan mereka berfikir pada penciptaan langit dan bumi."

Ada dua tafsiran di sisi mufassirun pada ayat "mereka mengingati Allah ketika berdiri,  duduk dan berbaring".

Pertama, 'mengingati Allah dalam ayat tersebut merujuk kepada mendirikan solat,  sebagaimana sabit dalam hadis Nabi saw yang berbunyi,  "صل قائما فإن لم تستطع فقاعدا و إن لم تستطع فعلى جنب" yang maksudnya,  "Solatlah dalam keadaan berdiri,  sekiranya tidak mampu,  dalam keadaan duduk,  sekiranya tidak mampu juga hendaklah dalam keadaan berbaring."

Kedua,  ia membawa makna zahir ayat iaitu Ulul Albab ialah orang-orang yang sentiasa mengingati Allah di setiap masa. Aisyah pernah menyebut,  "كان النبي صلى الله عليه و سلم يذكر الله في كل أحيانه" yang bermaksud, "Adalah Nabi saw sentiasa mengingati Allah."

TAKRIF ZIKRULLAH

Ada dua kalimah di sini:Zikir dan Allah. Secara bahasa,  zikir asal dari ذكر يذكر ذكرا yang maknanya SEBUT atau INGAT. Maka Zikrullah bererti MENGINGATI ALLAH. Adapun secara istilahi,  zikrullah merujuk kepada lafaz-lafaz khusus yang diajar Nabi saw sebagai salah satu usaha tazkiyatunnafsi(penyucian jiwa), seterusnya mendekatkan diri dengan Allah azza wa jalla.

Lafaz khusus ini ada yang diajar Nabi saw untuk dibaca selepas solat lima waktu. Contohnya bacaan Tasbih,  Tahmid dan Takbir yang diperintahkan baca 33 kali. Ada juga dalil umum yang mengajak orang beriman agar perbanyakkan zikrullah tanpa hadkan bilangan.

KESAN ZIKRULLAH

Ada dua ayat menyentuh tentang kesan zikrullah. Pertama, ia menenangkan hati. Firman Allah, 

ألا بذكر الله تطمئن القلوب
yang maksudnya,  "Ketahuilah bahawa dengan zikrullah , ia menenangkan hati-hati."

Kedua,  menggetarkan hati-hati(kerana takutkan Allah) sebagaimana firman Allah,

إنما المؤمنون الذين أذا ذكر الله وجلت قلوبهم......
yang maksudnya,  "Hanyasanya orang-orang beriman itu ialah apabila disebut Allah,  bergetar hati-hati mereka."

HUBUNGAN SYARIAT DAN HAKIKAT ZIKRULLAH

Syariat Islam mengajar kita zikir-zikir berlafaz di lidah bertujuan melatih diri agar senantiasa mengingati Allah di setiap masa. Syarat zikrullah berlafaz diterima Allah ialah sebutan kita betul,  tidak lari maknanya. Kedua,  kita fahami makna lafaz itu. Bayangkan jika kita benar-benar jadikan amalan zikrullah setiap kali selepas solat lima waktu setiap hari,  sudah tentu kebarangkalian mengingati Allah di luar solat dan di luar sejadah lebih besar berbanding orang-orang yang tidak basahkan lidah dengan zikrullah.

PENUTUP

Kata Ibnu Atoillah as Sakandari, 

“لا تترك الذكر لعدم حضورك مع الله فيه ,لأن غفلتك عن وجود ذكره أشد من غفلتك فى وجود ذكره.فعسى أن يرفعك من ذكر مع وجود غفلة ..إلى ذكر مع وجود يقظة, و من ذكر مع وجود يقظة إلى ذكر مع وجود حضور ,و من ذكر مع وجود حضور إلى ذكر مع غيبة عما سوى المذكور ..و ما ذلك على الله بعزيز”

” Jangan kamu meninggalkan zikir, ( menyebut @ mengingat Allah ) disebabkan tidak hadir hatimu terhadap Allah dalam zikir itu, ini kerana kelalaian kamu terhadap Allah ketika tidak berzikir itu lebih berat @ bahaya daripada kelalaianmu terhadap Allah ketika kamu berzikir. Mudah-mudahan Allah S.W.T. akan mengangkat darjatmu daripada zikir yang ada kelalaian, kepada zikir yang hatimu sentiasa sedar. Dan seterusnya kepada zikir yang beserta kehadiran Allah dalam hati, dan akhirnya kepada zikir yang lenyap segala yang lain selain Allah. Dan itu semua tidaklah sukar bagi Allah. “

Berzikirlah walaupun hati masih lalai. Teruskan istiqamah berzikrullah hingga ke akhir hayat dengan cara yang diajar oleh Nabi saw, ditunjuk kepada kita oleh alim ulama' sepanjang zaman. Jauhilah cara-cara yang syaz(ganjil) kerana dibimbangi terjerumus ke lembah kesesatan.

Wallahu a'lamu bissowab.

Ibnu Abbas an Najjar
Unit Tarbiyyah GANTI
22 April 2015
3 Rejab 1436

Tiada ulasan:

Catat Ulasan