Ahad, 12 April 2015

JIHAD



Syeikh Said Hawwa menggariskan ada 5 bentuk jihad dalam kitabnya Jundullah-Jihad Pada Jalan Allah:

1.Lisan
2.Ta'lim(Pendidikan) 
3.Tangan dan diri
4.Politik
5.Harta


Jihad merupakan rukun bai'ah keempat selepas al fahmu,  al Ikhlas,  dan Al Amal. Ia adalah kemuncak amalan dalam Islam. Nabi saw bersabda, 

ألا أدلك على رأس الأمر و عموده و ذروة سنامه؟ رأس الأمر الإسلام و عموده الصلاة و ذروة سنامه الجهاد

yang maksudnya, "Mahukah kamu aku tunjukkan kepala amalan,  tiangnya dan kemuncaknya? Kepala amalan adalah Islam,  tiangnya adalah solat dan kemuncaknya adalah jihad."

Kemuncak amalan merupakan suatu yang menjadi tanda izzah Islam. Islam nampak hebat dengannya. Musuh Islam gerun dengan izzah ini. Bahkan mereka cuba sedaya upaya secara halus untuk pupuskan konsep jihad dalam hati umat Islam agar mereka terus berkuasa atas mukabumi. Jika kita sinonimkan Terengganu dengan 'trademark' Bukit Besar yang tertulis 'ALLAH SELAMATKANLAH TERENGGANU', maka begitulah orang kenal kehebatan Islam dengan adanya jihad.

Justeru,  jangan biar jihad hilang dari hati sanubari kita. Walau apapun kerjaya kita,  jawatan kita,  latarbelakang ekonomi kita,  bangsa kita,  jangan sekali-kali cabut makna jihad itu dari jiwa kita. Biarkan ia terus jadi darah daging kita.
[15/04 15:35] Ust Wan Faiz0l: TAAT(RUKUN BAI'AH KELIMA)


يا أيها الذين آمنوا أطيعوا الله و أطيعوا الرسول و أولى الأمر منكم فإن تنازعتم في شيء فردواه إلى الله و رسوله

Allah berfirman yang maksudnya

"Wahai orang-orang yang beriman,  taatlah Allah dan taatlah Rasul dan pemimpin-pemimpin di kalangan kamu(umara'dan ulama'). Maka jika kamu bertelingkah dalam sesuatu urusan,  maka kembalilah kepada Allah dan RasulNya."

Taat kepada Allah dan Rasulullah merupakan ketaatan tidak berbelah bahagi dan bersifat mutlaq. Tiada tolak ansur dan tawar menawar lagi. Adapun taat kepada pemimpin bergantung kepada suruhan pemimpin itu adakah ia maksiat atau sebaliknya. Nabi saw pernah berpesan,

"لا طاعة لمخلوق في معصية الخالق"
yang maksudnya,  "Tiada ketaatan kepada makhluk pada mengingkari Pencipta".


Konsep ketaatan dalam Islam sebenarnya sangat luas sehingga ia meliputi semua organisasi yang mempunyai pemimpin dan pengikut, Imam dan Ma'mum,  pemerintah dan rakyat,  guru dan murid,  ketua keluarga dan anak isteri,  dan seumpamanya. Ia menjadi ujian kepada orang bawahan untuk melaksanakan tuntutan dengar dan taat pada perkara yang tidak maksiat.

Ada perkara yang orang bawahan merasa tidak puashati dengan keputusan pihak atasan. Di saat itu,  Allah menguji orang bawahan dengan konsep dengar dan taat. Jika mereka mengingkari suruhan, bermakna mereka gagal menghayati tuntutan agama yang sangat besar. Hayati kisah-kisah dalam Al Qur'an bagaimana Allah menguji ketaatan orang bawahan terhadap pihak pimpinan. Antaranya kisah Talut dan tenteranya. Bagaimana mungkin masuk Aqal disuruh minum air sungai hanya seteguk dalam keadaan tentera yang amat dahaga ? Tetapi itulah nilai taat. Lihat juga kisah perjanjian Hudaibiyah yang dikatakan oleh Umar al Khattab sebagai berat sebelah.

Banyak lagi kisah-kisah teladan yang boleh diambil iktibar untuk kita hayati konsep taat ini. Cukuplah setakat huraian ringkas ini. Anggota jamaah wajib menghadam tajuk sebesar ini dalam sesi usrah bagi mendapat kefahaman yang lebih baik.

Wallahu a'lam.

Unit Tarbiyyah GANTI
12 April 2015/ 22 Jamadil Akhir 1436
9:30pagi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan